Cara Didikan Dahulu

Beberapa hari ni tular video pendek anak yang kena baling dengan besen bila dia curi-curi tengok telefon masa belajar. Sangkanya mak dia tak perasan. Elok pula maknya boleh baling besen tu masuk tepat kat kepala. Hahaha. Memang kelakar.

Mengingatkan saya pada gaya arwah abah saya mengajar kami mengaji. Masa itu umur saya sekitar 8 ke 9 tahun baru nak belajar Muqaddam.

Arwah abah memang garang. Garang gila senang cerita. Kalau hitam katanya, memang hitamlah. Tidak akan menjadi kelabu apatah lagi putih.

Belajar dengan abah memang menakutkan. Hihi. Dia tunjuk pakai rotan sahaja.

Tapi ada satu peristiwa yang tidak boleh saya lupakan.

Saya tidak ingat surah apa yang sedang saya belajar masa itu, tetapi ianya agak sukar. Jadi memang belajar sambil air mata meleleh.

Sedang-sedang belajar mengaji, boleh pula mak ajak abah pergi Tiram (pekan).

Jadi, abah pun beritahu yang dia nak pergi Tiram dengan mak, tetapi saya dan adik perlu sambung belajar mengaji. Dia tahu dia pulang dari Tiram, kami mesti dah dapat surah tersebut.

Agak lama juga dia pergi Tiram tu. Perjalanan dari rumah kami ke Tiram mengambil masa lebih kurang 30 minit sehala. Jadi boleh bayangkanlah agaknya lebih kurang 2 jam dia pergi.

Dan selama 2 jam itu jugalah, saya duduk tidak bergerak dari kerusi meja belajar mengaji itu. Hanya bermain mata dan mengangkat kening dengan adik. Hahaha. Punyalah takut.

Selepas abah pulang dari Tiram, dia tidak semak pun bacaan. Dia suruh kemas dan tidur.

Begitulah arwah abah mendidik. Garangnya fuh kemain. Pernah dia lihat saya terbaring tidak ke sekolah agama, terus dirotannya. Rotan bukan sedikit-sedikit. Selepas kita sakit meraung dirotan, baru ditanya mengapa tidak ke sekolah?

Saya demam waktu itu. Bila dia pegang, panas. OK, dia diam dan pergi. Tunggu sehingga emak balik kerja, baru dia bagitahu emak yang saya demam dan suruh emak yang tengokkan.

Tetapi dalam pada itu dia juga memberi saya peluang bermain dengan kawan-kawan. Bermain sepuas-puasnya. Asalkan pukul 6 sudah pulang ke rumah. Lepas Maghrib, mesti mengaji.

Tidak pernah ada hari yang kami tidak berpeluang bermain bebas. Jika tak dapat keluar dari kawasan rumah pun, bebas bermain di depan rumah. Atau dalam rumah.

Main kotor pun boleh. Orang sekarang kata messy play.

Teringat Dr Putri Afzan kata sehari anak perlu bermain bebas sekurang-kurangnya 3 jam. Bermain bebas bukan dengan peraturan orang dewasa.

PLAY DOES WORK!

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Peraturan Vs Rutin Anak 4 Tahun

Hari itu ada seorang kawan cerita dengan saya.

Anak 4 tahunnya menangis setiap kali ke tadika. Apabila ditanya anaknya kata cikgu selalu marah-marah padanya.

Apabila ditanya pada cikgu, cikgunya kata anaknya suka mengusik kawan-kawan dan tak dengar cakap.

Kawan ini akui anaknya ini memang sikit huhu.

Hmmm, anak 4 tahun masih lagi dalam fasa “dunia ini aku yang punya”. Segala-galanya adalah mengenai dia dan dia sahaja.

Walaupun ada sebahagian anak yang matang cepat sedikit dan sedia menerima bahawa ada individu lain yang hidup bersama dalam dunia ini dan kita perlulah saling berkongsi. Tidak semua anak yang matang dengan mudah begini.

Anak kecil belum tahu bezakan perkara baik dan buruk. Yang dia tahu seronok dengan tidak sahaja.

Lompat-lompat dalam lopak, menyeronokkan bagi dia tapi pada kita kotor dan geli.

