• Seni Ajar Membaca

    Bermula Dengan Perkataan

    TIP#12 Bank Perkataan

    Salah satu idea yang bagus dan menarik adalah membuat koleksi perkataan yang anak telah belajar membacanya.

    1. Kalian perlukan satu kotak – kotak kasut pun boleh. Tuliskan “bank perkataan” padanya. Gunakan huruf kecil.

    Jika anak kalian jenis yang suka berkraftiviti, galakkan anak untuk melukis pintu dan tingkap bergril pada kotak tersebut.

    Inilah tempat untuk kalian mengumpulkan segala perkataan yang boleh dibaca oleh anak.

    1. Dapatkan kad putih yang keras untuk menulis perkataan. Saya selalu gunakan manilakad setebal 225mm yang dipotong memanjang.

    Tidak banyak kedai yang menjual manilakad setebal ini. Di Johor, anda boleh dapatkannya di Kaher Plentong pada harga yang lebih mudah berbanding kedai alat tulis.

    1. Tuliskan perkataan dengan terang dan jelas. Tulisan tangan yang tidak kemas boleh mengganggu kanak-kanak yang baru belajar membaca. Gunakan marker merah untuk memudahkan anak kalian membacanya.

    2. Adakah anak kalian sudah boleh membaca perkataan-perkataan tertentu? Tuliskan perkataan-perkataan ini dan masukkan ke dalam bank.

    3. Sekarang, susunkan huruf plastik atau kayu (yang anak telah diajar menyebutnya) di atas meja hadapan anak. Kalian akan membantu anak menggabung bunyi beberapa perkataan mudah.

    4. Pilih perkataan yang biasa digunakan seperti “mama”. Letak satu persatu huruf di hadapan anak, bunyikannya —> m-a-m-a.

    Untuk lebih memudahkan, boleh sahaja rujuk Set Buku Bacalah Anakku untuk susunan perkataan yang diajar dari mudah ke susah.

    #mudahnyamengajarmembaca

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    #tips3m

  • Seni Ajar Membaca

    Motivasi, Ganjaran dan Rasuah

    Ganjaran dan rasuah adakalanya sangat berkesan, terutamanya kepada anak kecil. Matlamat kecil yang dicapai sepanjang perjalanan belajar membaca boleh diberikan ganjaran yang kecil bersesuaian.

    Contohnya, dalam kelas Whiztots tutor akan memberikan sebutir coklat Nips setiap kali pelajar dapat membaca satu perkataan. Sekeping stiker senyuman pelbagai warna pula diberikan untuk dilekatkan pada tapak stiker setiap kali pelajar berjaya menyiapkan satu kertas aktiviti, tidak semestinya betul dan kemas.

    Selepas tapak stiker tersebut penuh (ada 50 ruang untuk ditampal), pelajar boleh menukarkannya dengan hadiah seperti keychain dan buku nota yang comel.

    Di rumah, ibu bapa digalakkan memberikan ganjaran seperti keluar menonton wayang atau keluar makan di restoran pilihan anak setiap kali anak berjaya menamatkan satu-satu buku Bacalah Anakku.

    Jadikan hal menamatkan satu-satu buku itu sebagai kejayaan yang besar. Kan anak sedang dalam perjalanannya menjadi pembaca yang hebat.

    Ada seorang pelajar saya (kita panggil sahaja Abu) yang tidak suka membaca buku. Ibunya berjanji akan memberikannya 10 sen bagi setiap muka surat yang dibacanya. Dan bagi setiap muka surat yang berikutnya, ibu Abu berjanji akan menggandakan wang tersebut.

    Ini bermakna muka surat pertama Abu akan dapat 10sen. Muka surat kedua, Abu akan dapat 20 sen dan muka surat ketiga Abu akan dapat 40sen. Begitulah seterusnya.

