Sedang berjalan-jalan di hypermarket, Afiah panggil, “Mommy, tengok sini.”
Ada promosi susu formula. Bukan susu yang Afiah mahu saya tengok. Dia mahu saya lihat hiasan booth itu. Ada astronauts yang boleh masukkan kepala kita tu dan ambil gambar.
Datang si adik manis promoter menegur, “Nak stiker?”
Afiah dan Azmina senyum-senyum memandang saya. Saya kata, “OK.”
Kemudian adik manis promoter melekatkan sekeping stiker bintang pada Isyraq.
Datang pula kakak comel promoter menegur saya, “Anak minum susu apa?”
“Susu ibu,” jawab saya pendek.
Dia tanya lagi, “Yang ini dan ini pun masih minum susu ibu?”, sambil menunjuk kepada Afiah dan Azmina.
“Oh, tidaklah. Yang kecil sahaja.”
“Jadi, yang dua orang ini minum susu apa?”
“Tak minum. Mereka makan macam-macam”, saya geleng kepala, mahu segera beredar.
Kakak comel promoter sambung lagi, “Tak boleh macam tu. Susu ini kena minum sampai umur 12 tahun.”
Kaki saya berhenti dari bergerak. Saya toleh kepadanya dan senyum, “Mereka makan macam-macam. Mereka tidak semestinya perlukan susu.”
“Dalam susu ini ada kalsium, protein bla bla bla. Anak perlu minum susu untuk dapatkan nutrisi ini.” Yalah, dah kerja dia promoter kan. Kenalah dia promote.
Saya tarik nafas dalam. “Siapa kata nak dapatkan kalsium dan protein kena minum susu?”
“Yalah, dalam susu ini ada..”
“Siapa kata?”, mata saya sudah bulat. Tapi mulut saya tetap senyum.
“Aaaaa..”
Kalsium, protein dan segala macam nutrien yang ditambah masuk itu boleh diperolehi dengan cara yang lebih mudah dan selamat melalui makanan. Secara semulajadi. Tanpa pemprosesan.
Anak yang makan ikut aturan pemakanan yang dicadangkan oleh WHO tidak semestinya perlu ambil makanan tambahan.
Makanan tambahan pun dah namanya tambahan. Diambil apabila yang asas tidak mencukupi.
Lagipun, anak saya lebih gemarkan susu segar dari FarmFresh berbanding susu-susu lain.
Siapa kata kita perlu minum susu formula sehingga usia 12 tahun untuk mendapatkan kalsium dan protein?. Tak ada doktor yang kata.