• Tips Parenting

    Jadual Waktu Belajar Maya Sepatutnya Lebih Pendek Dari Hari Persekolahan Biasa

    Kanak-kanak tidak perlu menghabiskan masa sehingga 8 jam sehari membuat kerja sekolah.

    Jadual belajar secara maya tidak sama dengan jadual sekolah tradisional. Jadual belajar secara maya tidak sama dengan jadual sekolah tradisional.

    Kita akan terus mengulang ayat ini sehingga semua orang faham, boleh?

    Seriuslah, takkanlah kita nak kanak-kanak belajar online dan offline sehingga 8 jam sehari sepanjang pandemik Covid19 ini.

    Ini sebabnya:

    Satu, tahap pembelajaran jarak jauh adalah berbeza.

    Sebenarnya tak payah nak cakap banyakpun, kita dah tahu bahawa struktur persekolahan normal sekarang ni dah berbeza sebab kanak-kanak mula belajar di rumah.

    Mereka tak ada waktu rehat, perhimpunan ataupun acara-acara istimewa. Mereka tak perlu nak berjalan ke perpustakaan, kantin, makmal sains ataupun ke padang.

    Semua ini sebenarnya meliputi waktu persekolahan normal dan tidak termasuk dalam pembelajaran maya.

    Bukanlah bermaksud yang jadual sekolah tradisional dipenuhi dengan aktiviti huha huha, kanak-kanak menerima banyak arahan dan panduan dari guru dalam kelas yang mereka tidak dapat sekarang.

    Tetapi dari sudut jumlah jam dan masa tidak bersesuaian dengan suasana belajar di rumah.

    Dua, kanak-kanak perlu kurangkan masa membuat kerja rumah.

    Cadangan masa belajar bersesuaian mengikut umur:

    Prasekolah dan tahap 1 sekolah rendah: 1-2 jam sehari
    Tahap 2 sekolah rendah: 2-3 jam sehari
    Sekolah menengah: 3-4 jam sehari

    Galakkan sekurang-kurangnya 1 jam masa bermain di luar rumah, patuhi SOP.

    Sememangnya sukar mendapatkan keseimbangan antara sesi kelas sebenar dengan guru dan aktiviti serta projek kendiri.

    Tiga, oleh kerana keadaan yang luar biasa ini, kita mungkin perlu rendahkan sedikit standard kita.

    Realitinya kehidupan agak berat buat semua orang, termasuk kanak-kanak.

    Mereka mungkin tidak mempunyai teknologi yang diperlukan.

    Mereka mungkin perlu menjaga adik-adik.

    Mereka mungkin tidak mendapat sokongan dari ibu bapa yang mungkin juga sedang sibuk bekerja dari rumah.

    Dalam keadaan sebegini, cubaan meniru jadual persekolahan tradisional adalah mustahil.

    Dan yang keempat serta paling penting, kita patut hargai semua jenis pembelajaran yang kanak-kanak lakukan.

    Seorang kanak-kanak yang melakukan kerja sekolahnya selama 1-2 jam sehari bukan bermakna dia hanya belajar 1-2 jam itu sahaja.

    Kanak-kanak belajar melalui bermain.

    Mereka belajar melalui komunikasi dengan ahli keluarganya.

    Mereka belajar melalui memasak.

    Dan mereka juga belajar dengan banyaknya hanya denga berusaha hidup melalui pandemik global ini.

    Inilah masanya untuk kita menghargai semua pengalaman ini, kurangkan tekanan terhadap diri sendiri dan berhenti mencuba meniru susun atur sekolah.

    Kita belajar dengan cara yang berbeza sekarang ni, dan itu adalah OK.

    Nor Azleen Abd Rahim

    parenting

    homeschooler

  • Pendidikan Awal Kanak-kanak

    Home Schooling vs Home Learning

    Mengapa disebut home schooling dan bukannya home learning? Sedangkan istilah home learning itu lebih tepat maksudnya.

    Hari ini bersekolah sudah menjadi suatu perkara wajib dalam norma kehidupan kita sehinggakan jika tidak menghantar anak ke sekolah pada usia 5 ke 6 tahun kita merasakan telah melakukan satu hal yang berdosa besar.

