• Suka Makan

    Ais Krim Cempedak Di Kawasan Rehat Yong Peng

    Ais krim adalah makanan kegemaran ramai orang. Terutamanya kanak-kanak. Kebanyakan perisa ais krim yang popular adalah dari buah-buahan yang diimport seperti strawberry dan coklat.

    Tapi apa kata kita cuba aiskrim perisa tempatan iaitu cempedak. Nah, siapa peminat buah cempedak di sini? Sila klik like.

    Mudah sahaja nak perolehi ais krim perisa cempedak ini. Ia dijual betul-betul dihadapan tandas Kawasan Rehat Yong Peng arah Selatan.

    Harganya dalam mangkuk adalah RM6 sahaja. Manakala kalau makan dengan roti harganya RM7 sahaja.

    Memang puas. Saya makan semangkuk tu berkongsi dengan Azmina dan Isyraq. Afiah pula asalnya makan seorang, tapi akhirnya berkongsi pula dengan Azmina (selepas yang dikongsi dengan saya habis).

    Sedap sangat rasa aiskrimnya. Cukup lemak. Tidak terlalu manis sampai menggigil gigi. Cukup terasa buah cempedaknya. Taburkan sedikit kacang di atasnya, jadi lebih sedap.

    Jadi, bila anda lalu lebuhraya Utara Selatan menghala ke Johor Bahru tu, berhentilah singgah di Kawasan Rehat Yong Peng ini. Rasai kenikmatan aiskrim cempedak.

  • Suka Makan

    Makanan Meransang Perkembangan Otak

    Semasa saya masih bertugas sebagai guru, saya ada seorang pelajar bernama Zul (bukan nama sebenar). Ada satu hari itu, beliau nampak begitu ceria. Segala apa yang diajar pada hari tersebut dapat difahaminya dengan mudah.

    Zul adalah pelajar yang sudah sekian lama saya ajarkan membaca. Dua tahun mengajarnya, menulis nama sendiri pun masih lagi terkial-kial meniru daripada tanda namanya sendiri. Ada masanya dia menulis nama dalam tulisan terbalik. Ada masanya nama panjang yang persis nama seorang raja itu pun dilupakannya.

    Pendek kata mengajarnya memang membuatkan tumpah air mata sentiasa. Tumpah kerana mengasihaninya dan juga tumpah kerana stress mengulang perkara yang sama bertahun-tahun.

    Jadi bila hari itu Zul dapat memahami pengajaran dengan mudah dan cepat, saya terus selidik.

    • Ada siapa di rumah?
    • Buat apa sebelum datang sekolah?
    • Makan apa hari ini?

    Mulanya jawapannya sama sahaja seperti hari-hari biasanya. Tapi akhirnya pecah satu cerita. Sebelum ke sekolah hari itu, ibu berikan dia multivitamin. Jenis apa, jenama apa, berapa biji tidaklah diketahui.

    Sejak itu saya perhatikan dia dengan lebih teliti. Setiap hari saya akan bertanyakan soalan tentang apa yang berlaku dan dimakan di rumah.

    Selepas beberapa bulan, saya membuat kesimpulan bahawa pada hari-hari yang ibunya memberikannya multivitamin, Zul dapat memahami pembelajaran dengan lebih baik dan cekap. Sebaliknya pada hari-hari yang tidak mengambilnya, Zul sangatlah lemau dan gagal memahami apa yang diajar.

    Hari ini, barulah saya lebih memahami kaitan antara multivitamin dengan kecekapan otak Zul memproses maklumat.

    Menurut Marilee Sprenger dalam bukunya Wiring The Brain For Reading, nutrisi semasa mengandung merupakan bahagian penting dalam pembangunan otak.

    Sebab itulah, kebanyakan doktor akan memastikan ibu mengandung mengambil asid folik. Kekurangan asid folik boleh menyebabkan kecacatan tiub neural pada bayi.

    Setiap neuron dalam otak akan menerima nutrient dan menggunakannya untuk mencipta neurotransmitter, bahan kimia dalam otak yang membantu kita membuat segala apa yang kita buat. Sesetengah neurotransmitter ini memerlukan makanan tertentu untuk dihasilkan.