Tarik rambut kawan dan kawan pula menjerit-jerit, dia anggap itu gurauan dan kawannya suka sebab itu menjerit tapi bagi kita ia menyakitkan orang lain.

Bermain dengan paip air sungguh indah baginya melihat air terpercik ke sana sini tapi bagi kita membazir.

Lantas kita labelkan anak ini nakal, degil dan jahat.

Kita marah-marah dan membebel.

Sejauh mana anak itu faham apa yang kita bebel dan marahkan?

Kawan-kawan, samada anda ibu atau guru, tarik nafas dahulu dan bertenang.

Tiada siapa sukakan peraturan tetapi peraturan itu penting untuk hidup dalam aman harmoni.

Memberitahu peraturan kepada anak kecil adalah sia-sia. Kerana mereka tidak faham.

Tetapi anak kecil sukakan rutin.

Ingat bagaimana apabila dari kecil kita ajar anak supaya pakai seluar dahulu baru baju, tiba-tiba satu hari kita pakaikan baju dahulu, dan dia akan bertanya, “mana seluar mommy?”

Peraturan adalah apabila kita beritahu mereka “Tidak boleh memukul atau menyakitkan kawan sebelah.”

Rutin adalah apabila kita tunjukkan mereka “Jumpa kawan salam dan peluk, tanya apa khabar.”

Peraturan adalah apabila kita beritahu mereka “Buku dan permainan hendaklah sentiasa kemas dan tidak bersepah”.

Rutin adalah apabila kita tunjukkan mereka bahawa untuk mengemas buku, ambil buku dan masukkan ke dalam beg atau letak di rak buku dengan cara begini. Manakala mainan pula hendaklah dimasukkan ke dalam kotak merah dengan cara begini.

Bersabarlah dalam mendidik anak. Mereka sedang cuba mempelajari dunia ini dan kita harus menyokong mereka.

Dengan penuh kasih sayang.

PLAY DOES WORK!

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

EQ vs IQ

Akhirnya selesai UPSR. Ececeh. Apa kena mengena UPSR dengan saya? Haha.

Dapatlah baca keluhan kawan-kawan yang ada kena mengena dengan UPSR. Antara khabarnya adalah soalan Sains sangat senang. Soalan Matematik pula katanya sangat susah.

Lepas selesai peperiksaan Matematik hari itu, adalah dapat mesej yang kononnya ada pelajar yang lari keluar dewan dan membuat cubaan untuk terjun banguan a.k.a bunuh diri. Alasannya kerana gagal menjawab semua soalan.

Ada juga yang cerita top scorer sekolah pun menangis berjuraian air mata keluar dari dewan peperiksaan. Ada lagi yang beritahu budak mengamuk patahkan semua pensel dan koyakkan bendera-bendera di sekolah.

Viral juga minggu ini berita tentang gadis yang mencium pipi Sultan Johor semasa Kembara Mahkota Johor. Mengikut laporan polis yang diviralkan, gadis tersebut dikhabarkan kurang siuman selepas gagal mendapat 19A dalam peperiksaan SPM beliau beberapa tahun yang lepas. Beliau dapat 18A 1B sahaja.

Phiewww.

Dan bukan juga rahsia bahawa beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat kes-kes bunuh diri kerana gagal mendapat A penuh dalam peperiksaan. Baik peperiksaan SPM mahupun UPSR. Yang PMR jarang pulak dengar. Tapi yang dapat E penuh, mereka relax sahaja.

Semua ini mengingatkan saya kepada perkongsian Dr Putri Afzan Maria dalam Froebels Kuantan yang lepas. Beliau telah menjalankan satu kajiselidik tentang faktor pemilihan prasekolah/ tadika ke atas 30 orang ibu bapa.

Majoriti daripada ibu bapa menyebut mereka memilih sesebuah prasekolah/ tadika itu berdasarkan reputasi akademiknya – cikgu berpendidikan, kurikulum yang berkesan, prasarana yang tip top, terkenal kerana banyak pelajarnya yang boleh membaca, menulis dan mengira.

Hanya 2 daripada ibu bapa tersebut menyebut mereka memilih prasekolah/ tadika yang anak mereka SUKA untuk pergi, yang anak mereka SUKA dengan cikgu yang mengajar.

Isu kes anak mengamuk, menangis dan bunuh diri kerana gagal peperiksaan bukanlah semata-mata kerana soalan terlalu sukar, banyak sangat soalan KBAT. Ini adalah simptom sahaja.

Kita boleh buang soalan KBAT dari peperiksaan, kita juga boleh tukar beri semua soalan mudah dalam peperiksaan. Tapi apakah semua ini akan menyelesaikan masalah sebenar yang berlaku?

Dalam kehidupan sebenar, ada ketikanya kita akan berhadapan dengan situasi yang tidak menyebelahi kita, yang sangat sukar, yang akan membuatkan kita merasai kegagalan.

Adakah setiap kali melalui situasi sebegini kita akan bertindak menyalahkan orang lain, menangis-nangis, mengamuk merosakkan harta benda awam atau lebih teruk lagi membunuh diri (atau membunuh orang lain)?

Tidak kan?

Kita kurang memberi perhatian kepada emosi anak. Terutamanya apabila anak telah masuk usia persekolahan.

Kalau dulu, usia persekolahan 7 tahun. Sekarang ni usia persekolahan sudah jadi 4 tahun. Malahan ada yang berhajat nak hantar anak berusia 3 dan 2 tahun ke kelas membaca saya. Aduhai!

Anak menangis, kita suruh diam. Kita anggap dia mengada-ngada, manja terlebih. Kita minta dia pendam emosinya. Kita kata itu biasa.

Berapa kali kita selami betul-betul perasaannya? Walaupun dia menangis kerana bukunya diconteng oleh adik.

Yang saya nampak, anak membunuh diri atau menjadi kurang siuman apabila gagal dalam peperiksaan (tak adalah gagal manapun kan kalau dapat 18A 1B daripada 19 subjek yang diambil) adalah kerana kurang keupayaan untuk mengawal emosi.

Dan serius, jumlah kanak-kanak dan remaja yang gagal mengawal emosi ini semakin bertambah dan membimbangkan. Anda boleh google sahaja nombornya.

Bantulah anak mematangkan emosinya (EQ) terlebih dahulu sebelum membangunkan akademiknya (IQ).

Lagipun, dalam dunia realiti, kita lebih banyak bermain dengan emosi berbanding dengan intelektual.

Ramai yang kata untuk berjaya anda memerlukan 90% keazaman dan ketabahan, manakala 10% lagi adalah pengetahuan dan kemahiran.

Dari mana datangnya keazaman dan ketabahan jika emosinya tidak stabil?

PLAY DOES WORK!

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Ajar Dahulu, Baru Uji.

Hari ini, dalam perjalanan ke Bacang Corner untuk membeli makan malam, Afiah bertanya, “Mommy, 99 tambah 1?”

“100. Lagi?”

Abah pun terus sampuk, “Kakak, kalau 5 tambah 95?”

Afiah diam.

Sebenarnya Afiah baru belajar operasi ni setakat nombor bawah 20. Bukan saya yang hadkan, tapi setakat ini memang itu sahaja yang saya nampak dia sampai.

Saya tidak mengajar dia. Saya ni jenis menunggu bila dia nak “klik”. Bila dia “klik” barulah saya buat pengukuhan. Itu style saya homeschooling anak.

Perlahan, dengan nada sedih dan kecewa, Afiah berkata, “Kakak tak tahu.”

Itulah yang berlaku apabila anak diberikan soalan melebihi pengetahuannya.

Sedangkan dia belum diajar bagaimana mahu mengira 95 + 5 di atas kertas, mahu pula diuji secara lisan, secara congak.

Dalam keadaan begini, ada dua kemungkinan yang boleh berlaku.

Pertama, jika dia dapat menjawabnya dengan betul, ia akan memberi impak positif kepada si anak. Dia akan lebih berkeyakinan dan bersemangat untuk belajar kemahiran yang lebih tinggi.

Kedua, jika dia tidak dapat menjawabnya dengan betul, bahkan mungkin tidak dapat membayangkan pun bagaimana mahu mengiranya, dia akan kecewa dan sedih. Lebih teruk mungkin mula membenci kemahiran yang berikutnya.

Kawan-kawan, jika mahu menguji anak, ujilah dengan kemahiran yang telah diajar. Ujilah dengan soalan yang kalian yakin dia akan dapat menjawabnya dengan betul.

Usah saja-saja nak menguji anak. Apakah tujuannya?

Bergurau?