    Oleh itu ianya adalah satu hal membela diri dengan menggunakan istilah home schooling bagi menyatakan yang kita pun menyekolahkan anak kita.

    Sedangkan yang berbeza hanyalah persekitaran dan kaedahnya.

    Asas kepada bersekolah adalah belajar. Belajar pula boleh dilakukan di mana sahaja, pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan.

    Sekolah adalah salah satu cara untuk belajar.

    Jadi, bagi parents yang mengamalkan homeschooling, tidak perlu berasa rendah diri, dan bagi parents yang menghantar anak ke sekolah juga tidak perlu berasa bangga hati.

    Kita ingin menyelami ke dalam realiti yang perlu dipersoalkan, adakah benar bersekolah itu automatik belajar?

    Hari ini, ada ramai orang muda berkelulusan SPM/ STPM dan bukan sedikit graduan universiti dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang. Tetapi, ramai pula di kalangan orang muda kita ini yang menganggur.

    Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber asli serta pesat pembangunan teknologinya. Jika tidak, masakan begitu banyaknya warga asing dan PATI berpusu-pusu ingin memasuki negara ini demi mencari rezeki.

    Apa yang orang muda ini belajar di sekolah dan universiti?

    Ini adalah salah satu fakta bahawa belajar di sekolah belum tentu berkesan. Dalam erti kata lain, bersekolah belum tentu belajar.

    InsyaAllah, dalam posting yang lain kita akan bincangkan pula apakah erti dan maksud belajar yang sebenarnya.

  • Pendidikan Awal Kanak-kanak

    Homeschooling: Apa, Di mana, Bagaimana & Kenapa

    Petang ini saya nak kongsikan beberapa perkara asas tentang homeschooling.

    – Apa itu homeschooling?
    – Di mana saya buat homeschooling?
    – Bagaimana saya buat homeschooling?
    – Kenapa saya pilih homeschooling?

    Dan kalau anda tanya soalan, mungkin lebih banyak yang akan saya kongsikan.

    Jumpa saya petang ini, 20 minit live FB bersama saya di fb.com/cikguazleen79

    Khamis, 23 April 2020
    3.32 petang hingga 3.52 petang – 20 minit sahaja tau!

    Kongsikan kepada keluarga dan rakan-rakan. Mungkin ramai yang ingin tahu.

    Jumpa nanti petang gaiss!

    Nor Azleen Abd Rahim
    #powerupmychild
    #homeschooler

  • Tips Parenting

    Anak Susah Nak Fokus Masa Belajar, Apa Nak Buat?

    Anak susah nak fokus sewaktu belajar membaca?

    Hari ini saya nak kongsikan tips membantu anak yang susah nak fokus belajar membaca:

    Tips #1 – Pendekkan masa belajar

    Tips #1 Pendekkan Masa Belajar

    Menurut pakar perkembangan kanak-kanak, secara puratanya kanak-kanak berusia 4 ke 5 tahun, boleh fokus 2 ke 5 minit kali umur mereka. Maknanya mereka boleh fokus antara 2 ke 25 minit, bergantung kepada jenis tugasan yang dilakukan. Bagi tugasan yang mudah, mereka boleh fokus lebih lama, dan bagi tugasan yang sukar, tempoh untuk fokus lebih singkat.

    Jadi, mulakan dengan 2 minit sahaja masa belajar dan beransur-ansur memanjangkannya apabila anak telah selesa dengan masa tersebut.

    Tips #2 – Lakukan 1 sahaja perkara pada satu masa

    Tips #2 – Lakukan 1 sahaja perkara pada satu masa

    Kita mungkin berasa bangga dengan kebolehan kita untuk melakukan banyak tugasan (multitask) pada satu masa. Tetapi kajian jelas menunjukkan bahawa multitask mengurangkan tumpuan dan menjatuhkan prestasi. Bersesuaian dengan konsep kepekaan, lakukan 1 perkara sahaja pada satu-satu masa.

