• Tips Parenting

    Bagaimana Nak Bagi Anak Cepat Ingat Belajar?

    “Cikgu Leen, macamana nak bagi anak cepat ingat belajar?”
    .
    Alamak, ini memang soalan sangat popular, betul tak?
    .
    Ramai mak-mak yang rasa anak dia susah betul nak ingat apa yang diajar. Lambat naaa nak dapat – kata orang Johor.
    .
    Kadang-kadang tu kena ulang sampai 10-12 kali.
    .
    Haaa, tu yang akan bersambung dengan bebelan, “Mak dah ulang banyak kali pun tak paham-paham ke?”
    .
    Sabar ya mak-mak. Ni Cikgu Leen nak bagitau satu perkara.
    .
    Ikut kata pakar, sesuatu perkara itu akan lebih mudah diingati apabila ada 2 ciri-ciri berikut:
    .
    Yang pertamanya, ianya mestilah bermakna.
    .
    Haa mak-mak. Dok ulang ulang ulang abc sampai ke sudah. Bermakna ke tidak kalau huruf abc tu diajar secara individu?
    .
    Takde maknanya mak-mak. Kalau a (disebut ei), a dan a. Ulanglah 100 kali pun, a secara individu tidak mendatangkan apa-apa makna.
    .
    Ek eh, mak yang ajar fonik tu mulalah nak senyum kan. “Nasib baik aku ajar /a/”.
    .
    Mak, kalau ajar /a/ sekalipun, ulang 100 kali /a/, /a/ dan /a/, ianya tetap tidak mendatangkan makna. Macam burung gagak je.
    .
    Inilah datangnya fungsi Teknik Asosiasi dalam Kaedah Fonik Gabung Bunyi Bacalah Anakku.
    .
    Kita kaitkan bunyi /a/ macam bunyi kena panas.
    .
    Mak-mak, kalau kena panas buat apa? Mestilah menjeritkan? Jerit apa? aaaaaaaaaaaa.
    .
    Nah, kan datang dah makna untuk bunyi /a/.
    .
    Bunyi /a/ macam bunyi kena panas. Jadi, kita dah penuhilah ciri-ciri pertama untuk memastikan anak cepat ingat belajar.
    .
    Ada satu lagi ciri nak anak cepat ingat belajar, iaitu ianya mestilah beremosi.
    .
    Kalau nak sebut /a/ macam kena panas tu, buatlah bersungguh-sungguh. Berlebih-lebihan (over exaggerated).
    .
    Dengan mimik muka, dengan intonasi, dengan aksi – macam orang kena panas.
    .
    Haaaa barulah kita penuhi kedua-dua ciri untuk anak cepat ingat belajar iaitu:

    1. Bermakna
    2. Beremosi
      .
      Cubalah.
      .
      Nor Azleen Abd Rahim

    literacyscientist

    powerupmychild

    Nak lebih tips lagi, join channel telegram saya di https://t.me/LiteracyScientist

  • Tips Parenting

    Didik Anak Hormati Hak Orang Lain

    “Mommy, hari tu Haq guna outliner pencil kakak. Dia terbuka sikit. Susah kakak nak pakai dah.” Kata Afiah sewaktu mengemas begnya ke Muzart.

    Saya sedang memanaskan lauk untuk Azmina dan Isyraq. “Dia guna macamana?”

    “Kakak tak perasan dia ambil. Bila kakak tengok dah jadi gitu. Dia terbuka sikitlah. Boleh guna lagi tapi susah sikit.”

    “Bawa sini.”

    Pensel itu terpatah dua di tengahnya. Afiah kata Haq yang patahkan. Haq yang ambil tanpa disedarinya.

    “Kakak bagitahu teacher tak? Lain kali terus bagitahu teacher. Mommy nak cakap pun susah sebab dah seminggu ini.”

    “Teacher nampak. Teacher dah marah Haq.”

    Fuh. Susah juga kan. Saya sebolehnya tidak mahu masuk campur urusan dalam kelas dan juga urusan main anak-anak.

    Mematahkan atau merosakkan barang orang lain. Apabila di kelas saya, ia dianggap satu kesalahan serius.

    Kecil. Tetapi serius. Kerana yang kecil ini boleh menjadi besar jika tidak dididik dari awal.

    Tambahan lagi apabila ia dilakukan dengan sengaja. Fuh fuh.

