• Kelas Membaca

    Pendaftaran Kelas Membaca Bacalah Anakku Bulan November 2017

    Pendaftaran kelas membaca dibuka sekarang. Boleh berusia dari 5 tahun, 6 tahun, 7 tahun, 8 tahun, 9 tahun. Asalkan belum boleh membaca atau membaca merangkak-rangkak tidak lancar, boleh daftar.

    Kelas diadakan 3 kali seminggu iaitu pada hari Ahad, Selasa dan Khamis. Tempoh setiap kelas cuma 45 minit sahaja. Pendek tetapi padat dengan aktiviti bermain sambil belajar.

    Ada dua masa yang dibuka iaitu 8 malam dan 9 malam. Tapi kalian tidak dibenarkan memilih kerana saya yang akan tentukan mengikut kesesuaian anak kalian dalam kumpulan. Tidak sesuailah kalau kita nak bagi anak 5 tahun belajar dengan yang 9 tahun kan.

    Untuk anak-anak yang telah bersedia untuk belajar, maknanya sudah boleh faham arahan, sudah boleh pegang pensel, sudah boleh menggunting, dan juga tiada masalah pembelajaran, dianggarkan boleh tamat kelas membaca dalam 48 sesi bersemuka.

    Dengan izin Tuhan, mereka pasti boleh membaca apa sahaja bahan bacaan dalam Bahasa Malaysia. Bila dah boleh baca, kita akan buat majlis meraikan kejayaan mereka. Dapat sijil dapat hadiah. Seronok kan!

    Yuran pendaftaran cuma RM50. Dibayar sekali sahaja. Manakala yuran buku, termasuklah buku bacaan, buku latihan dan sebagainya adalah RM90 sahaja. Juga dibayar sekali sahaja.

    Yuran bulanan untuk 12 kali kelas dalam sebulan, 45 minit setiap kali, adalah RM135 sahaja. Kalau kalian patuh panduan yang diberi, 4 bulan sahaja sudah cukup, InsyaAllah.

    Lokasi kelas adalah di No 12 Jalan Lampam 17 Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang Johor. Tak susah nak cari, guna waze sahaja pasti jumpa.

    Buat pendaftaran secara online di
    bit.ly/daftarwhiztots
    bit.ly/daftarwhiztots
    bit.ly/daftarwhiztots

    Boleh juga Whatsapps

    Azleen 0173329298
    Wasap.my/+60173329298/daftarwhiztots

    Atau

    Aini 0173891909
    Wasap.my/+60173891909/daftarwhiztots

    #whiztots

  • Tips Parenting

    Buat Kerja Rumah Mengikut Usia

    Dari ruang santai, Azmina nampak saya makan roti bersapu mentega dan jem strawberi. Terus dia berlari ke meja makan dan memberitahu, “Mommy, Angah lapar lagi. Nak roti.”

    Saya suakan roti saya. Azmina menggeleng. “Nak Angah punya.”

    Saya buka plastik roti mahu mengambil roti baru untuknya. Azmina pegang tangan saya dan berkata, “Mommy, Angah buat ya.”

    Kalau ikutkan dalam hati ini, biarlah mommy sahaja yang buat. Selain daripada cepat, juga tidak berkecah atas meja ini.

    Mujurlah ada akal untuk berfikir kebaikan jangka panjang. “OK, pergi ambil pinggan dan pisau.”

    Laju Azmina membuka laci mengambil pisau menyapu mentega dan mengambil pinggan di rak.

    Memang kebanyakan barang di rumah ini disusun supaya mana-mana untuk anak itu boleh diakses sendiri oleh mereka.

    Tapi saya juga teringat rumah kawan saya yang sangat mesra kanak-kanak. Rumahnya dibina seperti separuh daripadanya adalah khusus untuk anak-anak.

    Sampaikan tandasnya pun ada dua versi. Versi yang sesuai untuk anak, dengan sinkinya yang lebih rendah, suis lampunya boleh dicapai. Paip air dan shower juga pada paras yang boleh diakses anak kecil.

    Anak berusia dua ke tiga tahun pun sudah boleh menggunakan tandas itu sendiri jika dilatih keselamatan di dalam tandas. Memang menarik.

    Anak-anak kecil banyak belajar melalui melihat. Melihat apa yang kita lakukan, lalu cuba meniru apa yang kita buat.

    Meniru adalah cara belajar yang paling mudah dan semulajadi. Tapi bila masuk ke sekolah, kalau ditangkap meniru semasa peperiksaan berat hukumannya.

    Anak-anak suka meniru gaya orang dewasa. Sebab itu antara permainan kegemaran ramai tidak kira lelaki atau perempuan adalah bermain masak-masak. Pengaruh ibu yang kuat dalam mendidik dan membesarkan anak barangkali.

    Sebenarnya boleh sahaja kita melatih anak membuat kerja-kerja sendiri mengikut kesesuaian umurnya.

    Anak satu tahun sudah boleh dilatih memasukkan baju kotornya ke dalam bakul. Juga membuang lampin kotornya ke dalam tong sampah. Atau memasukkan mainannya ke dalam kotak mainan.

    Anak usia dua tahun sudah boleh dilatih mengambil sendiri peralatan makannya. Mengutip makanan yang jatuh ke lantai selepas makan.

    Anak usia tiga tahun sudah boleh dilatih membantu menyediakan alatan untuk makan. Menyusun pinggan dan cawan. Mengemas baju-baju yang sudah dilipat ke dalam almari bajunya.

    Begitulah untuk peringkat usia seterusnya. Ada kerja-kerja rumah yang sudah boleh dilatih anak untuk buat bersama-sama.

    Melatih anak bermakna kita perlu buat bersama-sama dengan anak. Dilatih secara arahan terus. Anak melihat kita membuatnya dan dia meniru.

    “Begini kemas mainan. Letak mainan ini ke dalam bakul. Jom buat sama-sama.” Ha, begitulah.

    Bukan dengan menyuruh secara verbalnya sahaja.

    “Kemas mainan itu. Pergi buat sekarang.” Sedangkan mak sedang memasak di dapur.

    Termangu-mangu anak memikirkan bagaimana mahu kemas mainan. Maka dia akan mengemas mengikut versi dia.

    Jika itu yang berlaku, usah marah dulu. Fikir apakah silap memberi arahan. Yang selalu berlaku adalah bukan anak tidak faham arahan, kita yang mengarah memberi arahan yang tidak jelas. Lalu anak tafsirkan mengikut pemahamannya.

    Begitulah.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    Sapu sendiri mentega dan coklat. Mommy bukakan botol sahaja.

    Sudah pandai lipat selepas 2, 3, 4, 10 kali atau lebih mommy tunjukkan.

    Sedapnya roti yang dibuat sendiri.