    Contohnya adalah;

    • Protin seperti daging, telur, keju, ikan dan kekacang digunakan untuk menghasilkan tirosin, bagi menghasilkan dopamin. Dopamin membantu memberi perhatian, fokus, motivasi dan sikap positif.
    • Susu dan sebahagian daripada karbohidrat kompleks, seperti bijirin penuh, sayuran digunakan untuk menghasilkan triptofan, bagi menghasilkan serotonin. Serotonin mempengaruhi mood, kebahagiaan dan rileksasi.
    • Kuning telur, kekacang dan kacang soya pula mengandungi nutrien diperlukan untuk menghasilkan kolin, bagi menghasilkan asetilkolin. Asetilkolin mempengaruhi penciptaan dan mengesan semula daya ingatan, pergerakan dan konsentrasi.

    Bonusnya pula adalah coklat gelap kaya dengan aktioksidan dan bagus untuk otak dan juga badan. Ia mengeluarkan bahan radikal bebas dalam otak.

    Bayangkan apa yang berlaku dalam otak anak kita kesan daripada pemakanan yang kita beri!

    Selepas ini, kita perlu memberikan lebih perhatian terhadap apa yang masuk ke dalam perut anak kita. Pastikan anak mengambil sekurang-kurangnya 10 peratus protin dalam pemakanan harian mereka bagi memastikan otak dapat berfungsi dengan sempurna dari semua segi.

    Dan jika anak dikenalpasti mempunyai masalah khusus tertentu, boleh baca semula jenis-jenis makanan yang mempengaruhi masalah khusus tersebut. Barangkali anak kita jenis yang memilih makanan dan hanya makan makanan tertentu sahaja.

    Contohnya apabila anak kita ada masalah dengan fokus dan memberi perhatian, lebihkan makanan dari sumber protin. Dan apabila anak kita sukar dikawal dan kerap tantrum berikan makanan seperti susu dan karbohidrat kompleks. Dan sentiasa berikan sedikit coklat gelap setiap hari.

    Nampak mudah tetapi penuh cabaran untuk melaksanakannya. Saya ucapkan selamat maju jaya.

  • Suka Makan

    Roti Bom Keramat AU5

    Apabila datang ke Kuala Lumpur ini pasti teringat-ingat nak bersarapan roti bom di Medan Selera AU5 Taman Permata.

    Roti bomnya lembut, gebu gebas. Sama sahaja rasanya sejak bertahun-tahun dahulu.

    Kadang-kadang sahaja bila ke sini dapat makan roti ini. Seringkalinya bila sampai roti sudah habis. Kerana sampaipun lewat pagi. Haha.

    Memandangkan sepanjang berkursus Certified Trainer ini bangun awal pagi, maka kekalkanlah momentum bangun awal pagi selepas habis kursus. Dapatlah juga merasa makan roti bom ini sebelum bertolak pulang ke Johor.

    Mudah sahaja nak cari Medan Selera ini. Ia terletak di Jalan AU5 dan bersebelahan dengan Shell Keramat AU5. Kalau guna Waze pasti sampai.

    Harga roti bom ini sebiji adalah RM1.40. Siap dengan kuah dal dan juga sambal. Rata-rata saya lihat pengunjung di sini tidak cukup makan satu. Pasti ambil sekurang-kurangnya dua, bahkan ada yang lebih lagi.

    Ikutlah selera kalian bagaimana. Ya, yang sedang diet itu mungkin mahu berfikir banyak kali sebelum ke sini. Haha.

  • Suka Makan

    Resipi Roti Goreng Sardin

    Hari ini saya nak kongsikan cara membuat Roti Goreng Sardin. Ini memang kegemaran anak-anak saya.
    .
    Bahan-bahan yang diperlukan adalah:

