Aktiviti & Permainan Kreatif

Aktiviti Permainan Untuk Mengajar Anak Membaca Di Rumah

Memandangkan hari ini bermulanya tempoh kawalan pergerakan dan ramainya antara kita yang berkurung di rumah dengan anak-anak, saya nak kongsikan 1 permainan yang boleh digunakan untuk mengajar anak membaca.

Permainan #1 – Memori

Bahan diperlukan:

Pilih 5 ke 10 perkataan yang anak telah tahu baca. Contoh bagi anak yang sudah membaca Buku 2 Bacalah Anakku: mama, siku, kuku, susu, basi.

Tuliskan dengan terang dan jelas perkataan ini pada kad indeks bersaiz 3×5. Buat 2 keping setiap perkataan. Anda boleh minta anak untuk menyalin perkataan bagi membantu anda menyediakan kad.

Cara bermain:

  1. Kocok kad dan letakkannya secara terbalik di atas meja.
  2. Secara bergilir-gilir, buka 2 kad dan membacanya.
  3. Sekiranya 2 kad dibuka itu sama perkataan, pemain boleh menyimpannya dan mendapat giliran sekali lagi. Jika tidak sama, terbalikkan semula kad dan giliran pemain berikutnya.
  4. Main sehingga semua kad berjaya ditemui pasangannya. Pemain dengan pasangan kad terbanyak dianggap sebagai pemenang.

Ingatan:
Sekiranya anak sukar membaca perkataan pada kad dibuka, bantu anak dengan membacakannya secara santai, tidak perlu meminta anak menyebut bunyi satu per satu. Tujuan permainan ini adalah membina keupayaan mengecam perkataan secara menyeluruh.

Anda boleh mengawal tahap kesukaran permainan ini dengan menetapkan pilihan dan jumlah perkataan yang digunakan:

  • Bagi anak baru belajar membaca (buku 1 hingga 6), pilih perkataan yang nampak jelas bezanya (contoh: ani, susu, mama, basi, kuku)
  • Bagi anak yang lebih mahir membaca (Buku 7 ke atas), boleh gunakan perkataan yang hampir sama (contoh: teko, tipu, tali, tani, teka)

Variasi 1
Anda boleh gunakan pasangan perkataan berima. Contohnya tari dan cari, buku dan kuku, ibu dan labu, susu dan bisu, lima dan sama.

Variasi 2
Permainan ini juga boleh digunakan untuk membina kemahiran mengenal huruf dan kaitan huruf dan bunyi. Untuk set yang pertama, lukis atau tampalkan gambar dengan bunyi awalan, manakala untuk set yang kedua, tuliskan bunyi awalan sahaja.

Contohnya pada kad pertama letakkan gambar susu, manakala untuk pasangannya ada huruf s.

Nota:
Permainan ini juga boleh digunakan bersama anak yang lebih besar, ataupun dengan anak yang sudah membaca lancar. Variasi lain boleh melibatkan latihan vokabulari seperti mencantumkan ayat. Contohnya tuliskan “Ali ada” pada satu kad, dan untuk pasangannya “kereta merah”.

Gunakan kreativiti anda untuk memberikan lebih cabaran pada permainan ini mengikut keupayaan anak.

Semoga dapat memenuhi masa lapang anda hari ini dan membina hubungan rapat dengan anak.

Selamat mencuba dan silakan berkongsi ya.

Leave a Reply