    Ibu Abu terkejut kerana Abu berjaya membaca 11 muka surat. Abu berhenti kerana buku cerita tersebut sudah habis dibacanya dari kulit hadapan ke kulit belakang.

    Nah, Abu bukanlah seorang yang mahir tentang mengira juga. Bagaimanapun di akhir sesi membacanya, Abu tersengih meminta ibunya sejumlah RM204.70, cukup untuk membelikannya sebuah skuter baru.

    Hati-hati jika kalian berhasrat menggunakan taktik ini.

    TIP #10- Tugasan yang ditetapkan untuk anak mestilah bersesuaian. Tidak terlalu sukar. Sekiranya anak gagal melaksanakannya, walau bagaimana sekalipun anak mencuba, anak akan berasa sedih, kecewa dan mungkin putus asa.

    TIP #11- Sekiranya kalian memberikan ganjaran keluar menonton wayang atau keluar makan di restoran pilihan, cuba pastikan hanya kalian berdua sahaja dengan anak. Anak kalian mestilah menjadi individu paling penting ketika itu. Perkara terakhir yang dimahukannya adalah dua orang dewasa yang berbual tidak menghiraukannya atau adik beradik lain yang menjerit mahukan perhatian.

    Afiah seringkali memberitahu saya, “Mommy, kakak rindu sangat masa mommy dengan kakak sahaja, tak ada Angah dan Isyraq.”

    #mudahnyamengajarmembaca

  • Seni Ajar Membaca

    Menambah Satu Demi Satu Bunyi

    Baiklah, kalian telahpun bersedia untuk mengajar anak membaca. Ingat, pada peringkat awal ini gunakan bunyi sahaja, contohnya /a/ dan bukan nama huruf ‘ei’.

    Tips#3 – mulakan dengan nama anak. Contohnya nama anak Afiah. /a/ adalah miliknya. Berikan anak peluang untuk merasai simbolnya dalam bentuk 3 dimensional.

    Buat simbol /a/ dengan playdoh. Tuliskan dengan cat jari. Ajarkan anak menyebut bunyinya. Beritahu anak yang /a/ itu miliknya.

    Nah, sekarang sudah kurang satu bunyi untuk diajar!

    Tips#4 – Ini dua lagi huruf yang mudah diajar, /m/ untuk mommy dan /b/ untuk babah. Gunakan nama ibu ayah, pengasuh, datuk dan nenek, adik beradik untuk menambahkan lagi huruf untuk diajar.

    Lebih mudah lagi, rujuk sahaja susunan bunyi yang diperkenalkan dalam Lagu Abu Ada Ayam.

    Tips#5 – minta anak menutup matanya. Berikan anak plastik huruf yang berbeza bentuknya, seperti a dengan k. Minta anak membezakan mana satu yang mana.

    Tips#6 – Tulis huruf besar-besar di belakang badan anak. Adakah anak dapat meneka bunyinya? Berikan juga anak peluang untuk menulis di belakang dan kalian teka. Puji anak kalian, “Wow, Afiah semakin hebat.”

    Tips#7 – pilih makanan kegemarannya dan kaitkan dengan bunyi. Spaghetti bermula dengan bunyi /s/. Mee bermula dengan /m/.

    Tips#8 – Minta anak dengar dengan teliti bunyi pertama dalam perkataan yang kalian sebut. Kucing bermula dengan bunyi /k/ dan burung bermula dengan /b/.

    Afiah suka bermain I Spy apabila kami dalam perjalanan. “I spy with my little eyes something start with /b/..” Saya dan suami bergilir-gilir meneka. Sampai satu peringkat, Afiah pula boleh memberikan jawapannya. Seringkali objek yang dikatakan”I spy” itu tiada pun di kawasan persekitaran. Asalkan ia bermula dengan bunyi yang sama.

    Ini adalah salah satu aktiviti meningkatkan kemahiran phonemic yang boleh dimulakan seawal usia 1-2 tahun.

    Tips#9 – Pilih satu bunyi dan cari binatang yang bermula dengan bunyi tersebut. “Binatang yang bermula dengan bunyi /c/.” “Cicak!”. “Bagus, giliran Afiah pula.”

    #mudahnyamengajarmembaca

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    #tips3m

  • Seni Ajar Membaca

    Kaitkan Huruf Dengan Perkara Yang Menarik

    Apabila mengajar anak membaca, mulakan dengan mengajar bunyi a, i dan u dahulu. Ketiga-tiga bunyi ini adalah bunyi awal yang keluar dari mulut bayi (semasa menangis).

    Menurut pakar, sesuatu perkara itu lebih mudah diingati apabila ia memenuhi dua kriteria berikut:

    1. Ianya bermakna

    2. Ianya penuh emosi (gembira atau sedih)

    Tips#1 – Untuk memudahkan anak mengingat bunyi-bunyi ini, kaitkan bunyi dengan aksi yang bermakna. Contohnya:

    • bunyi /a/ macam bunyi kena panas.

    • bunyi /i/ macam aksi geli.

    • bunyi /u/ macam ulat berjalan dekat pokok.

    Sambil mengajar bunyi, bolehlah bermain-main dengan anak menggunakan aksi-aksi tersebut. Setiap aksi mestilah dibuat dengan penuh emosi.

    Tips#2 – Kanak-kanak sangat sukakan muzik. Jadi, kaitkan bunyi diajar dengan lagu yang mempunyai frasa yang catchy.

    Contohnya /a/ dikaitkan dengan abu ada ayam. /i/ pula dikaitkan dengan itik ikut ibu. Dan /u/ dikaitkan dengan ular usik ulat.

    Semasa menyanyikan lagu, buat juga aksi pergerakan yang menarik dan melibatkan keseluruhan anggota badan.

    Anak mungkin sudah mempelajari ini di sekolah dan boleh memberitahu kalian. Tetapi jika anak terlupa, kalian boleh sahaja mereka sesuatu yang baru tetapi bersesuaian.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    #tips3m

    #mudahnyamengajarmembaca

  • Kursus, Seminar, Bengkel

    Kursus Asas Bacalah Anakku Di Kajang

    Alhamdulillah, selesai Kursus Asas Bacalah Anakku di Kajang. Kursus dihadiri seramai 32 peserta. Ada yang datang dari Klang.

    Kebanyakan peserta adalah guru tadika dan taska yang berhasrat menggunakan Bacalah Anakku untuk mengajar membaca.

    Ada yang dah mula guna tetapi tidak pasti samada cara yang digunakan betul ataupun tidak. Ada yang baru berkira-kira nak menggunakannya.

    Lebih separuh peserta membayar sendiri yuran kebijaksanaan menghadiri kursus. Tapi ada sebahagiannya yang dibayar oleh bos-bos masing-masing. Beruntunglah dapat bos yang sanggup keluarkan belanja untuk meningkatkan intelek dan kemahiran staf. Bukan senang nak dapat tau.

    Kursus ini dianjurkan oleh Mmu Learning Centre. Terima kasih jemput saya. Semoga dapat bekerjasama lagi di masa hadapan.

    Di akhir kursus, dapat pula jumpa kawan yang lama sungguh tak jumpa. Rumaizah Mohamad. Terima kasih datang, semoga dapat sesuatu ilmu yang bermanfaat semalam. Lupa pula nak ambil gambar berdua.

    Ada rezeki, ada jodoh, jumpa lagi kita dalam kursus yang akan datang. InsyaAllah.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Seni Ajar Membaca

    Nak Mula Ajar Anak Membaca

    Mulakan mengajar bunyi a, i dan u dahulu. Kerana ketiga-tiga bunyi ini adalah bunyi awal yang keluar dari mulut bayi (semasa menangis).

    Ketiga-tiga bunyi ini juga mudah dikaitkan dengan aksi yang menarik. Contohnya:

    • bunyi /a/ macam bunyi kena panas.

