Seni Ajar Membaca

Trauma Belajar Membaca

“Buku Bacalah Anakku dah ada?”, tanya saya pada ibu pelajar yang mendaftar untuk grup baru.

Jika dah ada buku, tak perlu beli baru. Boleh guna buku sedia ada.

“Ada cikgu. Tapi saya rasa kita beli baru sahajalah.”, ujarnya.

“Ok, kenapa? Puan nak guna dengan anak kat rumah ke?”, tanya saya.

Sebolehnya saya tak galakkan parents berlatih membaca dengan buku Bacalah Anakku juga di rumah. Biasanya yang berlaku adalah proses latih tubi (drilling).

Ulang baca muka surat yang sama sampai berpuluh kali. Sampai anak bosan. Akhirnya nampak buku pun dah lari sebatu.

“Tak. Buku tu dah guna kat tadika. Cikgu tadika dia akan bulatkan perkataan mana yang dia tak dapat. Saya perasan bila sampai kat yang bulat-bulat tu saja dia macam takut-takut nak baca.”

Jangan pandang remeh trauma membaca pada anak kecil.

Apabila perkataan yang sama diulang-ulang beratus kali, atau apabila anak tidak dapat baca kita marah atau gunakan perkataan-perkataan yang tajam kepadanya, ia boleh meninggalkan trauma berpanjangan.

Ia boleh sehingga mengakibatkan anak merasa membaca adalah satu beban, yang perlu dipikul dan berat.

Tambahan lagi pada kanak-kanak yang ada masalah pembelajaran.

Kita harus jadikan belajar dan aktiviti membaca sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Sebab membaca itu sendiri sesuatu yang menyeronokkan.

Semasa kecil saya sangat suka membaca kerana melaluinya saya boleh menjadi macam-macam. Bergantung kepada karakter dalam buku yang dibaca.

Apabila membaca kisah fairy tale, saya menjadi seorang puteri raja yang tinggal di istana kayangan. Boleh menunggang kuda sambil menyanyi di taman bunga.

Apabila membaca buku Hardy’s Boys, saya menjadi penyiasat yang bijak. Yang gemarkan misteri dan merungkainya.

Membaca memberi kita peluang menerokai dunia lain pada harga yang berpatutan. Dan ini adalah antara hak asas setiap kanak-kanak.

Kejamlah kita jika meragut peluang ini dari kanak-kanak hanya dengan menjadikan membaca itu sebagai sesuatu yang menyedihkan dan menakutkan.

Jadikan aktiviti membaca itu seronok!

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Leave a Reply