    Semasa mengajarkan membaca kepada anak, fokuskan kepada kebolehannya untuk membaca sahaja. Di waktu yang lain, bolehlah fokus kepada aktiviti belajar menulis pula.

    Tips #3 – Tentukan Masa dan Ruang Belajar Yang Khusus

    Tips #3 – Tentukan ruang dan masa belajar yang khusus

    Oleh kerana multitask mengganggu tumpuan, penting untuk kita kurangkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan multitask.

    Sediakan ruang belajar dengan meja dan kerusi khusus, yang jauh daripada televisyen. Letakkan telefon di bilik lain. Padamkan komputer kecuali apabila ia diperlukan untuk melaksanakan tugasan.

    Letakkan semua peralatan untuk belajar seperti alat tulis, pensel warna, kertas, buku Bacalah Anakku, buku aktiviti Fonetik Ekspress di ruang berdekatan supaya anak tidak perlu berlari ke bilik lain untuk mencarinya.

    Sebaiknya sediakan juga air dalam botol di atas meja belajar.

    Tips #4 – Tetapkan masa rehat antara belajar

    Tips #4 – Tetapkan masa rehat semasa belajar

    Kanak-kanak perlu berdiri, berlari, memanjat dan berguling. Mereka perlu bergerak selepas fokus belajar untuk masa tertentu. Banyak manfaat yang diperolehi apabila mereka dapat berehat dan recaj semasa tempoh belajar.

    Benarkan mereka makan snek atau bermain sebelum mereka menunjukkan tanda-tanda bosan semasa belajar.

    Tips #5 – Mudahkan Perkara Yang Sukar

    Tips #5 – Mudahkan perkara yang sukar

    Membaca adalah perkara yang sukar dilakukan kerana ia melibatkan kebolehan berfikir aras tinggi. Justeru mudahkan ia kepada 3 task kecil berikut:

    1- Ajarkan bunyi dahulu
    2- Ajarkan mengenal simbol
    3- Ajarkan menggabung bunyi

    Lakukan task-task kecil ini satu persatu sehingga anak berjaya membaca dengan lancar.

    Semoga 5 tips membantu anak fokus belajar membaca ini bermanfaat. Silakan share tanpa ragu-ragu.

    Nak lebih banyak tips dan info, join channel telegram saya di https://t.me/Literacyscientist

    Nor Azleen Abd Rahim

    literacyscientist

  • Tips Parenting

    Bagaimana Nak Bagi Anak Cepat Ingat Belajar?

    “Cikgu Leen, macamana nak bagi anak cepat ingat belajar?”
    .
    Alamak, ini memang soalan sangat popular, betul tak?
    .
    Ramai mak-mak yang rasa anak dia susah betul nak ingat apa yang diajar. Lambat naaa nak dapat – kata orang Johor.
    .
    Kadang-kadang tu kena ulang sampai 10-12 kali.
    .
    Haaa, tu yang akan bersambung dengan bebelan, “Mak dah ulang banyak kali pun tak paham-paham ke?”
    .
    Sabar ya mak-mak. Ni Cikgu Leen nak bagitau satu perkara.
    .
    Ikut kata pakar, sesuatu perkara itu akan lebih mudah diingati apabila ada 2 ciri-ciri berikut:
    .
    Yang pertamanya, ianya mestilah bermakna.
    .
    Haa mak-mak. Dok ulang ulang ulang abc sampai ke sudah. Bermakna ke tidak kalau huruf abc tu diajar secara individu?
    .
    Takde maknanya mak-mak. Kalau a (disebut ei), a dan a. Ulanglah 100 kali pun, a secara individu tidak mendatangkan apa-apa makna.
    .
    Ek eh, mak yang ajar fonik tu mulalah nak senyum kan. “Nasib baik aku ajar /a/”.
    .
    Mak, kalau ajar /a/ sekalipun, ulang 100 kali /a/, /a/ dan /a/, ianya tetap tidak mendatangkan makna. Macam burung gagak je.
    .
    Inilah datangnya fungsi Teknik Asosiasi dalam Kaedah Fonik Gabung Bunyi Bacalah Anakku.
    .
    Kita kaitkan bunyi /a/ macam bunyi kena panas.
    .
    Mak-mak, kalau kena panas buat apa? Mestilah menjeritkan? Jerit apa? aaaaaaaaaaaa.
    .
    Nah, kan datang dah makna untuk bunyi /a/.
    .
    Bunyi /a/ macam bunyi kena panas. Jadi, kita dah penuhilah ciri-ciri pertama untuk memastikan anak cepat ingat belajar.
    .
    Ada satu lagi ciri nak anak cepat ingat belajar, iaitu ianya mestilah beremosi.
    .
    Kalau nak sebut /a/ macam kena panas tu, buatlah bersungguh-sungguh. Berlebih-lebihan (over exaggerated).
    .
    Dengan mimik muka, dengan intonasi, dengan aksi – macam orang kena panas.
    .
    Haaaa barulah kita penuhi kedua-dua ciri untuk anak cepat ingat belajar iaitu:

    1. Bermakna
    2. Beremosi
      .
      Cubalah.
      .
      Nor Azleen Abd Rahim

    literacyscientist

    powerupmychild

    Nak lebih tips lagi, join channel telegram saya di https://t.me/LiteracyScientist

  • Pendidikan Awal Kanak-kanak

    Ubat Pensel?

    “Mommy, dapat pen.”

    “Ini pensel tekan namanya.”

    “Ini?”

    “Ini ubat pensel tekan.”

    “Bila nak guna? Kalau dia sakit?”

    Ahaks, itulah kita beritahu ubat dimakan apabila sakit.

    Jadi ubat pensel tekan?

    Salah guna perkataan mommy ini. Kan dah kena balik.

    Nor Azleen Abd Rahim

  • Pendidikan Awal Kanak-kanak

    Aurat 4 Tahun vs 7 Tahun

    Acapkali apabila saya menghadiri kursus di Read Network, Afiah dan Azmina saya tinggalkan di BACC Platinum Walk Setapak (Sekarang telah berpindah). Di sini selain daripada diberi makan, bermain dan tidur, mereka turut mendapat pelbagai ilmu.

    Bila ambil, bukan main meriahnya Azmina bercerita.

    “Ada lelaki dan perempuan. Lelaki boleh pakai seluar pendek sampai lutut. Perempuan boleh pakai seluar panjang sahaja.”

    Nah, apalah yang diajar agaknya ya. Kemudian datang pula Afiah bercerita.

    “Hari ini kakak belajar pasal aurat lelaki dan perempuan. Aurat lelaki dari pusat sampai lutut. Perempuan pula kena tutup semua kecuali muka dan dua tapak tangan.”

    Barulah mommy, “Oh, ini yang mereka belajar.”

    Mereka berada di tempat yang sama, melalui sesi pembelajaran yang sama, dengan guru yang sama. Tetapi penerimaan mereka tentang perkara yang sama itu menjadi berbeza.

    Anak yang empat tahun hanya tahu sampai ke tahap pakaian berbeza antara lelaki dan perempuan. Manakala anak yang tujuh tahun tahu sampai ke tahap aurat berbeza antara lelaki dan perempuan.

    Begitulah.

  • Komunikasi

    Anak Tak Suka Pergi Sekolah?

    “Patutlah dia asyik beri alasan sekarang ni kalau nak ke sekolah.”

    Cepat-cepat saya toleh ke ibu-ibu yang sedang membawang itu.

    “Siapa kak?”, saya pun nak sertai juga membawang ni. Huhu.

    Dan bermulalah cerita yang saya mesti kongsi di sini. Bukan untuk mengaibkan sesiapa, kerana saya tidak akan dedahkan siapakah individu yang terlibat. Semua nama watak dalam cerita berikut adalah nama samaran.

    Tapi untuk kita sama-sama ambil iktibar dan elakkan perkara ini berulang. Tidak kiralah kalian ibu ataupun guru. Kerana saya adalah kedua-duanya.