    • Setin kecil sardin jenama Marina
    • Roti Gardenia
    • Bawang besar (dicincang halus)
    • Setengah biji lemon yang diperah airnya dan dibuang biji
    • 3-4 biji telur, dipukul sehingga halus
    • Butter
    • Serbuk cheese parmesan (kalau mozzarella lagi sedap)
      .
      Cara membuatnya:
      .
    1. Buka tin sardin, masukkan dalam mangkuk dan hancurkan sardin dengan garfu. Saya tak suka ianya terlalu hancur, tetapi terpulang ikut selera masing-masing.
      .
    2. Masukkan bawang besar yang telah dicincang halus dan perahkan jus lemon . Gaul sehingga rata. Letak tepi.
      .
    3. Gelekkan roti dengan menggunakan penggelek supaya leper. Bila digoreng ia tidak akan menyerap minyak sangat.
      .
    4. Sapukan butter pada roti rata-rata
      .
    5. Sapukan sardin yang telah digaul tadi dan ditabur dengan serbuk cheese.
      .
    6. Tangkup dua keping roti (sandwich) dan potong empat. Boleh secara menyerong mahupun secara rata. Asalkan ia cukup kecil untuk dipegang oleh anak.
      .
    7. Panaskan minyak dalam kuali. Terpulang, boleh buatkan ianya tenggelam atau sekadar untuk mengelakkan roti melekat pada kuali.
      .
    8. Celupkan roti yang telah dipotong tadi ke dalam telur sebelum dimasukkan ke dalam kuali. Terbalik-terbalikkan sehingga telur masak.
      .
      Angkat dan siap untuk dihidang.
      .
      Ini adalah sejenis finger-food yang digemari anak kecil. Jika anda tidak suka gunakan sardin dalam tin, boleh sahaja buat inti lain sendiri.
      .
      Silakan klik butang share. Untuk lebih banyak resepi yang sesuai untuk anak, boleh terus ke channel telegram https://t.me/resepianak
      .
      Nor Azleen Abd Rahim
  • Suka Makan

    Sedap Ke Mee Samyang Cheese Ni?

    Saya ini memang selalu juga ketinggalan zaman. Dah habis dah orang viral dan gilakan mee samyang dari Korea ini, barulah saya terasa nak mencubanya.

    Itupun sebab hari itu masa berjalan-jalan ke Giant Plentong, ternampak mereka jual mee samyang ini. Ohh, ini rupanya. Ada banyak perisa. Wah ada yang cheese.

    Saya ini pula memang sangat lah suka cheese. Hahaha. Keropok lekor cheesy saya belum cuba lagi. Tapi dipendekkan cerita, saya belilah Samyang Cheese ini. Harganya RM25 untuk 5 pek.

    Nah kau, boleh tahan kan harganya sampai RM25. Jatuh RM5 satu pek. Kalah harga megi kot. Tak apalah, nak cuba punya pasal.

    Hari ini terasa nak mencubalah Samyang Cheese ini. Cara buatnya lebih kurang sama macam megi juga. Mudah dan cepat.

    Rasanya?

    Ok, seperti yang diwar-warkan, orang kata pedas. Ini pedas gila. Hahaha. Melekat pedasnya di tekak, lelangit, gigi, pipi.

    Pendek kata lah, saya tak dapat nak habiskan sebungkus Samyang itu. Disebabkan kepedasannya yang melampau itu.

    Tak berani lah pula. Karang sakit perut asyik nak ke tandas pula.

    Senang cerita, siapa yang suka pedas gila bolehlah makan Samyang ini. Sedaplah juga kecuali part kepedasan melampau itu.

    Ini ada lagi empat bungkus tak tahulah siapa yang mahu makan.

    Cara buat Samyang ada dalam gambar ya. Kotlah nak tau kan.

  • Suka Makan

    Murtabak Daging Cheese Kampung Kurnia JB

    Hari itu suami ajak makan murtabak. Sudah lama juga saya tidak menjejaki Murtabak Cheese Majid ini.

    Kali terakhir pergi adalah ketika Azmina masih bayi. Sudah banyak yang berubah.

    Kawasan gerai murtabak ini sudah menjadi food court pula. Ada juga goreng-goreng, nasi ayam golek, ABC special.

    Kali ini kami pesan murtabak cheese daging special. Apa yang specialnya? Dagingnya double. Wah wah wah.

    Apa yang membezakan murtabak cheese Majid ini? Saya boleh rasa lebih dari satu jenis cheese digunakan di dalam resepinya.

    Dagingnya garing, dohnya lembut dan terasa manis dan masin kejunya. Ada pula keju oren yang cair-cair walaupun murtabak ini tidak begitu panas.