    1. Anak-anak perlu belajar menghormati hak dan harta orang lain.

    2. Apabila mahu menggunakannya, perlulah minta kebenaran dahulu.

    3. Apabila menggunakannya, mestilah dengan cermat dan berhati-hati.

    4. Setelah gunakan haruslah bersyukur, berterima kasih dan memulangkannya kembali.

    5. Apabila ianya rosak semasa sedang digunakan hendaklah bersikap jujur. Meminta maaf dan menggantikannya dengan nilai yang sama.

    Dan semua ini diajar dari awal usia.

    Kesalahan yang dilakukan pada usia 7 tahun jika tidak dibendung boleh membawa kepada kesalahan lebih besar pada usia dewasa. Siapa tahu.

    Oh tidak, saya tidak mesej guru kelasnya ataupun ibu bapa Haq. Saya cuma betulkan pensel Afiah dan tunjukkan kepadanya ia masih boleh dipakai.

    Saya juga berpesan supaya menyimpan barangnya dengan teliti di dalam kelas bagi mengelakkan perkara yang sama berulang lagi.

    Sebentar tadi waktu hantar Afiah ke kelas, saya nampak Haq sudah datang. Saya pesan kepada Afiah, “Cakap dengan Haq, mommy kita marah awak patahkan pensel kita. Kalau awak buat lagi, nanti mommy kita datang kelas marah awak.” Haha.

    Afiah sengih -sengih malu sahaja. Rasanya dia cakap tak dengan Haq?

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Tips Parenting

    Carta Ramadanku Galak Anak Beramal

    Hari ini baru berkesempatan menampal carta Ramadan Ku untuk Afiah. Carta ini dikongsikan oleh Junior Aulad secara percuma.

    Carta ini bertujuan memberi ganjaran untuk anak melaksanakan ibadah sepanjang Ramadan. Asalnya ia diberi markah 10 bagi setiap ibadah dilakukan. Tapi saya gunakan smiley yang dibeli di Mr DIY. 1000 stiker smiley baru RM3.90 sahaja.

    Antara amalan yang dipaparkan dalam carta ini adalah sahur, puasa, solat-solat wajib, membaca Al Quran dan membuat amal baik.

    Ada juga ruang untuk membuat perkara tidak baik tetapi markahnya kosong sahaja. Untuk peringatan sahaja kepada anak.

    Untuk setiap amal yang Afiah lakukan, saya beri Afiah satu smiley. Bagaimanapun sebab hari ini baru tampal, bahagian solat-solat yang sebelum ini kami tidak tampal. Tidak ingat mana yang Afiah solat mana yang tidak.

    Untuk ruangan membaca Al Quran pula, saya gantikan dengan belajar membaca jawi. Afiah sedang belajar membaca jawi menggunakan buku Bacalah Jawi. Kaedah fonik gabung bunyi juga.

    Nanti kena buat satu carta tandas pula untuk Angah. Angah pun nak tampal smiley pula. Huhu. Angah belum belajar solat dan puasa.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Tips Parenting

    Mengurus Emosi Anak

    Tiba-tiba..

    “Tak ada lelaki suka kat kakak”, kata Afiah perlahan.

    Mommy bulatkan mata sambil hidung kembang kempis, “Apa kakak?”

    “Tak, kakak kata tak ada lelaki pun suka kat kakak, kecuali H. Tapi H tu lainlah.”

    Lain sebab H anak murid mommy. Dan H itu memang kelainan sangat.

    Mommy raup muka sampai ke dada, lepas tu tanya, “You mean suka like a friend or like a boyfriend?”

    “Like a friend.”

    Phew, lega. Sekejap.

    Sambungnya lagi, “Nanti kakak nak kawin dengan siapa kalau tak ada lelaki suka kat kakak.”

    Itu lebih macam pernyataan daripada pertanyaan. Oh men, Afiah baru 7 tahun dan dia sudah susah hati kerana tiada lelaki suka kannya.

    Iya, kerana dia homeschool, pergaulannya agak terbatas. Hampir 90% pergerakannya berada depan mata saya ataupun suami ataupun orang-orang yang kami percayai.

    Hishh, macam tak percaya pula antara banyak-banyak soalan itulah yang hendak ditanyanya.

    Tetapi ini adalah soal emosi. Mungkin ada anak yang emosinya cepat matang berbanding yang lain.

    Mahu ketawa atau mahu serius?