    Hari itu semua pelajar kelas Merah kena marah dengan Cikgu Lailah. Sebabnya semua pelajar gagal menyiapkan tugasan yang diberi sepertimana yang dimahukan oleh Cikgu Lailah.

    Pelajar siap tugasan diberi tetapi semua orang salah. Semua kena marah. Semua kena campak tugasan mereka oleh Cikgu Lailah. Termasuklah Anita.

    Cuma Anita lebih rapuh hatinya. Tatkala rakan-rakan lain sudah “move on” kena marah, dia masih menangis. Entah menangis kuat atau sekadar mengalir air mata. Tapi sepanjang dua waktu Cikgu Lailah di dalam kelas dia menangis.

    Tidak dinafikan, memang menjengkelkan apabila ada pelajar menangis di dalam kelas. Mungkin membuatkan Cikgu Lailah semakin naik angin.

    Lalu semasa Cikgu Lailah bertukar waktu, sempat disampaikan kepada Cikgu Zarina apa yang berlaku. Dari sudut pandangan Cikgu Lailah, Anita melakukan kesilapan.

    Cikgu Zarina berpihak kepada Cikgu Lailah. Anita diperli-perlinya sepanjang waktu dia mengajar. Semakinlah menjadi-jadi Anita menangis.

    Tidak cukup di situ, cerita bersampai di dalam bilik guru. Hampir semua guru tahu cerita Anita menangis di dalam kelas tidak berhenti-henti. Anita digelar budak manja, ke mengada-ngada. Tidak boleh dimarah, tidak boleh disentuh.

    Selang seminggu, pelajar Kelas Merah menyiapkan tugasan pembetulan. Mengikut apa yang Cikgu Lailah mahukan. Termasuklah Anita.

    Cikgu Lailah memungut semua tugasan pelajar kecuali Anita. Tidak bersebab. Cuma Cikgu Lailah tidak mahu menerimanya.

    Anita tertekan. Kawan-kawan mengata. Cikgu tidak suka padanya. Lalu Anita mula mencari alasan tidak mahu ke sekolah. Ada sahaja alasan diberitahu pada ibunya, kecuali dia tidak menceritakan perihal dia menangis berjam-jam di dalam kelas.

    Anita tidak memberitahu ibunya yang dia diperli oleh guru-guru di sekolah. Anita tidak memberitahu yang dia dikata oleh kawan-kawan.

    Anita cuma tidak mahu pergi sekolah lagi.

    Cerita ini disampaikan kepada saya oleh Suria, teman sekelas Anita.

    Sekolah sepatutnya menjadi tempat kanak-kanak boleh melakukan kesilapan. Kesilapan-kesilapan kecil agar kanak-kanak dapat mengelakkan kesilapan-kesilapan besar dalam kehidupannya selepas sekolah.

    Dan kesilapan kecil ini pastinya perlukan pembetulan. Mungkin juga perlu dihukum setimpalnya. Bukan dengan “death penalty”.

    Barulah namanya belajar. Kita belajar atas kesilapan yang kita lakukan. Kerana itu Thomas Edison kata, “I didn’t fail 1000 times. The light bulb was an invention with 1000 steps.”

    Siapa tahu apa yang mampu Anita lakukan di masa hadapan? Berilah peluang anak kecil ini belajar.

    Nor Azleen Abd Rahim

  • Homeschooling

    Bagaimana Afiah Homeschooling?

    Soalannya pendek sahaja, “Bagaimana Afiah homeshooling ya?”.

    Saya menarik nafas panjang. Soalan yang pendek itu, jika salah jawab bisa membuat orang marah atau berkecil hati.

    “Beginilah puan”, kata saya perlahan, “Pandangan saya mungkin berbeza dari kebanyakan orang. Bagi anak kecil ini, yang pentingnya adalah adab dan budi bahasa. Keseimbangan emosinya. Kemampuan dia memimpin, bukan sahaja dirinya tetapi juga orang lain berada di sekelilingnya.”

    Puan itu mengangguk-ngangguk sambil mulutnya menyebut, “Ya, ya. Betul.”