    Sedap sungguh sehingga rasa menjilat jari. Huhu.

    Gerai Murtabak Cheese Majid ini mudah sahaja dicari. Ia terletak di Jalan Kurniawan, Kampung Kurnia. Nak mudah, taip sahaja di waze atau google Murtabak Cheese Majid. Pasti jumpa.

    Selamat menjamu selera.

  • Suka Makan

    Review Warung Salai Port Dickson

    Hari tu kami makan tengah hari di Warung Salai. Alang-alang ke Port Dickson, mestilah cari makanan nismilan kan.

    Hidangan utama di sini adalah masakan lemak cili padi dan juga asam pedas melaka.

    Ada pelbagai jenis daging salai, keli, perut, jangek (?) yang boleh dipilih untuk dibuat masakan lemak cili padi. Hasil google saya dapati bahawa jangek adalah kulit lembu yang dihiris nipis dan disalai.

    Untuk asam pedas melaka pula, ada pilihan tetel dan pelbagai jenis ikan. Di sini barulah jumpa tetel betul, timbul-timbul warna putih. Haaa selalunya kebanyakan kedai berikan daging cincang apabila mereka kata tetel.

    Memang puas hati makan di sini. Patutlah ramainya pengunjung datang ke sini. Tak putus-putus pelanggan masuk. Sebaik sahaja meja kosong, sudah ada yang menunggu nak duduk.

    Nak cari warung ni senang sahaja. Ianya terletak di deretan rumah kedai Hotel Langit-langit Port Dickson. Signboardnya pun cukup besar, dari jalan besar kalian memang boleh nampak kedai ini.

    Pekerja kedai ni berpakaian ala pendekar, cuma mereka tak berpencak silat je masa hantar makanan. Kalaulah mereka buat begitu, mesti lagi happening agaknya. Huhu.

    Harganya pula kira berpatutan lah. Kami makan sekeluarga dengan kenyang sampai seeh perut, bayarannya RM47 sahaja. Memang sedap, kenyang dan wajib repeat bila ke Port Dickson ni lagi.

    Nor Azleen Abd Rahim

    cikgumommy

  • Suka Makan

    Sejuknya Minuman Luo Han Guo Yang Banyak Kebaikan Kepada Badan

    Tengah hari yang panas begini, dapat minum air luo han guo ini memang seronok rasanya.

    Ini luo han guo di KuuVan Chaa Pasir Gudang. Setiap kali ke sini, memang air ini menjadi pesanan kegemaran saya.

    Luo Han Guo ini rupanya dari sejenis buah. Ia turut dikenali sebagai buah Budha. Berasal dari Negeri China.

    Ia dikeringkan dan banyak digunakan dalam perubatan tradisional Cina.

    Berita baik untuk mereka yang menjaga kesihatan, Luo Han Guo tidak mempunyai kalori, karbohidrat atau lemak. Bagaimanapun, apabila membuat pesanan minuman ini masih perlu berhati-hati kerana kebanyakan kedai mungkin meletakkan pemanis tambahan di dalamnya.

    Kebaikan lain dalam buah ini adalah:

    • kaya dengan anti-radang, sesuai untuk yang sakit tekak, bengkak tonsil dan sebagainya.
    • mengandungi bahan anti-oksidan yang mencegah penuaan, untuk yang nak awet muda.
    • melegakan alahan, termasuklah mereka yang menghidapi asma.
    • meningkatkan kesihatan jantung, kerana komponen organik dalam luo han guo membantu menghalang oksidasi kolestrol yang mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.
    • membantu mengawal diabetes, pemanis yang mengandungi luo han guo tidak meningkatkan paras gula darah seperti gula dan pemanis lain
    • meningkatkan imuniti, kerana luo han guo turut mengandungi vitamin c.

    Terdapat juga laporan yang mengatakan luo han guo berpotensi untuk mengatasi kanser, tetapi kajian tentang perkara ini tidak meluas.

    Jadi kalau anda berada di Pasir Gudang, dan teringin minum minuman Luo Han Guo ini, terus sahaja ke KuuVan Chaa. Lokasinya seberang jalan dengan Tesco EcoTropics. Sederet dengan Al-Ikhlas Gadget. Mudah sahaja nampak, ada papan tanda yang besar.

