Homeschooling

Bagaimana Afiah Homeschooling?

Soalannya pendek sahaja, “Bagaimana Afiah homeshooling ya?”.

Saya menarik nafas panjang. Soalan yang pendek itu, jika salah jawab bisa membuat orang marah atau berkecil hati.

“Beginilah puan”, kata saya perlahan, “Pandangan saya mungkin berbeza dari kebanyakan orang. Bagi anak kecil ini, yang pentingnya adalah adab dan budi bahasa. Keseimbangan emosinya. Kemampuan dia memimpin, bukan sahaja dirinya tetapi juga orang lain berada di sekelilingnya.”

Puan itu mengangguk-ngangguk sambil mulutnya menyebut, “Ya, ya. Betul.”

“Manakala untuk akademiknya, saya tekankan kepada kemahiran asas sahaja.” Sambung lagi saya, “Iaitu membaca, menulis dan mengira. Afiah sudah boleh membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia. Bahasa Inggerisnya sudah agak baik, baru sahaja tamatkan ReadEasy Advanced.”

“Oh, dah boleh baca bahasa Inggeris?”, wajahnya sedikit terkejut dan sedikit kagum.

“Ya, boleh menulis cerita pendek dalam bahasa Inggeris juga. Sekarang kami sedang belajar jawi, matematik dan bahasa Arab.” Yakin sahaja saya memberitahu.

“Bahasa Arab? Cikgu boleh mengajar bahasa Arab?”

Eh, baru saya perasan. Salah tu. “Bukan bahasa Arab, maksud saya adalah Al-Quran.”

“Oh.” Kurang kagum. Hahaha.

“Saya ajarkan dia mengira dalam kehidupan seharian. Bermain dengan wang. Menguruskan wang belanjanya sendiri. Saya pernah juga hantarkan dia ke kelas tuisyen Sains kerana saya ini ibu yang malas membuat eksperimen.”

“Oh”. Lagi. Semakin kurang kagum barangkali. Ibu malas mana yang homeschooling anak ini.

“Dan dia juga ke kelas seni visual. Kerana saya tiada bakat seni visual. Saya suka seni persembahan. Dulu saya ada grup tarian sendiri dan Afiah join. Sekarang ni, saya sudah kekurangan masa untuk menguruskannya, jadi saya hantar Afiah belajar menari dengan trainer lain.”

“Oh.” Buat kali ketiga. Sudah tidak kagum langsung. Huhu.

“Begitulah buat masa ini, saya ambil satu langkah sahaja pada satu masa. Banyak-banyak nanti tersadung pula, tak tahu langkah mana yang mahu pergi dulu.”

Saya senyum, bangun berdiri dan meminta diri.

Leave a Reply