    Saya ambil yang tengah-tengah. Tidak mengetawakannya, tidak cuba menjadikan isu ini sebagai remeh temeh di matanya. Tetapi tidak juga mengambil serius perkara ini.

    Cuma berusaha menjadi tempat pertama yang dia luahkan perasaannya.

    “Sabarlah kakak, nanti kakak semakin dewasa kakak akan jumpa banyak lelaki lagi. Mommy doakan kakak jumpa lelaki yang hebat.”

    Abah sudah terbatuk-batuk tersedak dari tadi. Angah pula sudah sibuk masuk campur beritahu yang dia juga mahu kahwin.

    Afiah kembali senyum.

    Fuhhh. Mommy hirup teh tarik ais dengan lega.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Tips Parenting

    Didik Anak Menguruskan Kewangan

    Selain daripada IQ, yang lebih penting untuk hidup bahagia dan sejahtera adalah EQ dan FQ. Ini adalah antara perkara yang saya berusaha terapkan kepada anak-anak.

    IQ – Intelligeny Quotient

    EQ – Emotional Quotient

    FQ – Financial Quotient

    Afiah sudah hampir 7 tahun. Sudah pandai minta beli itu dan ini bila ke kedai. Juga sudah pandai memberi sebab kenapa dia perlukan itu dan ini.

    Jadi hari ini, saya mula berikan dia wang saku. RM1 bagi setiap hari. Diberikan setiap hari Sabtu.

    Jadi hari ini juga, mula ajar dia menulis rekod kewangan peribadinya sendiri.

    Mula-mula buka dompet Afiah yang telah dibelikan di Mydin bulan lepas. Harga dompet bawah RM10. Buka-buka, ek eh banyaknya duit kakak.

    Afiah senyum seraya berkata, “Kakak ambil mana-mana duit yang sepah-sepah kakak jumpa.”

    Huhu, memang tabiat saya menyelit duit di sana dan sini. Kononnya bila terjumpa tu terasalah kaya sekejap. Hahaha. Ok, lepas ini tidak boleh buat begitu lagi kerana ada yang tolong simpan dalam dompetnya.

    Jadi yang pertama ajar Afiah kira dan tulis jumlah duit yang ada. Kemudian mommy beri wang saku RM7 untuk minggu ini. Buat operasi tambah.

    Seterusnya, mommy tanya “berapa kakak nak simpan?”

    Ada sekeping wang RM10. Terus Afiah pilih nak simpan RM10. Bagus, permulaan yang bagus.

    Ajar pula tulis simpan RM10 dan buat operasi tolak. Baru masukkan wang ke dalam tabung.

    Sekarang wang yang ada mommy suruh Afiah masukkan dalam dompet. Dompet masukkan dalam handbag Afiah.

    Mommy pesan, “Dompet dan handbag kena bawa bila nak keluar. Mommy beri wang saku supaya jika kakak nak beli barang-barang yang bukan keperluan, kakak kena beli sendiri guna wang saku kakak.”

    Kelip-kelip mata Afiah cuba faham maksud mommy dengan barang keperluan.

    Mommy sambung lagi, “Contohnya macam semalam kakak nak beli buku cerita. Buku itu kakak nak beli sebab ia cantik, gambar princess kan?”

    Afiah angguk-angguk macam burung belatuk.

    “Nak beli buku sebegitu kakak kena pakai duit dari wang saku kakak. Tapi kalau nak beli buku yang berkaitan dengan belajar, yang mommy rasa keperluan, mommy dengan abah akan bayarkan.”

    Senyum sampai ke telinga.

    Beri anak duit perlu diberi bersama tanggungjawab. Begitulah mengikut apa yang saya faham dalam buku Jutawan Itu Anakku, karya Goh Hui Lee. Supaya anak jelas bagaimana menguruskan wang.

    Semoga bermanfaat.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    Afiah belajar menulis rekod kewangan peribadi

  • Tips Parenting

    Berapa Banyak Bahasa Nak Ajar Anak?

    Berapa banyakkah bahasa yang boleh kita ajar kepada anak kecil?

    Menurut Glenn Doman, pada usia 0 hingga 6 tahun, anak boleh menguasai sehingga 7 bahasa secara serentak.

    Menurutnya lagi, perkara tersebut boleh berlaku apabila seorang anak itu didedahkan kepada 7 bahasa sejak lahir oleh individu berbeza.