    Selamat tengah hari!

    Nor Azleen Abd Rahim#cikgumommy

  • Suka Makan

    Resepi Sushi Roti Tuna Bersama Afiah

    Hari ini saya nak kongsikan aktiviti memasak bersama anak.

    Menu kami hari ini adalah Sushi Roti Inti Tuna.

    Bahan-bahan yang diperlukan adalah:

    • roti, terpulang nak wholemeal ke atau roti putih. Sebaiknya pilih roti sandwich dan juga yang lembut.

    • tuna chunk

    • mayonis

    • serbuk lada hitam

    • lemon

    • lobak merah

    • butter

    Peralatan yang digunakan adalah:

    • papan pemotong

    • penggelek (roller)

    • pisau

    • penggulung sushi (jika ada)

    Cara-cara buatnya ada pada setiap gambar ya.

    Jom beraktiviti dengan anak.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    Rollkan roti

    Potong kulit roti

    Sapu butter

    Letak tuna secara memanjang

    Susunkan lobak secara memanjang juga

    Gulungkan dengan penggulung sushi

    Potong kecil saiz sushi

    Dah boleh rasa

    Jom makan!

  • Suka Makan

    Resepi Sandwich Kerabu Ayam

    Hari ini bersahur dengan sandwich kerabu ayam dan segelas jus epal. Tidak dilupakan 2 biji kurma dan air sejuk.

    Mudah sahaja buat kerabu ayam ini. Ini resepi saya berdasarkan bahan yang saya ada. Kalian boleh ubahsuai ikut bahan yang kalian ada.

    Bahan-bahannya:

    • baki ayam goreng masa berbuka

    • kubis bulat yang rangup

    • setengah biji jus lemon

    • garam secukup rasa

    Cara membuatnya:

    1. Racik ayam kecil-kecil, buang tulang temulang ke dalam tong sampah yang berdekatan. Masukkan dalam bekas saiz bersesuaian.

    2. Hiris dan cincang kubis halus-halus. Pastikan dibasuh bersih dahulu ya. Masukkan dalam bekas sama ayam tadi.

    3. Perahkan setengah biji lemon ke dalam bekas yang sama. Buangkan biji-bijinya.

    4. Taburkan sedikit garam secukup rasa. Gaul rata.

    Boleh tambah lada hitam jika nak pedas. Atau boleh juga guna cili api yang diracik halus.

    Kepitkan kerabu ayam ini diantara dua keping roti wholemeal untuk menjadikannya sandwich.

    Saya tambah sekeping hirisan keju. Sedikit rasa lemak masin bagi menambah selera di pagi hari.

    Selamat berpuasa.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Suka Makan

    Menu Roti Mentega Kacang

    Beginilah rupa sahur hari ini. Dua keping roti wholemeal yang disapu dengan mentega kacang.

    Selalunya saya suka mentega kacang jenama Steffi tapi di Tesco Tebrau semalam tidak ada. Beli sahajalah Skippy chunky.

    Ditaburkan lebihan pisang dari menu Afiah. Rasa macam pernah tengok orang buat sandwich mentega dengan pisang.

    Sedap juga rasanya. Lemak-lemak masin dari mentega kacang itu begitu padu rasanya apabila bergabung dengan pisang lemak manis. Cubalah.

    Selamat berpuasa.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Suka Makan

    Menu bersahur kali kedua

    Menu bersahur hari ini agak pelik. Saya tak pernah makan begini. Tapi sebab inilah menu yang disusunkan, kita ikut sahaja.

    6 keping biskut cracker dengan susu segar. Saya tambahkan pisang dan strawberi. Sedap juga rupanya.

    Makan bersama 2 biji telur scrambled dengan sedikit minyak. Ditaburkan lada hitam aji-shio. Huhu.

    Tidak lupa sebiji epal hijau yang dikisar bersama 2 ulas tamar. Tidak dibuang hampasnya.

    Semoga dapat menunaikan ibadah puasa hari ini dengan sempurna.

    Selamat pagi rakan-rakan!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy changing life ahaks!