Bagaimana Afiah Homeschooling?

Soalannya pendek sahaja, “Bagaimana Afiah homeshooling ya?”.

Saya menarik nafas panjang. Soalan yang pendek itu, jika salah jawab bisa membuat orang marah atau berkecil hati.

“Beginilah puan”, kata saya perlahan, “Pandangan saya mungkin berbeza dari kebanyakan orang. Bagi anak kecil ini, yang pentingnya adalah adab dan budi bahasa. Keseimbangan emosinya. Kemampuan dia memimpin, bukan sahaja dirinya tetapi juga orang lain berada di sekelilingnya.”

Puan itu mengangguk-ngangguk sambil mulutnya menyebut, “Ya, ya. Betul.”

“Manakala untuk akademiknya, saya tekankan kepada kemahiran asas sahaja.” Sambung lagi saya, “Iaitu membaca, menulis dan mengira. Afiah sudah boleh membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia. Bahasa Inggerisnya sudah agak baik, baru sahaja tamatkan ReadEasy Advanced.”

“Oh, dah boleh baca bahasa Inggeris?”, wajahnya sedikit terkejut dan sedikit kagum.

“Ya, boleh menulis cerita pendek dalam bahasa Inggeris juga. Sekarang kami sedang belajar jawi, matematik dan bahasa Arab.” Yakin sahaja saya memberitahu.

“Bahasa Arab? Cikgu boleh mengajar bahasa Arab?”

Eh, baru saya perasan. Salah tu. “Bukan bahasa Arab, maksud saya adalah Al-Quran.”

“Oh.” Kurang kagum. Hahaha.

“Saya ajarkan dia mengira dalam kehidupan seharian. Bermain dengan wang. Menguruskan wang belanjanya sendiri. Saya pernah juga hantarkan dia ke kelas tuisyen Sains kerana saya ini ibu yang malas membuat eksperimen.”

“Oh”. Lagi. Semakin kurang kagum barangkali. Ibu malas mana yang homeschooling anak ini.

“Dan dia juga ke kelas seni visual. Kerana saya tiada bakat seni visual. Saya suka seni persembahan. Dulu saya ada grup tarian sendiri dan Afiah join. Sekarang ni, saya sudah kekurangan masa untuk menguruskannya, jadi saya hantar Afiah belajar menari dengan trainer lain.”

“Oh.” Buat kali ketiga. Sudah tidak kagum langsung. Huhu.

“Begitulah buat masa ini, saya ambil satu langkah sahaja pada satu masa. Banyak-banyak nanti tersadung pula, tak tahu langkah mana yang mahu pergi dulu.”

Saya senyum, bangun berdiri dan meminta diri.

Lukisan Anak 4 Ke 5 Tahun

Ini lukisan Angah yang terkini. Angah berusia 4 tahun 8 bulan.

Menurut carta perkembangan kanak-kanak, anak berusia 4 ke 5 tahun boleh melukis orang dengan badannya. Manakala anak berusia 5 ke 6 tahun boleh melukis kepala orang lengkap dengan mata, mulut dan hidung, badan orang pula akan ada tangan dan kaki.

Jadi, lukisan Angah ini ada kepala dengan mata dan mulut. Hidung adalah bahagian paling sukar untuk dilukis. Huhu.

Badannya pula sudah ada saiz, ada kaki dan tangan. Sudah boleh dianggap macam anak berusia 5 ke 6 tahun.

Sesuai dengan perkembangan umurnya. Alhamdulillah.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Afiah Nak Pergi Pasar Malam

Selesai Kursus Intensif Bacalah Anakku di Pasir Gudang, berkejar saya ke Desa Bukit Mutiara untuk mengambil Afiah.

Semasa saya menjalankan kursus, Afiah ada persembahan bersama Aniq Kreatif. Sudah hampir 3 minggu juga saya berulang-alik 2 ke 3 kali seminggu untuk menghantar Afiah berlatih.

Afiah siap persembahan pukul 5. Saya selesai kursus 5.30. Dengan loading semula barang ke dalam kereta apa semua, dah jadi pukul 6.00.

Hari Sabtu pula tu, jalan jem merata-rata. Makanya 6.30 saya masih dalam perjalanan.

Tiba-tiba nombor yang tidak dikenali naik di telefon. Bila angkat, suaranya macam Afiah. Rupanya Afiah telefon menggunakan telefon bimbit milik kawannya.

“Mummy dah sampai mana?”

“Mummy kat hiway ni, jem”

“Mummy, kitorang nak pergi pasar malam dulu.”

“Aaa, dengan siapa? Ada orang dewasa ke?”

Line telefon terputus. Saya call semula.

“Boleh ke mummy? Kakak tanya je dulu ni.”

“Ok, boleh. Mesti ada yang besar ya.”

Line telefon terputus lagi dan tidak dapat dihubungi lagi.

Sebaik dapat berjumpa Afiah, tanpa henti dia bercerita perihal mereka berjalan kaki ke pasar malam yang lebih kurang 100 meter sahaja dari blok rumah cikgu.