    Contohnya, seorang bayi yang lahir hasil perkahwinan campur. Ibu yang bertutur dalam bahasa Melayu, ayah yang bercakap dalam bahasa Inggeris, datuk sebelah ibu mahir bercakap bahasa Tamil, nenek sebelah ayah yang bercakap dalam bahasa Banjar dan seterusnya.

    Mereka ini pula menggunakan bahasa tersebut setiap kali mereka berkomunikasi dengan bayi tadi. Ringkasnya One Parent One Language.

    Dengan izin Tuhan, bayi ini boleh berkomunikasi dalam semua bahasa yang didedahkan kepadanya.

    Bagaimanapun hari ini ramai yang hanya mengambil kira ayat pertama Glenn Doman iaitu anak boleh menguasai sehingga 7 bahasa serentak.

    Maka kita pun padatkan jadual harian anak dengan segala bahasa yang kita punya akses kepadanya. Dari bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Mandarin, bahasa Tamil sehinggalah bahasa Rusia.

    Kemudian, anak tidak dapat menguasainya. Maka kita panik. Kita pun hantar anak ke segala macam kelas bahasa yang ada. Anak masih tidak dapat. Lebih teruk lagi apabila anak mula mencampuradukkan bahasa yang ada sehingga ia tidak lagi memberi makna yang boleh difahami.

    Semuanya kerana kita gagal membaca bahagian yang seterusnya dalam ayat Glenn Doman iaitu 7 bahasa itu didedahkan secara berterusan oleh penutur yang berbeza.

    Yang menjadi mangsa adalah anak. Semakin dia tidak menguasai bahasa yang dipelajarinya semakin dia merasa tertekan dan rendah diri. Semakin pula rendah peluangnya untuk menguasai apa yang dikehendaki dia belajar.

    Jadi, sebelum kita memaksa anak belajar 7 bahasa serentak, apa kata kita pun turut sama merasai apakah pengalaman mempelajari 7 bahasa serentak.

    Mampu ke kita?

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy nak belajar bahasa Arab.

  • Tips Parenting

    Tips Bina Authoriti Di Hadapan Anak

    Hari itu saya sedang memasak. Isyraq pula bermain di kaki-kaki saya. Azmina keluar masuk dapur ke depan sambil mulutnya bertanya itu dan ini. Afiah sedang menonton televisyen di depan.

    Sedang saya menumis, saya tidak nampak Isyraq. Saya panggil, “Afiah, tengok Isyraq mana.”

    Saya memang begitu. Kecuali jika saya berada di tandas, setiap masa saya akan mahu nampak di mana anak-anak saya berada. Terutamanya yang kecil-kecil.

    Afiah tidak bergerak dari kerusi yang didudukinya. Matanya masih terpaku menghadap televisyen. “Kakak tak tahu Isyraq kat mana.”

    Aduh, jawapan itu memang boleh bikin naik darah. Dapur pula sedang panas, tidak boleh ditinggalkan.

    “Afiah, tutup televisyen. Jika kerana televisyen Kakak tidak mahu tengokkan adik-adik, tak payah tengok televisyen.”

    Afiah bangun. Tutup televisyen. Dan bergerak ke Isyraq yang terlindung dari pandangan saya.

    Afiah tahu membuka dan menutup televisyen. Bahkan dia juga tahu menukar channel, melaraskan suara serta menukar bahasa.

    Tetapi authoriti adalah pada mommy. Mommy tidak perlu sembunyikan remote atau mencabut plag untuk menghalang anak-anak menonton televisyen.

    Sebab authoriti. Kata-kata ibu dan ayah adalah peraturan. Yang perlu dipatuhi tanpa membidas kenapa dan mengapa.

    Perkara sebegini diterapkan kepada anak sedari lahir. Anak hormat keputusan dan peraturan ibu bapa. Terutamanya selama mana anak masih tinggal di rumah ibu bapa.

    Anak hormati keputusan dan peraturan ibu bapa kerana faham bahawa ianya adalah untuk kebaikan dirinya. Bukan saja suka-suka menghalang dia dari berseronok.

    Memang tidak mudah untuk laksanakan. Tetapi ada tips.

    1. Ibu dan ayah mesti sefahaman. Jika ibu kata tidak boleh, ayah harus menyokong ibu dihadapan anak-anak. Jika tidak puas hati suarakan di waktu tiada anak-anak. Begitu juga sebaliknya.

