Salah satu aktiviti yang amat saya galakkan ibu bapa untuk lakukan adalah membaca kepada anak.
Membaca kepada/ dengan anak, bukan suruh anak membaca. Beza ke?
Beza besar tau. Kan anak tu belum boleh membaca, sebab itu hantar kelas membaca.
Mengajar membaca perlulah secara arahan terus, maknanya ada instructor bersama anak yang belajar membaca. Bukan beri anak buku, dan suruh dia membaca.
Anak yang belum pandai membaca bila buka buku, mulalah kepala pening. Tak faham apa yang ada dalam buku. Lama-lama samada dia tertidur bosan atau dia mula menconteng-conteng buku.
Marah pula mak ayah. Nanti kata anak malas dan degil pula. Walhal, kita yang silap beri arahan.
Membaca kepada/ dengan anak mempunyai banyak kebaikan.
- Membaca lantang kepada anak-anak meransang imaginasi mereka dan meluaskan pemahaman mereka tentang dunia.
Contohnya, apabila ibu membaca cerita tentang Cinderella atau Snow White dengan penuh emosi dan intonasi yang menarik, dalam kepala anak tentu dia dah terbayang dirinya sebagai Cinderella atau Snow White. Memakai pakaian puteri yang cantik berseri sambil menari ke kanan dan kiri.
Anak boleh mengetahui bahawa seorang puteri itu tinggal di istana, tidak sama dengan orang biasa-biasa. Seorang puteri juga berperibadi tinggi, sopan santun dan tidak meninggi diri.
- Membaca lantang kepada anak-anak membantu mereka mengembangkan bahasa dan kemahiran mendengar. Sekaligus menyediakan mereka untuk memahami perkataan bertulis.
Melalui cerita yang dibacakan anak dapat menangkap banyak perkataan baru beserta konteksnya. Anak berlatih mendengar perkataan, membezakan bunyi-bunyi dan memecahkan perkataan kepada bunyi-bunyi kecil.
Semua ini membantu menyediakan anak untuk belajar membaca (memahami perkataan bertulis).
- Walaupun setelah anak pandai membaca sendiri, adalah penting untuk ibu bapa terus membaca lantang kepada/ dengan anak.
Kali ini, bolehlah bergilir-gilir membaca pula. Lebih seronokkan?
Jadi, kalau ditanya apakah satu perkara yang wajib ibu bapa lakukan dengan anak setiap hari? Saya akan pilih membaca lantang kepada/ dengan anak.
5 minit sehari, cerita pendek, banyak gambar, sudah mencukupi.
Lagipun anak mana yang tidak akan suka membaca jika ibu bapanya suka bacakan dia buku.
Selamat membaca lantang dengan anak!
Nor Azleen Abd Rahim
#cikgumommy
#kesediaanmembaca
#mudahnyamengajarmembaca
#3m