Paling mengharukan, dalam perbualan kami Afiah kata begini, “Kakak telefon dulu sebab nak minta kebenaran mummy. Kakak tahulah kalau mummy tak benarkan, kakak tak akanlah nak pergi. Dan kakak tahu kalau semua budak2 kecik sahaja, kakak pun takut nak pergi.”

Ya Tuhan, anak berusia 7 tahun ini sungguh matang pemikirannya. Melangkaui kematangan saya sewaktu seusianya.

Dalam mendidik Afiah, saya cuba memberikan kepercayaan untuknya membuat pilihan. Kepercayaan itu dibina seawal mungkin sejajar dengan usianya.

Contohnya, sedari kecil apabila memilih pakaian saya akan memberikan dua pilihan kepadanya, nak yang merah atau biru, nak skirt atau seluar.

Dari situ keyakinan diri dapat dipupuk dan dibina untuk anak menentukan perkara yang terbaik buat dirinya.

Agaknya saya tak perlu risau sangat tentang Afiah. Agaknya.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy mana mungkin tak risau

Kemahiran Menyusun

Ini laci kegemaran Isyraq. Sebab dalamnya penuh dengan cawan. Mudah diangkat barangkali.

Dahulu awalnya bermain dengan mengeluar dan memasukkan cawan sahaja.

Sekarang sudah naiktaraf. Isyraq akan menyusun cawan demi cawan setinggi yang mungkin. Kemudian cuba tutup laci. Tidak berjaya.

Bila tidak berjaya, bermulalah episod mencampak cawan ke lantai. Sehinggalah laci dapat ditutup baru puas hati.

Afiah pula dapat tugas baru, menyusun semula cawan ke dalam laci. Ahaks. Begitulah bekerjasama adik beradik.

Bermain tidak semestinya dengan barang yang dibeli di pasaraya. Apa yang ada di rumah juga boleh digunakan. Cuma hati-hati, cawan kaca boleh pecah.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Mula-mula kita susun tinggi-tinggi

Kemudian kita campak bawah

Peringkat contengan rupa

Angah lukis anak ayam. Pandai kan angah!

Mengikut Hurwitz dan Day (2001), perkembangan artistik kanak-kanak terbahagi kepada 3 peringkat iaitu peringkat manipulatif, peringkat membuat simbol serta peringkat pra-remaja.

Lukisan Angah ini berada pada peringkat manipulatif. Terdapat empat peringkat contengan dalam peringkat manipulatif.

Peringkat tersebut adalah contengan garisan tidak terkawal, contengan garisan terkawal, contengan rupa terkawal dan contengan rupa.

Dalam peringkat contengan rupa, kanak-kanak berupaya mengenalpasti rupa dan menyebut rupa yang mereka hasilkan.

Ianya lebih kepada keseronokan mereka dapat menghasilkan contengan dan penggunaan pen dan pensel. Sebab itu, anak pada peringkat ini gemar menunjukkan kepada kita hasil lukisan mereka.

Untuk memupuk minat dan menaikkan tahap keyakinan anak, kita berikan pujian dan ganjaran yang bersesuaian. Kadang-kadang menggantungkan hasil lukisan mereka di dinding atau di peti ais dapat memberikan kepuasan besar kepada anak.

Selamat melukis di hujung minggu bersama anak.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy tidak pandai lukis

Menyusun Puzzle Membina Kreativiti

Hari itu kami buat puzzle dinosaur. Buat sendiri jer. Cepat, mudah dan murah.

Nah, itu tema bbm cikgumommy.

“Cepat, mudah dan murah!”

Seronok tengok anak-anak ini susun puzzle yang empat keping cuma itu. Macam-macam hasilnya.

Bermain puzzle ini nampak macam biasa-biasa sahaja kan.

Tapi ia memberi kesan kepada perkembangan otak anak.

Menyusun dan bermain puzzle mencabar ketangkasan, penaakulan spatial dan logik anak. Otak kiri dan kanan perlu bekerja pada masa yang sama.

Bahagian kreatif otak perlu bekerja membayangkan puzzle yang telah siap (hasil akhir) manakala bahagian logik otak perlu memadankan kepingan-kepingan puzzle yang betul dan sempurna.

Bermain puzzle adalah langkah awal dalam membentuk pemikiran anak yang kreatif dan kritis.

Langkah-langkah aktiviti seperti berikut:

  1. Cari gambar dianosaur yang comel kat google. Download dan print saiz A4.

  2. Gunakan pembaris untuk bahagi 4 dinosaur tu.

  3. Ajak anak-anak mewarnakan dinosaur itu ikut kreativiti masing-masing.

  4. Potong ikut garisan empat tadi.

  5. Tampal semula pada kertas lukisan.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Resepi Slime Tanpa Borax

Akhirnya hari ini saya tunaikan permintaan Afiah nak membuat slime selepas lebih setahun dia memintanya.

Bukannya apa kebanyakan resepi slime yang ada menggunakan bahan pencuci pakaian yang kuat, sabun pencuci pinggan yang kuat juga, bahkan ada juga yang menggunakan boraks sebagai bahan utama dalam pembuatannya.