    2. Jika mahu tukar keputusan, benarkan individu yang sama suarakan perubahan. Jadi anak nampak bahawa ibu atau ayah sefahaman.

    3. Tegas dengan keputusan. Jika sudah katakan anak tidak dibenarkan menonton televisyen selama 4 jam kerana melakukan kesalahan, pastikan ia dilaksanakan. Usah mudah jatuh hati apabila anak menangis merayu-rayu mahu menonton televisyen.

    Cukuplah tiga sahaja tips. Banyak-banyakpun tak boleh nak fikir sekarang ini. Hihi.

    Selamat beramal.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Tips Parenting

    Anak Kecil Prihatin Butiran

    Malam itu kami makan di Uptown PJ. Banyak yang sudah berubah. Maklumkan sejak berpindah ke Johor dan punya anak, jarang keluar malam. Huhu.

    Tiada kedai-kedai menjual barangan di kaki lima. Mungkin juga kerana orang bercuti Tahun Baru Cina. Entahlah.

    Kami pergi makan di sini. Tidak mahu buat ulasan kerana biasa-biasa sahaja. Tiada menu yang benar-benar mencuit hati.

    Usai makan lewat malam, waktu berjalan pulang ke kereta, kami nampak basikal ini. Tidak menarik perhatian kecuali Afiah yang memang sentiasa peka dengan perkara-perkara kecil.

    Katanya, “Mommy, kakak tahu ini tempat ketak basikal kan. Tapi orang tu salah letak basikal dia. Kakak tahu cara letak yang betul.”

    Ya Tuhan, begitulah anak kecil. Lagi-lagi dengan anak yang prihatin terhadap butiran seperti ini.

    Kau jangan langgar peraturan ataupun salah cakap. Pantas sahaja dia pick-up kesalahan kau.

    Ini dia nampak kau parkir basikal dengan cara yang salah. Belum lagi kalau kau melanggar peraturan lalu lintas.

    Beberapa kali dia tegur mommy pasal makan pizza. Kata diet, kenapa makan pizza makan megi?

    Bila tanya dia diet itu apa, dia bilang diet itu makan makanan yang sihat. Healthy food. Faham? Pizza? Megi? Tidak termasuk dalam senarai healthy food.

    Mommy beringat, berhati-hati apabila berbicara dengan anak kecil. Kata-kata kita boleh menjadi bahan bukti. Ibarat dibicara di mahkamah. Haha.

    Selamat hujung minggu.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    Memang nak kena saman tuan punya basikal ini. Mujur tidak ada no basikal.

    Mahu sangat ambil gambar dengan daun ini. Dua helai daun vs dua orang anak dara mommy.

  • Tips Parenting

    Kenali Multiple Intelligences Anak

    Dua ekor dinosaur ini dibina oleh salah seorang phonicsmarty kelas ReadEasy saya yang baru.

    Kagum saya dengan perincian yang diberikan oleh phonicsmarty ini. Tanduknya, ekornya, rahangnya mulutnya. Pheww! Macam real.

    Phonicsmarty ini sedikit lain. Ikut suka hati dia, tapi boleh ikut arahan.

    Bila ibu bapanya beritahu saya yang anaknya suka dinosaur sehinggakan ayahnya rasa nak buang semua dinosaur yang ada di rumah, tidaklah saya jangka anaknya berbakat begini.

    Saya boleh nampak masa depan dalam bidang seni reka visual yang luas untuk anak ini. Jika ibu bapanya mengambil perhatian dan memandang serius perkara ini.

    Tidak semua anak kita berbakat dalam bidang pendidikan formal. Ada 8 multiple intelligences.

    Lihat satu persatu. Mungkin anak kita berbakat seperti ini. Ia boleh dijadikan satu sumber pendapatan untuknya apabila dewasa kelak.

    Di Muzart ada jual sejenis playdoh yang akan kering dan keras selepas dibina bentuk-bentuk seperti ini. Harganya RM20 bagi satu warna.

    Jika ada anak yang berbakat seni halus begini, wajib belikan. Boleh dibuat model-model permainan. Penyimpan koleksi pasti ada yang berminat.

    Semalam saya sudah beritahu ibunya, “Anak puan ada bakat yang sangat luar biasa. Berbanggalah puan dan suami.”

