Panduan Micro-Teaching Calon Tutor Whiztots

Jika anda dijemput menghadiri temu duga bagi jawatan Tutor Kelas Membaca Online Whiztots, sila sediakan satu sesi micro-teaching selama 3–5 minit.

Micro-teaching ialah simulasi pengajaran ringkas. Anda akan mengajar seorang ahli panel yang memainkan peranan sebagai murid berusia 5 tahun dalam sesi satu dengan satu melalui Zoom. Bercakap terus kepada murid seperti anda sedang mengendalikan kelas sebenar.

1. Pilih satu kemahiran mudah untuk diajar

Pilih topik yang anda biasa lakukan dan boleh tunjukkan langkah demi langkah. Anda digalakkan memilih topik selain mengajar membaca supaya anda boleh memberi tumpuan kepada cara menerangkan dan membimbing murid.

Antara topik yang boleh dipilih:

  • Melipat sapu tangan menjadi segi empat.
  • Menyusun tiga objek daripada paling kecil kepada paling besar.
  • Mengasingkan objek kepada dua kumpulan mengikut warna.
  • Membuat corak berselang-seli menggunakan dua warna.

Tetapkan satu perkara yang murid boleh buat pada akhir sesi. Contohnya, jika topik anda ialah saiz, sasarkan murid boleh menyusun tiga objek daripada paling kecil kepada paling besar.

2. Sediakan bahan PowerPoint

PowerPoint wajib disediakan. Sebagai panduan, dua atau tiga slaid ringkas sudah memadai. Gunakan gambar yang jelas dan teks yang mudah dilihat melalui skrin.

Anda juga boleh menggunakan objek sebenar seperti sapu tangan, kad warna atau alat tulis. Jika anda mahu murid menggunakan bahan semasa mencuba, pilih barang yang mudah didapati atau sediakan cara untuk murid menjawab secara lisan.

Sebelum temu duga, cuba fungsi Share Screen dalam Zoom. Jika menggunakan objek sebenar, semak kedudukannya pada kamera supaya murid dapat melihat apa yang anda tunjukkan.

3. Jalankan sesi selama 3–5 minit

LangkahApa yang boleh anda lakukan
Mulakan dengan soalan ringkasTunjukkan gambar atau objek dan ajak murid memberi respons.
Tunjukkan caraTerangkan satu langkah pada satu masa dengan ayat pendek.
Beri murid giliranMinta murid mencuba, memilih atau menjawab. Beri masa untuk murid memberi respons.
Bimbing dan semakJika murid keliru, beri satu petunjuk dan ajak murid mencuba semula. Sebelum tamat, semak sama ada murid boleh melakukan kemahiran yang diajar.

Contoh micro-teaching ringkas

Untuk topik Menyusun Objek Mengikut Saiz, anda boleh tunjukkan gambar tiga bola berlainan saiz di PowerPoint.

  1. Mulakan dengan bertanya, “Antara tiga bola ini, yang mana paling kecil?”
  2. Tunjukkan cara membandingkan dua bola dahulu. “Cikgu letak dua bola sebelah-sebelah. Bola ini lebih kecil.”
  3. Minta murid memilih bola yang patut diletakkan dahulu. Tunggu jawapannya.
  4. Jika murid teragak-agak, kecilkan pilihan. “Kita bandingkan dua bola ini dulu. Yang mana lebih kecil?”
  5. Akhiri dengan meminta murid menyebut susunan ketiga-tiga bola, daripada paling kecil hingga paling besar.

Apa yang panel perhatikan?

Panel akan melihat sama ada arahan anda mudah difahami oleh murid, cara anda menggunakan PowerPoint semasa mengajar, dan bagaimana anda memberi murid peluang untuk mencuba. Panel juga akan melihat bagaimana anda menyesuaikan penerangan apabila murid keliru serta mengurus masa sesi.

Sebelum temu duga, buka fail PowerPoint, letakkan bahan bantu mengajar berdekatan dan cuba jalankan sesi sekali dengan pemasa. Pastikan ada masa untuk mendengar respons murid dan membimbingnya sebelum sesi tamat.


Discover more from Cikgu Azleen

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Similar Posts

Leave a Reply