    • bunyi /i/ macam aksi geli.

    • bunyi /u/ macam ulat dekat pokok.

    Sambil mengajar bunyi, bolehlah bermain-main dengan anak.

    Selamat mengajar membaca!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    #tipsajarmembaca

  • Seni Ajar Membaca

    Kaitkan huruf dengan frasa yang catchy

    Untuk membantu anak mengingat bunyi dan bentuk huruf dengan lebih mudah dan cepat, kaitkan huruf tersebut dengan frasa yang catchy.

    Contohnya a dikaitkan dengan abu ada ayam. i pula dikaitkan dengan itik ikut ibu. Dan u dikaitkan dengan ular usik ulat.

    Anak mungkin sudah mempelajari ini disekolah dan boleh memberitahu anda. Tetapi jika anak terlupa, anda boleh sahaja mereka sesuatu yang baru.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    #tipsajarmembaca

  • Seni Ajar Membaca

    Fakta Asas Huruf

    Perkara pertama yang perlu anak ketahui apabila belajar membaca adalah bunyi dan bentuk huruf dalam bahasa yang digunakan.

    Kemudian, anak boleh menggabungkannya dan mengetahui apa yang dimaksudkan setiap perkataan.

    Hari ini saya nak kongsikan empat fakta asas mengenai huruf:

    1. Setiap huruf ada bentuk yang berbeza. Untuk membaca, kita mestilah boleh membezakan antara huruf. Huruf a dan b dan u adalah tidak sama.

    2. Terdapat huruf besar dan huruf kecil, contohnya A dan a. Tidak perlu kelirukan anak di peringkat ini. Ajar dahulu huruf kecil a, i dan u.

    3. Huruf ada bunyi berbeza. Kita perlu tahu bunyi huruf untuk menggabungkan bunyi-bunyi dalam perkataan. Contohnya a-b-u.

    4. Setiap huruf ada nama. A dipanggil ‘ei’. Kita gunakan ini semasa menyebut susunan huruf dalam ABC atau semasa kita mengeja (walaupun anak fonik boleh sahaja mengeja secara fonik). Abaikan dahulu nama huruf ini sehingga anak telah lancar membaca.

    Semoga bermanfaat.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Seni Ajar Membaca

    Trauma Belajar Membaca

    “Buku Bacalah Anakku dah ada?”, tanya saya pada ibu pelajar yang mendaftar untuk grup baru.

    Jika dah ada buku, tak perlu beli baru. Boleh guna buku sedia ada.

    “Ada cikgu. Tapi saya rasa kita beli baru sahajalah.”, ujarnya.

    “Ok, kenapa? Puan nak guna dengan anak kat rumah ke?”, tanya saya.

    Sebolehnya saya tak galakkan parents berlatih membaca dengan buku Bacalah Anakku juga di rumah. Biasanya yang berlaku adalah proses latih tubi (drilling).

    Ulang baca muka surat yang sama sampai berpuluh kali. Sampai anak bosan. Akhirnya nampak buku pun dah lari sebatu.

    “Tak. Buku tu dah guna kat tadika. Cikgu tadika dia akan bulatkan perkataan mana yang dia tak dapat. Saya perasan bila sampai kat yang bulat-bulat tu saja dia macam takut-takut nak baca.”

    Jangan pandang remeh trauma membaca pada anak kecil.

    Apabila perkataan yang sama diulang-ulang beratus kali, atau apabila anak tidak dapat baca kita marah atau gunakan perkataan-perkataan yang tajam kepadanya, ia boleh meninggalkan trauma berpanjangan.

    Ia boleh sehingga mengakibatkan anak merasa membaca adalah satu beban, yang perlu dipikul dan berat.

    Tambahan lagi pada kanak-kanak yang ada masalah pembelajaran.