    Ibunya hanya senyum, kurang yakin dengan pujian saya barangkali. Saya harap mereka akan ambil langkah sewajarnya untuk memupuk minat ini.

    Tunaikan tanggungjawab kita, sediakan ruang dan peluang untuk anak bereksplorasi tentang dunia ini.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy hoping for better world

  • Tips Parenting

    Buat Kerja Rumah Mengikut Usia

    Dari ruang santai, Azmina nampak saya makan roti bersapu mentega dan jem strawberi. Terus dia berlari ke meja makan dan memberitahu, “Mommy, Angah lapar lagi. Nak roti.”

    Saya suakan roti saya. Azmina menggeleng. “Nak Angah punya.”

    Saya buka plastik roti mahu mengambil roti baru untuknya. Azmina pegang tangan saya dan berkata, “Mommy, Angah buat ya.”

    Kalau ikutkan dalam hati ini, biarlah mommy sahaja yang buat. Selain daripada cepat, juga tidak berkecah atas meja ini.

    Mujurlah ada akal untuk berfikir kebaikan jangka panjang. “OK, pergi ambil pinggan dan pisau.”

    Laju Azmina membuka laci mengambil pisau menyapu mentega dan mengambil pinggan di rak.

    Memang kebanyakan barang di rumah ini disusun supaya mana-mana untuk anak itu boleh diakses sendiri oleh mereka.

    Tapi saya juga teringat rumah kawan saya yang sangat mesra kanak-kanak. Rumahnya dibina seperti separuh daripadanya adalah khusus untuk anak-anak.

    Sampaikan tandasnya pun ada dua versi. Versi yang sesuai untuk anak, dengan sinkinya yang lebih rendah, suis lampunya boleh dicapai. Paip air dan shower juga pada paras yang boleh diakses anak kecil.

    Anak berusia dua ke tiga tahun pun sudah boleh menggunakan tandas itu sendiri jika dilatih keselamatan di dalam tandas. Memang menarik.

    Anak-anak kecil banyak belajar melalui melihat. Melihat apa yang kita lakukan, lalu cuba meniru apa yang kita buat.

    Meniru adalah cara belajar yang paling mudah dan semulajadi. Tapi bila masuk ke sekolah, kalau ditangkap meniru semasa peperiksaan berat hukumannya.

    Anak-anak suka meniru gaya orang dewasa. Sebab itu antara permainan kegemaran ramai tidak kira lelaki atau perempuan adalah bermain masak-masak. Pengaruh ibu yang kuat dalam mendidik dan membesarkan anak barangkali.

    Sebenarnya boleh sahaja kita melatih anak membuat kerja-kerja sendiri mengikut kesesuaian umurnya.

    Anak satu tahun sudah boleh dilatih memasukkan baju kotornya ke dalam bakul. Juga membuang lampin kotornya ke dalam tong sampah. Atau memasukkan mainannya ke dalam kotak mainan.

    Anak usia dua tahun sudah boleh dilatih mengambil sendiri peralatan makannya. Mengutip makanan yang jatuh ke lantai selepas makan.

    Anak usia tiga tahun sudah boleh dilatih membantu menyediakan alatan untuk makan. Menyusun pinggan dan cawan. Mengemas baju-baju yang sudah dilipat ke dalam almari bajunya.

    Begitulah untuk peringkat usia seterusnya. Ada kerja-kerja rumah yang sudah boleh dilatih anak untuk buat bersama-sama.

    Melatih anak bermakna kita perlu buat bersama-sama dengan anak. Dilatih secara arahan terus. Anak melihat kita membuatnya dan dia meniru.

    “Begini kemas mainan. Letak mainan ini ke dalam bakul. Jom buat sama-sama.” Ha, begitulah.

    Bukan dengan menyuruh secara verbalnya sahaja.

    “Kemas mainan itu. Pergi buat sekarang.” Sedangkan mak sedang memasak di dapur.

    Termangu-mangu anak memikirkan bagaimana mahu kemas mainan. Maka dia akan mengemas mengikut versi dia.

    Jika itu yang berlaku, usah marah dulu. Fikir apakah silap memberi arahan. Yang selalu berlaku adalah bukan anak tidak faham arahan, kita yang mengarah memberi arahan yang tidak jelas. Lalu anak tafsirkan mengikut pemahamannya.

    Begitulah.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    Sapu sendiri mentega dan coklat. Mommy bukakan botol sahaja.