Selepas melihat beberapa video dan laporan kes yang menunjukkan tangan anak “terbakar” akibat terlalu lama bermain dengan slime yang dibuat dengan resepi bahan-bahan aktif sedemikian, saya tangguhkan sahaja.

Tetapi bila jumpa resepi yang dikongsikan oleh Mama Q3 hari tu tidak menggunakan bahan-bahan aktif sedemikian, saya putuskan untuk mencubanya.

Kami membuatnya dalam kelas persediaan. Seminggu sekali kelas ini dah macam playgroup dek kesukaran nak mengajak anak-anak ini berinteraksi.

Bila buat macam playgrup ini, mereka lebih aktif dan teruja. Mahu berbual-bual dan berkomunikasi.

Seronok sakanlah budak-budak ini dapat membuat slime dan bermain sampai bertukar warna biru tangan masing-masing.

Tapi saya gunakan pewarna makanan sahaja jadi warna biru tu hilang bila dicuci dengan air dan sabun. InsyaAllah.

Slime yang dibuat tanpa slime agent activator ini tidak bertahan lama. Pendek kata setiap kali nak main kena bancuh yang baru.

Tapi bolehlah memenuhi hajat nak memberikan anak-anak permainan sensori kan. Dapat juga hampir sejam lebih bermain dengannya.

Kami cuba pelbagai jenis gam. Gam yang murah-murah kurang RM1 sebotol kecil tu langsung tidak jadi ya.

Guna gam putih atau susu tu menjadi juga tetapi tidak bertahan lama. Sekejap sahaja sudah keras dan tidak elastik. Selain itu ia juga tidak bergumpal.

Kena pilih gam yang berkualiti untuk membuatnya.

Berikut adalah bahan-bahannya:

1 bekas bikarbonat soda

1 bekas gam berkualiti

250ml air panas

Pewarna makanan

Cara membuat ada pada gambar ya.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Bicarbonate soda. 1 botol untuk 1 bancuhan slime.

Gam putih yang kiri sekali tu hasilnya tidak bergumpal. Gam dua kecik tengah tu tak jadi langsung. Gam yang kanan tu jadi dengan cantik.

Pewarna makanan yang lebih banyak digunakan untuk membuat eksperimen daripada membuat kuih.

Kacau bicarbonat soda dengan air panas dahulu.

Campurkan pewarna makanan dengan gam.

Tangan dah macam the avatar. Yang sebelah kiri atas meja tu slime yang menjadi. Yang sedang dikacau itu slime dengan gam murah. Tak jadi.

Bolehlah dicuba slime yang dibuat itu.

Eksperimen Warna Skittel

Hari ini buat eksperimen skittel ni. Nampak kat video dadlab beberapa minggu lepas, teringin sangat nak membuatnya.

Alhamdulillah, menjadi. Anak-anak pun seronok bukan main tengok warna tu bergerak.

Afiah boleh jawab soalan-soalannya. Yalah, dia 6 tahun. Hihi. Yang lain 4, 3 dan 2 tahun. Eksen lah sikit kan.

Bahan-bahannya:

  • Skittel

  • Pinggan putih

  • Air

Cara-cara boleh tengok di gambar ya.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy buat eksperimen sains

Belajar Mengenal Warna dan Bentuk

Hari ini kita belajar tentang warna dan bentuk pula.

Dapat idea ini dari rancangan televisyen di CBeebies.

Kertas tu mommy dah siap-siap potong pelbagai bentuk. Pelbagai warna. Tapi sediakan juga gunting untuk anak-anak potong lagi jika mahu.

Mula-mula baca buku cerita yang ada kaitan dengan warna atau bentuk. Kami baca buku Allah’s Creation pilihan Angah. Dalam itu ada sebut tentang pelangi.

Lepas itu menyanyi pula lagi Rainbow Rainbow dari Mother Goose Club sambil buat aksi.

Kemudian mommy perkenalkan warna dan bentuk.

Mommy demo membuat “Busy City”. Barulah bagi anak-anak buat.

Akhir sekali kami warnakan pula dengan jari mengikut bentuk yang ditampal.

Macam-macam hasilnya. Sesuailah mengikut umur anak-anak yang membuatnya.

Sambil buat berbuallah dengan anak mengenai hasil seni mereka.

Anak-anak yang jarang bercakap atau berat mulut lebih mudah diajak berbual dengan cara begini.

Boleh ulang selepas 3 ke 4 minggu nanti.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Ini hasil seni Phonicsmarty Afiah yang buat. 6 tahun. Jadi adalah pintu, aerial televisyen, burung, matahari.

Ini hasil seni Phonicsmarty Angah Azmina. 3 tahun. Rumah dari kacamata Angah.

Ini pula hasil seni Phonicsmarty Amin, 4 tahun. Baru mula datang kelas. Masih perlukan ibu di sisi menunggu.

Ini pula hasil seni Phonicsmarty Muhammad Altamis Saifullah. Bila buat-buat aktiviti begini barulah dia nak bercakap dengan cikgu. Dan cikgu pun sedang cuba nak memahami apa yang dicakapkan.

Ini hasil seni cikgu. Noktah.