    Kita harus jadikan belajar dan aktiviti membaca sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Sebab membaca itu sendiri sesuatu yang menyeronokkan.

    Semasa kecil saya sangat suka membaca kerana melaluinya saya boleh menjadi macam-macam. Bergantung kepada karakter dalam buku yang dibaca.

    Apabila membaca kisah fairy tale, saya menjadi seorang puteri raja yang tinggal di istana kayangan. Boleh menunggang kuda sambil menyanyi di taman bunga.

    Apabila membaca buku Hardy’s Boys, saya menjadi penyiasat yang bijak. Yang gemarkan misteri dan merungkainya.

    Membaca memberi kita peluang menerokai dunia lain pada harga yang berpatutan. Dan ini adalah antara hak asas setiap kanak-kanak.

    Kejamlah kita jika meragut peluang ini dari kanak-kanak hanya dengan menjadikan membaca itu sebagai sesuatu yang menyedihkan dan menakutkan.

    Jadikan aktiviti membaca itu seronok!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Kisah Kejayaan

    Dengar Bunyi Siren Dalam Kepala

    Carta poket mini berbentuk kereta polis ini dilukis khas oleh ibu seorang pelajar kami. Anaknya bercita-cita nak menjadi seorang polis.

    Sesi-sesi awal kami bersama anak ini kerap kali suruh saya diam.

    “Syhhh syhhh ada bunyi. Nenoo nenoo. Cikgu dengar tak?”

    Katanya dia boleh dengar bunyi siren dalam kepalanya.

    Disebabkan itu, anak ini sukar fokus untuk belajar. Selain dari bunyi siren, ada juga sesekali dia mendengar orang bercakap-cakap.

    Seram? Seram lagi kami yang mengajar. Huhu. Tambahan pula anak ini buat personal tutoring di lewat petang.

    Di awal-awal dulu juga sangat sukar nak mengajak anak ini masuk kelas. Ada sahaja alasannya. Nak minum lah, nak biskutlah.

    Sangat mudah terganggu. Angin bertiup pun boleh menoleh. Cakap kuat sedikit sakit telinganya.

    Hari ini kami lihat sudah banyak perubahannya. Sudah baca buku 6. Agak lancar.

    Dan lebih mengagumkan saya kerana dia boleh faham apa yang dibacanya. Dia akan mengulang ayat beberapa kali, mengerutkan dahi dan akhirnya senyum sambil menerangkan ayat tersebut melalui aksi.

    Saya tanya padanya, “Masih ada bunyi nenoo nenoo, bunyi kereta polis tak?”

    “Tak ada.” Jawabnya ringkas sambil senyum.

    Perjalanannya masih jauh untuk mencapai satu standard yang membolehkannya belajar seperti kanak-kanak lain. Tapi sama-samalah kita doakan agar anak ini, yang tidak ada masalah ketidakupayaan IQ juga dapat berjaya dengan caranya yang tersendiri.

    Amin.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Seni Ajar Membaca

    Tak Boleh Terima Kekalahan

    Sedang kami bermain boardgame lumba kereta sambil membaca, tiba-tiba dia menangis dan masuk ke bawah meja. Bukan pura-pura menangis. Air mata, air hingus, air liur segalanya keluar.

    Ini bukan kali pertama dia begitu. Kali pertama dahulu saya terkejut juga. Tapi kali ini saya sudah bersedia.

    Terus saya tarik tangannya dan peluk. Saya gosok kepalanya sambil memberitahu bahawa “Ianya ok untuk menang lambat.”

    Dia menggeleng-geleng kepala sambil berkata, “Saya nak menang, nak menang.”

    Saya tunjukkan board kepadanya, “Siapapun yang sampai ke tamat ini menang. Cuma cepat atau lambat. Ada orang menang cepat, ada orang menang lambat.”

    Dia diam. Air mata berhenti mengalir. Begitu juga air hingus dan air liur. Hehe.