    Sudah pandai lipat selepas 2, 3, 4, 10 kali atau lebih mommy tunjukkan.

    Sedapnya roti yang dibuat sendiri.

  • Tips Parenting

    Benefits of Baby-led Weaning

    Isyraq memerhatikan potongan buah naga di hadapannya dengan penuh asyik. Dia menolak potongan buah tersebut dengan jarinya.

    Sejuk. Barangkali itu dalam fikirannya berdasarkan reaksi pada wajahnya. Mommy baru keluarkan buah naga itu dari peti ais.

    Isyraq cuba memegang buah naga dengan tangan kanannya. Licin. Terlepas.

    Isyraq mengangkat buah naga dengan mengepitnya menggunakan kedua-dua tangan kanan dan kiri. Mommy menepuk tangan gembira, memberi semangat kepada Isyraq.

    Isyraq jeling mommy. Apa nak buat dengan benda merah ini? Barangkali itu dalam fikirannya.

    Cium dulu. Isyraq letak berdekatan dengan hidung. Wangi. Agaknya itulah dalam fikirannya.

    Isyraq lihat mommy senyum. OK, saya buat betul. Apa lagi nak buat?

    Dan seperti kebanyakan bayi lain, deria seterusnya adalah merasa dengan lidah.

    Isyraq masukkan dalam mulut. Terkenyit-kenyit matanya. Buah naga sedikit masam. Terus diletakkan semula atas dulang makanan. Mommy masih senyum sambil tepuk tangan.

    Isyraq memicit-micit buah naga menjadi ketulan-ketulan kecil. Lembut. Mushy. Isyraq mengangkat tinggi tangannya yang memegang buah naga lalu meletakkannya di tepi kerusi.

    Yeah! Buah naga jatuh atas lantai. Mommy cepat-cepat tunduk mengutip buah naga yang jatuh di atas lantai. Lantas Isyraq cepat-cepat juga cuba memegang kepala mommy.

    Opppss! No no Isyraq. Jangan pegang kepala mommy dengan tangan yang kotor.

    Begitulah keadaan “main kotor” yang berlaku dalam baby-led weaning.

    Hari itu saya risau juga, eh, saya jarang sekali membenarkan anak-anak saya bermain kotor (messy play). Tapi bila fikir-fikir semula, dalam baby-led weaning (BLW) ini anak dapat peluang bermain kotor.

    Dalam BLW, anak mendapat peluang untuk mencuba makanan sendiri. Sesi makan menjadi lebih menyeronokkan kerana setiap orang memainkan peranan aktif.

    Anak mengawal sendiri apa yang hendak dimakan, banyak mana, berapa laju dan belajar tentang jenis-jenis makanan serta melakukannya sendiri.

    Secara naturalnya, bayi telah diprogramkan untuk meneroka dan membuat eksperimen untuk belajar tentang kehidupan. Mereka menggunakan tangan dan mulut sebagai makmal untuk mengetahui tentang pelbagai jenis objek termasuklah makanan.

    Melalui BLW, bayi mengetahui tentang rupa, bau, rasa dan tekstur pelbagai jenis makanan. Bayi juga berpeluang mengendalikan makanan dan mencuba rasa makanan yang telah dicampurkan.

    Ohhh, saya memang masih ingat bagaimana Afiah dan Azmina (secara berbeza masa) akan mencampurkan segala makanan dan minuman dalam satu bekas dan memakannya. Haru, mommy dan abah geleng kepala sahaja. Tetapi mereka makan sehingga habis.

    Walaupun nampak seperti bermain, hakikatnya dalam dunia bayi mereka tidak pernah bermain. Segala apa yang mereka lakukan adalah sentiasa belajar.

    Dan kebanyakan perkara yang boleh mereka pelajari melalui permainan pendidikan terbaik (dan termahal) boleh dipelajari dengan mengendalikan makanan.

    Contohnya, bayi dapat belajar bagaimana memegang sesuatu yang lembut tanpa memecahkannya atau memegang sesuatu yang licin tanpa menjatuhkannya.

    Dan konsep-konsep seperti lebih sedikit, lebih banyak, saiz, bentuk, berat dan tekstur juga dapat dipelajari semasa makan.

    Dengan menggunakan keseluruhan deria mereka (melihat, menyentuh, mendengar, bau dan merasa), bayi dapat mengaitkan semua perkara ini antara satu sama lain dan lebih memahami tentang dunia besar sekeliling mereka.

