Hari ini adalah ulangtahun perkahwinan kami yang ke 15. Orang kata sudah masuk fasa ke-empat. Alhamdulillah, masih lagi bercinta-cinta dan bergurau manja sehingga kadang-kadang Afiah kata, “Iiiiiii, mommy dengan abah ni kan.”
Dan pelukan-pelukan pula sentiasa diselit oleh anak-anak yang merasa cemburu. Cemburu kerana merasakan mommy dan abah patut memeluk mereka sahaja. Haha.
Ya, ulangtahun perkahwinan yang ke-15 tetapi Afiah baru nak masuk 7 tahun. Bukan semuanya indah dalam perkahwinan.
Ramai yang menyangka saya berkahwin lewat, kerana itu mendapat anak juga pada usia yang lewat. Hakikatnya kami melalui 8 tahun pertama tanpa anak, tanpa pernah mengandung dan gugur, tanpa juga bersalin dan meninggal. Saya pasti yang pertama itu lebih baik perasaannya dari yang dua situasi lain itu. Alhamdulillah.
Kami juga pernah melalui saat-saat bertemu sanak saudara dan diasak dengan pertanyaan, bila nak dapat anak, kau merancang eh, pergilah berurut dengan si polan dan si polan, makanlah itu dan ini, berdoalah lebih lagi.
Saat-saat yang menikam jiwa dan buat air mata jatuh berderaian. Bukan tidak mahu anak, bukan merancang, bukan juga tidak berusaha pemeriksaan kesihatan, berurut, makan dan berdoa.
Cuma seringkalinya Allah SWT lebih tahu apa yang kita perlukan, bukan apa yang kita mahukan.
Saya ini memang suka membaca. Banyaklah buku-buku berkaitan bagaimana mahu mengandung yang saya beli dan baca. Dari perubatan sains moden sehinggalah perubatan India dan Cina. Bahkan juga saya baca “Guide for The Idiots”.
Dari pengetahuan-pengetahuan yang saya perolehi melalui bacaan saya itu, digabungkan sehingga berjayalah mendapat 3 cahaya mata sekarang. Alhamdulillah.
Jadi hari ini, saya nak kongsikan sedikit teknik yang saya gunakan untuk mendapatkan dua anak yang pertama, Afiah dan Azmina.
- Rekodkan setiap tarikh-tarikh penting untuk mengandung. Tarikh datang haid. Tarikh bersama suami. Saya gunakan apps Period Calendar. Ada untuk Android dan juga iOs.
-
Dari tarikh-tarikh datang haid yang direkodkan, cuba kenalpasti waktu ovulasi yang berpotensi.
Disinilah timbulnya masalah saya kerana haid yang tidak teratur. Waktu itu, kitaran haid saya tidak menentu. Paling cepat 36 hari dan ada yang sehingga 60 hari.
Kitaran haid dikira dari hari pertama datang haid sehinggalah sehari sebelum haid yang berikutnya.
Orang normal haidnya 28-32 hari. Pentingnya kitaran ini adalah untuk meneka waktu ovulasi (waktu subur dan berpotensi besar untuk mengandung). Ovulasi berlaku 14 hari sebelum haid yang berikutnya.
Ya, 14 hari sebelum. Bukan 14 hari dari hari haid pertama.
Apabila kitaran haid tidak menentu adalah sukar untuk menentukan bilakah 14 hari sebelum haid yang berikutnya. Jadi ia selalu berubah-ubah dan tidak tepat.
Saya gunakan langkah ketiga berikut untuk menentukan waktu ovulasi.
- Semasa ovulasi berlaku, pangkal rahim rendah ke bawah dan mudah dicapai. Faham? Hihi.
Pertama sekali, semasa ovulasi biasanya terdapat discaj lendir. Lendirnya lebih pekat dan seperti putih telur (telur mentah). Apabila dipegang dengan dua jari dan ditarik, ia tidak akan putus.
Untuk mengesahkan ovulasi, perlu memeriksa secara manual. Paling mudah dilakukan secara mencangkung. Gunakan jari hantu untuk memeriksa kedudukan pangkal rahim. Masukkan jari ke situ.
Lebih senang untuk membezakan kedudukan pangkal rahim apabila kita cuba dahulu dalam keadaan tidak subur. Ketika ini, pangkal rahim jauh dan jari tidak akan dapat mencapai apa-apa. Macam kosong gitu.
- Apabila telah dapat sahkan ovulasi ini, bolehlah buat panggilan telefon kepada suami dan minta pulang kerja awal. Huhu. Tak payahlah kita jelaskan apa yang berlaku seterusnya.
Ya, ada juga dijual kit pemeriksaan ovulasi ini di farmasi. Tetapi pada harga RM10 sebatang ketika itu dan hanya boleh digunakan sekali sahaja, bagi yang kitaran haidnya tidak menentu seperti saya, ia agak berkos juga.
Semasa mendapatkan Afiah, saya mencuba selama 6 kitaran haid. Dan semasa Azmina pula, hanya 2 kitaran haid. Ketika Isyraq, kitaran haid saya sempurna 28 hari. Jadi tak perlu pemeriksaan manual. Boleh teka sahaja.
Dan ya juga, semasa cuba mengandung saya turunkan antara 5 ke 10 peratus berat badan.
Begitulah, susah nak cerita sebenarnya. Tapi ada yang bertanya, maka saya harap ini bermanfaat.
Doakan perkahwinan kami terus kekal bahagia hingga ke jannah. Amin.
Nor Azleen Abd Rahim
#cikgumommy