    “Ok cikgu, saya nak menang.” Saya hulurkan buku untuk dia baca.

    Begitulah, sukarnya dia menerima kekalahan, atau ketidak-menangan?!

    Sesekali kami terima anak-anak yang punya keperluan istimewa begini. Mahu peluk, mahu sayang, mahu dipuji pandai.

    Bukan kerana ibu ayahnya kurang memberi kasih sayang, kurang pelukan atau kurang pujian. Tapi kerana memang dia perlukan lebih dari orang lain.

    Untuk anak ini, saya pesankan kepada ibunya supaya dapatkan juga bantuan kaunseling dari sekolah atau hospital. Emosinya perlu dibimbing lebih dari kemampuan kami.

    Semoga satu hari nanti anak ini juga dapat belajar dalam suasana kelas bersama kawan-kawan. Baru lebih seronok. Sama-sama kita doakan.

    Sama macam kehidupan kita ini, ia satu perlumbaan. Tapi dengan siapa kita berlumba?

    Bukan dengan rakan, adik beradik ataupun jiran sebelah. Berlumbalah dengan diri sendiri. Jadi lebih baik dari yang semalam.

    Semua orang ada trek lumbanya sendiri. Semua orang ada garis penamatnya sendiri.

    Tak payah sibuk nak tengok trek orang ataupun penamat orang lain. Siapapun yang sampai ke penamatnya sendiri adalah pemenang.

    Cuma soal siapa menang cepat atau lambat. Tetap pemenang.

    Nor Azleen Abd Rahim
    #cikgumommy

  • Tips Bisnes Dari Rumah

    Undang-undang Buruh Memang Untuk Pekerja

    Hari ini saya dihubungi oleh seorang lagi pelanggan yang telah membuat bayaran tetapi masih belum menerima produk yang ditempah. Pembelian telah dibuat pada bulan Mac yang lalu dan bayaran dibuat secara tunai.
     
    Staf yang menguruskan jualan tersebut telahpun berhenti kerja pada bulan yang lepas. Lantas saya memeriksa rekod jualan untuk mengesahkan jualan dan juga transaksi bayaran telah berlaku.
     
    Tiada rekod. Tiada rekod jualan dan tiada rekod bayaran dalam sistem.
     
    Bagaimanapun pelanggan ada resit yang bertulis tangan. Tanpa cap perniagaan.
     
    Ini adalah pelanggan ke-empat yang membuat aduan bayaran dibuat tetapi produk tidak diterima. Dan kesemua mereka membuat bayaran secara tunai. Tidak direkodkan dalam sistem.
     
    Patutlah staf tadi marah sangat apabila saya memberikan beliau cuti 20 hari lebih awal dari tarikh tamat notis berhenti kerja. Cuti bergaji penuh. Katanya ada kerja yang belum selesai.
     
    Lantas saya berikan beliau 2 jam untuk membuat senarai kerja yang belum selesai sebelum saya suruh beliau pulang. Dan kesemua perkara di atas itu tidak dicatatkan dalam senarai kerja belum selesai beliau.
     
    Saya telahpun memanggil beliau datang ke Whiztots menjelaskan 2 daripada transaksi tersebut, yang ditemui sebelum tempoh notis tamat kerja beliau habis. Bagaimanapun beliau enggan dan menyuruh saya membuatnya sendiri.
     
    Tidak tahu dimana nak bermula, saya semak semua akaun pelanggan. Setakat 70 akaun pelanggan tetap yang telah disemak, 18 darinya ada transaksi yang mencurigakan. Ada 30 lebih lagi akaun yang belum disemak. Entah apa lagi yang bakal ditemui.
     
    Saya menahan gaji terakhir beliau dan meminta beliau hadir memberi penjelasan. Beliau pergi membuat aduan ke Pejabat Buruh.
     