    Menyuap makanan sendiri memberi peluang kepada bayi berlatih aspek penting dalam perkembangan diri.

    Sewaktu menggunakan jari untuk memasukkan makanan ke mulut bermakna mereka berlatih koordinasi mata dan tangan, menggenggam makanan pelbagai saiz dan tekstur beberapa kali sehari pula meningkatkan kecekapan mereka.

    Mengunyah sendiri makanan pejal akan menguatkan otot-otot muka yang membantu mereka belajar bercakap kelak.

    Cuma satu yang ibu ayah perlu bertahan, kotor dan bersepah. Hihi.

    Tapi jangan bimbang kerana bagi kebanyakan bayi, masalah kotor dan bersepah ini hanya mengambil sedikit masa. Dua ke tiga bulan sahaja. Dan lagi, sebenarnya juga ada tips dan trik untuk menguruskan masalah kotor dan bersepah ini.

    Yang lebih penting adalah bayi mendapat pelbagai manfaat melalui BLW.

    Selamat menjamu selera.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy suka praktis baby-led weaning

    Penafian:

    Saya bukan pakar kanak-kanak mahupun pakar keibubapaan.

  • Tips Parenting

    Cara Didikan Dahulu

    Beberapa hari ni tular video pendek anak yang kena baling dengan besen bila dia curi-curi tengok telefon masa belajar. Sangkanya mak dia tak perasan. Elok pula maknya boleh baling besen tu masuk tepat kat kepala. Hahaha. Memang kelakar.

    Mengingatkan saya pada gaya arwah abah saya mengajar kami mengaji. Masa itu umur saya sekitar 8 ke 9 tahun baru nak belajar Muqaddam.

    Arwah abah memang garang. Garang gila senang cerita. Kalau hitam katanya, memang hitamlah. Tidak akan menjadi kelabu apatah lagi putih.

    Belajar dengan abah memang menakutkan. Hihi. Dia tunjuk pakai rotan sahaja.

    Tapi ada satu peristiwa yang tidak boleh saya lupakan.

    Saya tidak ingat surah apa yang sedang saya belajar masa itu, tetapi ianya agak sukar. Jadi memang belajar sambil air mata meleleh.

    Sedang-sedang belajar mengaji, boleh pula mak ajak abah pergi Tiram (pekan).

    Jadi, abah pun beritahu yang dia nak pergi Tiram dengan mak, tetapi saya dan adik perlu sambung belajar mengaji. Dia tahu dia pulang dari Tiram, kami mesti dah dapat surah tersebut.

    Agak lama juga dia pergi Tiram tu. Perjalanan dari rumah kami ke Tiram mengambil masa lebih kurang 30 minit sehala. Jadi boleh bayangkanlah agaknya lebih kurang 2 jam dia pergi.

    Dan selama 2 jam itu jugalah, saya duduk tidak bergerak dari kerusi meja belajar mengaji itu. Hanya bermain mata dan mengangkat kening dengan adik. Hahaha. Punyalah takut.

    Selepas abah pulang dari Tiram, dia tidak semak pun bacaan. Dia suruh kemas dan tidur.

    Begitulah arwah abah mendidik. Garangnya fuh kemain. Pernah dia lihat saya terbaring tidak ke sekolah agama, terus dirotannya. Rotan bukan sedikit-sedikit. Selepas kita sakit meraung dirotan, baru ditanya mengapa tidak ke sekolah?

    Saya demam waktu itu. Bila dia pegang, panas. OK, dia diam dan pergi. Tunggu sehingga emak balik kerja, baru dia bagitahu emak yang saya demam dan suruh emak yang tengokkan.

    Tetapi dalam pada itu dia juga memberi saya peluang bermain dengan kawan-kawan. Bermain sepuas-puasnya. Asalkan pukul 6 sudah pulang ke rumah. Lepas Maghrib, mesti mengaji.

    Tidak pernah ada hari yang kami tidak berpeluang bermain bebas. Jika tak dapat keluar dari kawasan rumah pun, bebas bermain di depan rumah. Atau dalam rumah.

    Main kotor pun boleh. Orang sekarang kata messy play.

    Teringat Dr Putri Afzan kata sehari anak perlu bermain bebas sekurang-kurangnya 3 jam. Bermain bebas bukan dengan peraturan orang dewasa.

    PLAY DOES WORK!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy