“Izzah, kat rumah selalu buat apa?”
“Haa?”, bulat mata Izzah pandang saya.
“Yalah, masa awak tak sekolah sebelum ini, buat apa je kat rumah?”, saya ulang soalan dengan lebih terperinci.
“Main”, ujarnya ringkas. Matanya masih mengadap buku sambil tangannya terus menyalin.
Izzah (bukan nama sebenar), 8 tahun, adalah pelajar cicir. Beliau tidak pernah dihantar ke sekolah oleh ibu bapanya sebelum ini.
“Main apa?”, tanya saya lagi.
“Macam-macam. Masak-masak, polis sentri, basikal.”
Sepanjang berkhidmat 9 tahun sebagai Guru Pemulihan Khas, saya berpeluang bertemu dengan beberapa orang pelajar keciciran. Yang langsung tidak pernah diajar membaca oleh ibu bapanya semasa di rumah.
Kenapa mereka tidak dihantar ke sekolah, itu cerita lain dan bukan dalam konteks yang ingin saya kongsikan hari ini.
Sedikit masa dahulu, timbul percanggahan idea antara geng pure play dengan geng bas sekolah, ek eh, geng apa ya nak panggil, geng risau anak ketinggalan di sekolah.
Geng pure play kata “Mesti kasik anak 0 hingga 6 tahun bermain. Bermain adalah cara kanak-kanak belajar.”
Geng mak risau pula kata “Anak kalau masuk darjah 1 tak pandai baca akan ketinggalan. Jadi anak mesti diajar membaca sebelum masuk darjah 1”.
Lebih kurang begitulah. Itu tak termasuk geng-geng tepi lain. Saya ambil kira dua geng utama ni sahaja kali ni ya.
Izzah tidak pernah diajar membaca di rumah. Bahkan dia tidak diajar apa-apapun. Dia tidak boleh membaca, tidak boleh menulis, tidak boleh mengira.
Tetapi dia boleh berbual dengan baik, tutur katanya tersusun dan sopan, patuh dengan arahan (sekurang-kurangnya arahan saya) dan sangat menghormati orang lain, samada guru mahupun rakan.
Tidak pernah sekali saya mendengar beliau memarahi rakannya dengan bahasa yang kasar seperti doh, babi dan sebagainya.
Apabila ditanya apa yang dibuat di rumah semasa tidak bersekolah (OK, saya memang guru yang penyibuk, ya), beliau kata dia bermain sepanjang hari. Macam-macam permainan dimainkannya. Sesekali ibunya turut sama bermain. Izzah anak tunggal.
Izzah tidak ada masalah pembelajaran. Walaupun tidak buat ujian IQ, saya pasti IQ Izzah sekurang-kurangnya pada paras normal.
Saya mengajar Izzah bersama-sama dengan pelajar lain yang telahpun diajar membaca seawal usia 5 ke 6 tahun. Yang pergi ke tadika. Maknanya pelajar lain didedahkan dengan membaca awal 2 ke 3 tahun dari Izzah.
Izzah dapat membaca lebih cepat dari pelajar lain. Malahan dia juga dapat memahami konsep-konsep dalam matematik lebih awal dan mudah berbanding sebilangan pelajar lain yang telah didedahkan dengan matematik pada usia yang lebih muda.
Pelajar-pelajar lain juga tiada masalah pembelajaran. Ada masalah keluarga sahaja. Hihi.
Izzah mungkin hanya kes terpencil. Anak yang diberikan peluang bermain sepenuhnya dan diperkenalkan kepada kemahiran akademik pada usia yang dianggap terlewat oleh kebanyakan kita.
Tetapi itulah yang berlaku apabila 90% otak berkembang dengan baik pada usia 0 hingga 6 tahun. Otak lebih mudah memahami dan memproses kemahiran akademik, yang mana ianya adalah baki 10% lagi perkembangan otak.
Terdapat kajian di barat yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang belajar membaca pada usia 7 tahun akhirnya dapat ‘catch up’ dari segi akademik dengan kanak-kanak yang belajar membaca pada usia 5 tahun ketika mereka semua berusia sekitar 10 tahun.
Saya percaya jika diberikan peluang dan bimbingan yang baik, Izzah akan dapat berada sebaris dengan rakan-rakan di kelas pertama (malahan mungkin lebih baik).
Tetapi dengan rombakan kurikulum darjah 1 yang berlaku banyak tahun yang lalu, kanak-kanak yang masuk ke darjah 1 tanpa pandai membaca seperti Izzah memang akan ketinggalan jauh.
Apa yang saya faham, geng pure play mahukan rombakan semula kurikulum darjah 1 supaya kanak-kanak boleh diberikan peluang bermain untuk kesempurnaan 90% perkembangan otak.
Tetapi bukanlah maksudnya bermain-main. Nah, bermain dengan bermain-main berbeza tau!
Membaca adalah sebahagian daripada perkembangan bahasa. Dan perkembangan bahasa paling banyak berlaku semasa kanak-kanak bermain.
Sementara ini, jika kalian rasa perlu dan penting untuk anak belajar membaca sebelum masuk darjah 1, pilihlah kaedah mengajar membaca yang selari dengan bagaimana otak berfungsi: Kaedah Fonik Bacalah Anakku dan Readeasy.
Semoga bermanfaat.
Nor Azleen Abd Rahim
cikgumommy
P.S.: Izzah telah naik kelas pada tahun berikutnya (melompat 2 kelas, waktu itu kelas masih dalam susunan pencapaian peperiksaan).