    Mujurlah pegawai tersebut menghubungi saya dahulu dan bertanya. Bagaimanapun, saya dinasihatkan untuk membayar gaji beliau kerana itu hak beliau. Manakala tentang transaksi mencurigakan yang ditemui adalah atas budi bicara beliau untuk menyelesaikannya.
     
    Oh begitu rupanya. Berat rupanya menjadi majikan. Tapi berat di dunia ini sahaja. Pekerja datang kerja, kita wajib bayar. Tapi samada kerja itu dijalankan dengan amanah atau tidak, itu terletak di bahu pekerja.
     
    Sukar juga nak memastikan amanah ini dilaksanakan atau tidak. Kerana itu kawan saya kata perlu SOP. Tapi fikir saya juga jika sudah ada SOP pun, masih lagi terletak di bahu pekerja samada mahu laksanakan amanah itu mengikut SOP atau tidak.
     
    Semasa saya menjadi pekerja dahulu, saya kurang gemar jika kerja saya disemak dari A hingga Z oleh boss. Saya akan terasa seolah-olah tiada kepercayaan diberikan untuk saya melaksanakan tugas. Bila tiada kepercayaan, sukarlah untuk membuat keputusan dalam menjalankan sesuatu projek.
     
    Kepercayaan itu saya balas dengan membuat laporan yang telus bagi setiap projek yang dijalankan. Tiada hanky panky atau sembunyi bawah skirting meja. Saya gembira, boss saya gembira juga.
     
    Cuma rupanya tidak semua orang suka diberi kepercayaan. Ada yang suka jika kerjanya disemak setiap satu. Seperti budak tadika yang selesai tulis setiap perkataan mahu ditunjuk kepada cikgu.
     
    Kalau mahu disemak setiap kerja, untuk apa saya ambil staf? hahaha.
     
    Tak apalah, saya telah minta berbincang, tetapi beliau tidak mahu. Beliau lebih gemar bertindak mengikut undang-undang bertulis. Yang ternyata menyebelahi beliau. Apa yang saya sampaikan secara lisan, katanya tidak diterima. Macam bercakap dalam mimpi pula.
     
    Hari ini saya tunaikan hak beliau. Saya bayar gaji beliau mengikut apa yang tercatat dalam buku kedatangan yang diisi setiap kali datang dan pergi kerja.
     
    Saya cuba selesaikan tanggungjawab saya. Sekurang-kurangnya saya tidak berhutang dengan sesiapa.
     
    Ini yang saya belajar dari keseluruhan insiden ini:
     
    1. Sediakan SOP untuk membuat kerja satu persatu. Maklumkan kepada staf secara lisan, bertulis dan secara praktikal.
     
    2. Sediakan SOP untuk membuat laporan juga. Maklumkan kepada staf secara lisan, bertulis dan dalam lukisan juga, eh secara praktikal.
     
    3. Pastikan staf lakukan ikut SOP. Jadi kena sediakan pula SOP jika pecah amanah.
     
    4. Banyaknya SOP. Inilah akibatnya apabila kata-kata manusia tidak lagi boleh dipegang.
     
    5. Apabila staf yang tugas kerjanya melibatkan akaun atau wang menghantar notis berhenti, usah berikan beliau bercuti lebih awal. Sebaliknya benarkan beliau hadir kerja tapi tarik semua tugas melibatkan wang dan akaun. Gunakan waktu notis itu untuk memeriksa wang dan akaun secara terperinci.
     
    Pelajaran yang mahal. Tidak mudah berniaga sebenarnya.
     
    Tapi saya nak move on. Ada staf lain yang bergantung harap kepada perniagaan ini. Ada anak-anak lain yang berharap kepada perkhidmatan Whiztots.
     
    Dan jika ada pelanggan yang telah membuat bayaran tetapi masih belum menerima produk yang ditempah, sila hubungi saya terus. 0173329298.
     
    Doakan Whiztots berjaya. Terima kasih.
     
    Nor Azleen Abd Rahim
    #whiztots