    “Manakala untuk akademiknya, saya tekankan kepada kemahiran asas sahaja.” Sambung lagi saya, “Iaitu membaca, menulis dan mengira. Afiah sudah boleh membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia. Bahasa Inggerisnya sudah agak baik, baru sahaja tamatkan ReadEasy Advanced.”

    “Oh, dah boleh baca bahasa Inggeris?”, wajahnya sedikit terkejut dan sedikit kagum.

    “Ya, boleh menulis cerita pendek dalam bahasa Inggeris juga. Sekarang kami sedang belajar jawi, matematik dan bahasa Arab.” Yakin sahaja saya memberitahu.

    “Bahasa Arab? Cikgu boleh mengajar bahasa Arab?”

    Eh, baru saya perasan. Salah tu. “Bukan bahasa Arab, maksud saya adalah Al-Quran.”

    “Oh.” Kurang kagum. Hahaha.

    “Saya ajarkan dia mengira dalam kehidupan seharian. Bermain dengan wang. Menguruskan wang belanjanya sendiri. Saya pernah juga hantarkan dia ke kelas tuisyen Sains kerana saya ini ibu yang malas membuat eksperimen.”

    “Oh”. Lagi. Semakin kurang kagum barangkali. Ibu malas mana yang homeschooling anak ini.

    “Dan dia juga ke kelas seni visual. Kerana saya tiada bakat seni visual. Saya suka seni persembahan. Dulu saya ada grup tarian sendiri dan Afiah join. Sekarang ni, saya sudah kekurangan masa untuk menguruskannya, jadi saya hantar Afiah belajar menari dengan trainer lain.”

    “Oh.” Buat kali ketiga. Sudah tidak kagum langsung. Huhu.

    “Begitulah buat masa ini, saya ambil satu langkah sahaja pada satu masa. Banyak-banyak nanti tersadung pula, tak tahu langkah mana yang mahu pergi dulu.”

    Saya senyum, bangun berdiri dan meminta diri.

  • Pendidikan Awal Kanak-kanak

    Anak Rabun Dekat Atau Jauh?

    Hari itu suami buat cermin mata baru di A-Look Aeon Tebrau. Oleh kerana Afiah pun kerap mengadu tidak nampak, kami pujuk-pujuk dia untuk buat pemeriksaan mata.

    Hasilnya di dapati bahawa mata Afiah memang ada isu, cuma pekerja yang memeriksa itu kata dia tak boleh nak jelaskan dengan lebih lanjut sebab kepakaran dia bukan pada mata budak.

    Dia sarankan kami bawa Afiah ke klinik/ hospital buat pemeriksaan dengan doktor. Ataupun ada satu kedai optometri di Giant Plentong yang memang kepakarannya memeriksa mata budak.

    Dan lagi, dia juga berikan tips apabila nak periksa mata anak:

    Tips 1 – Pergi buat pemeriksaan mata pada awal pagi. Ini kerana mata anak lebih segar pada ketika ini. Jika pemeriksaan dilakukan pada waktu petang atau malam, mata anak akan kepenatan dan sedikit sebanyak akan mempengaruhi hasil ujian mata.

    Eh, rasa macam banyak dia bagi tips, tapi ingat 1 sahaja. Huhu.

    Tips 2 – Rupanya ada beza jika hasil pemeriksaan itu – (negative) atau + (positif). Dia tunjukkan yang hasil mata suami dan saya adalah negative. Tapi mata Afiah positif. Kanta yang akan digunakan untuk membetulkan penglihatan untuk kedua keadaan ini adalah berbeza.

    Kanta yang lebih cembung digunakan untuk mata positif dan menyebabkan mata nampak lebih besar.

    Cuma dia tak dapat cerita lebih details apa beza positif dan negatif tu.

    Melalui google, saya fahami bahawa simbol positif itu bermaksud farsighted (rabun jauh) dan simbol negatif adalah nearsighted (rabun dekat).

    Jadi, nanti kami akan bawa Afiah buat pemeriksaan mata lebih terperinci dengan doktor. Lebih baik, lebih tepat.

    Nor Azleen Abd Rahim
    #cikgumommy