Kelas Membaca - Kisah Kejayaan - Seni Ajar Membaca

Bagaimana Kelas Membaca Online Whiztots Bermula?

Kelas Membaca Whiztots telah beroperasi sejak tahun 2016 lagi. Bermula secara sambilan sahaja, saya menjalankan kelas di ruang bahagian tepi rumah.

Alhamdulillah, ia mendapat permintaan ramai. Pada tahun 2017, Whiztots berpindah ke rumah sewa khusus untuk kelas. Dan pada tahun 2018 pula, berpindah ke premis perniagaan.

Ketika itu, kelas kami mempunyai lebih dari 100 orang pelajar dengan 6 orang tenaga pengajar.

Pada tahun 2019, seorang kenalan internet, Shu menghubungi saya, meminta mengajarkan anaknya membaca. Anak beliau, Sofia berusia 5 tahun. Sofia tinggal di Kajang, Selangor manakala saya berada di Pasir Gudang, Johor.

Saya mencadangkan kepada Shu untuk menghantarkan anaknya ke kelas membaca yang berdekatan dengan rumahnya. Bagaimanapun Shu menolak dan mendesak mahukan Sofia belajar dengan saya.

Pening saya memikirkan permintaan Shu. Saya meminta beliau memberi saya tempoh masa untuk mempertimbangkan permintaannya.

Ketika itu, kelas online adalah satu perkara yang asing dan tidak pernah dengar sesiapa berjaya melakukannya. Lebih-lebih lagi nak mengajar anak berusia 5 tahun.

Saya tidak pernah mengajar anak kecil secara online. Tidak pernah juga mendengar sesiapa berjaya melakukannya.Tidak tahu samada ianya akan berkesan ataupun tidak. Bahkan saya juga tidak tahu berapa yuran yang ingin dikenakan.

Oleh sebab itu, saya diamkan sahaja permintaan Shu dengan harapan beliau akan hantar anaknya ke kelas membaca yang dekat dengan rumahnya.

2 minggu kemudian, Shu menghubungi saya bertanya bila kelas boleh dimulakan. Sekali lagi saya menyarankan Shu menghantar anaknya ke kelas membaca berdekatan. Bahkan saya juga berikan alamat dan no telefon kelas tersebut.

Shu tetap mahukan saya yang mengajar Sofia. Jadi saya meminta Shu tempoh lagi untuk memikirkan caranya.

Sebenarnya ketika itu saya amat berharap Shu akan menghantar anaknya ke kelas membaca berdekatan sahaja, kerana terasa amat mustahil untuk mengajar anak kecil membaca dari jarak jauh.

Setiap 2 minggu Shu akan menghubungi saya untuk bertanya jawapan saya. Saya sidai Shu selama hampir 6 bulan kerana saya memang tak tahu apa yang nak dilakukan.

Kesungguhan Shu yang benar2 inginkan saya juga yang mengajar anak beliau, akhirnya menggerakkan hati saya untuk mencuba.

Ketika itu, live facebook mula menjadi satu trending. Jadi saya mencadangkan kepada Shu supaya kelas kami dijalankan menggunakan live facebook dalam grup private.

Saya menetapkan kepada Shu bahawa salah seorang parents perlu berada bersama anak sepanjang kelas berjalan kerana feedback kelas perlu diberi melalui komen di live. Anak baru nak belajar membaca dan dah tentu belum boleh menulis.

Saya juga memberitahu Shu bahawa ini adalah percubaan pertama saya untuk mengajar anak kecil secara online, justeru saya tidak berani menjanjikan apa2 kejayaan kelas ini.

Shu bersetuju dan saya pun mula setup grup private fb yang disertai oleh saya, Shu dan suaminya sahaja. 

Kelas pertama dijalankan pada Oktober 2019 yang merupakan taklimat kepada ibubapa berkaitan perjalanan kelas. Kelas dijalankan 2 kali seminggu pada hari Sabtu dan Ahad, dan setiap kelas dijangka mengambil masa 30-40 minit.

Apabila kelas dijalankan, didapati terdapat delay antara waktu saya mengajukan soalan dengan waktu saya menerima semula komen balas dari Shu.

Setiap kali saya mengajar dan ingin menyemak samada Sofia faham apa yang saya ajar, saya perlu menunggu antara 7-10 saat.

Selain itu, mengajarkan membaca menggunakan kaedah fonik juga menjadi lebih mencabar kerana saya tidak dapat mendengar secara langsung sebutan Sofia. Jadi saya tidak dapat memastikan sebutannya betul atau tidak.

Saya juga tidak dapat melihat aktiviti yang Sofia lakukan, maka saya totally bergantung kepada feedback dari Shu.

Seringkali saya merasakan saya mengajar syok sendiri dan seperti orang kurang siuman kerana bercakap seorang diri.

Bahkan, saya tidak pernah melihat wajah Sofia.

Bagaimanapun, syukurlah kerana Shu benar-benar bersabar dan memberi kerjasama yang baik sehingga kami berjaya mengajar Sofia membaca BM secara online dengan menggunakan fungsi live dalam grup private FB.

Pada bulan Mac 2020, PKP pertama berlaku. Kelas membaca fizikal saya terpaksa di tutup.

Syukur dengan pengalaman 6 bulan menjalankan kelas membaca online dengan Sofia, membolehkan saya beralih mengajar membaca secara online dengan yakinnya.

Penggunaan teknologi juga semakin berubah apabila kami mula menggunakan aplikasi Zoom, real time video chat untuk menjalankan kelas.

Tiada lagi masalah delay 7-10 saat untuk mendapatkan feedback dari student. Kami juga boleh mendengar secara langsung bunyi yang disebut oleh student. Kami dapat melihat sendiri student menjalankan aktiviti.

Justeru masa kelas dapat dipendekkan ke 15-20 minit sahaja bagi setiap sesi, sesuai dengan tahap fokus anak kecil.

Kelas menjadi lebih interaktif dan lebih menyeronokkan kerana banyak aktiviti permainan dapat dilakukan semasa kelas berjalan.

Sofia berjaya menamatkan belajar membaca BM dan juga BI sehingga Advanced Level hanya dengan kelas membaca online sahaja. Sehingga hari ini, saya belum lagi berpeluang untuk bertemu dengan Sofia secara berdepan.

Yang pentingnya, Sofia sudah boleh membaca dengan lancar dalam BM dan BI.

Leave a Reply