Sedang kami bermain boardgame lumba kereta sambil membaca, tiba-tiba dia menangis dan masuk ke bawah meja. Bukan pura-pura menangis. Air mata, air hingus, air liur segalanya keluar.
Ini bukan kali pertama dia begitu. Kali pertama dahulu saya terkejut juga. Tapi kali ini saya sudah bersedia.
Terus saya tarik tangannya dan peluk. Saya gosok kepalanya sambil memberitahu bahawa “Ianya ok untuk menang lambat.”
Dia menggeleng-geleng kepala sambil berkata, “Saya nak menang, nak menang.”
Saya tunjukkan board kepadanya, “Siapapun yang sampai ke tamat ini menang. Cuma cepat atau lambat. Ada orang menang cepat, ada orang menang lambat.”
Dia diam. Air mata berhenti mengalir. Begitu juga air hingus dan air liur. Hehe.
“Ok cikgu, saya nak menang.” Saya hulurkan buku untuk dia baca.
Begitulah, sukarnya dia menerima kekalahan, atau ketidak-menangan?!
Sesekali kami terima anak-anak yang punya keperluan istimewa begini. Mahu peluk, mahu sayang, mahu dipuji pandai.
Bukan kerana ibu ayahnya kurang memberi kasih sayang, kurang pelukan atau kurang pujian. Tapi kerana memang dia perlukan lebih dari orang lain.
Untuk anak ini, saya pesankan kepada ibunya supaya dapatkan juga bantuan kaunseling dari sekolah atau hospital. Emosinya perlu dibimbing lebih dari kemampuan kami.
Semoga satu hari nanti anak ini juga dapat belajar dalam suasana kelas bersama kawan-kawan. Baru lebih seronok. Sama-sama kita doakan.
Sama macam kehidupan kita ini, ia satu perlumbaan. Tapi dengan siapa kita berlumba?
Bukan dengan rakan, adik beradik ataupun jiran sebelah. Berlumbalah dengan diri sendiri. Jadi lebih baik dari yang semalam.
Semua orang ada trek lumbanya sendiri. Semua orang ada garis penamatnya sendiri.
Tak payah sibuk nak tengok trek orang ataupun penamat orang lain. Siapapun yang sampai ke penamatnya sendiri adalah pemenang.
Cuma soal siapa menang cepat atau lambat. Tetap pemenang.
Nor Azleen Abd Rahim
#cikgumommy