Mahu tahu anak pandai atau bodoh?

Apa faedahnya jika kalian tahu anak pandai atau bodoh?

Ini bukan setakat cerita pasal matematik sahaja.

Jika anak kalian sedang belajar membaca juga, berilah anak baca buku yang bersesuaian.

Jika anak baru level Buku 2, usahlah hulurkan Buku 4 suruh anak baca.

Bayangkan, kalian diberikan Journal Medicine tahap Doktor-doktor pakar itu. Dalam bahasa Inggeris. Disuruh kalian baca, sedangkan bahasa Inggeris kalian belum tahap dewa-dewa. Baru tahap biasa-biasa.

Hampir setiap perkataan kalian kena mengeja. Hampir setiap perkataan kalian kena buka kamus mahu cari maknanya.

Apa perasaan kalian? Mahu terus baca atau mahu humban buku itu ke dalam tong sampah hijau paling jauh dari rumah?

Tentu yang kedua bukan. Tak mahu baca. Tidak faham. Boleh sakit jiwa, tertekan.

Begitu juga dengan anak.

Hentikan menguji anak dengan sesuatu yang belum kalian ajar. Hentikan menguji anak dengan soalan yang kalian tak pasti dia dapat jawab.

Ajar dulu, baru uji.

Kalau tak uji pun apa salahnya? Bukan ada bangunan yang akan runtuh. Anak baru 6-7 tahun.

Lagi baik main sahaja.

PLAY DOES WORK!

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Eksperimen Tumpahkan Susu – Jangan Marah Dahulu

Hari itu Azmina ambil botol susunya dan terbalikkan. Sambil melihat air susunya menitis ke bawah. Dia senyum tanda gembira.

Afiah pun jerit, “Mommy, angah kan tumpahkan susu.”

Mommy pun cakap, “Angah, susu dah tumpah. Macamana ni?”

Azmina cuma sengih dan balas, “Uuu, ngah ngok je”. Terjemahan –> Tak tahu, angah tengok sahaja.

Dalam seminar Froebel tempoh hari di Kuantan, Doktor Masturah ada beri penerangan terperinci tentang tingkah laku ini.

  1. Bila mommy buat susu dan kocak depan angah, kadang-kadang ada percikan susu keluar. Angah melihat dengan penuh takjub.

  2. Bila angah dapat botol susu dan minum secukup untuk dia kenyang dan memulakan eksperimen. Dia kocak juga. Tapi tiada lagi percikan susu. Mungkin kerana salah cara mengocak ataupun kerana suhu susu telah turun maka tiada lagi tekanan untuk mengeluarkan percikan susu.

  3. Angah merasa dia perlu berusaha untuk mengeluarkan susu dari botolnya. Jadi dia teruskan eksperimen dengan menonggengkan botol tersebut. Taa daa, susu jatuh akhirnya. Eksperimen berjaya.

Selalunya, mommy akan akhiri eksperimen tersebut dengan jeritan atau marah, “Angah, kenapa buat macam ni. Kan susu dah tumpah. Dah kotor.” Dan bla bla bla. Bebelan demi bebelan.

Apabila kita buat begitu (marah dan membebel) kita telah memberikan tekanan kepada otak anak dan juga menghentikan sel-sel otak yang sedang cuba membuat hubungan.

Hubungan terhenti. Eksperimen tidak lengkap.

Kawan-kawan, apa kata mulai hari ini kita beri peluang anak untuk bermain lebih sedikit.

Air susu sahaja pun. Kotor sedikit sahaja pun. Boleh dilap, dibersihkan ataupun boleh dibeli baru.

Berbanding dengan terjalinnya hubungan antara sel-sel otak anak yang sedang belajar. Yang akhirnya membolehkan anak mencapai kemahiran berfikir aras tinggi atau singkatannya KBAT.

Cuba ingat semula zaman kanak-kanak kita. Penuh dengan bermain. Tunaikan hak anak untuk bermain juga.

PLAY DOES WORK!

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Mendidik Anak 0-6 Tahun Cara Span

Hari tu, sedang saya syok-syok duduk sahaja, Afiah tanya,

“Mommy, 2 tambah 2 tambah 2 tambah 2 jadi 8 kan?”

“Ya, betul. Jadi 8. Pandai kakak kira.”

Diam sesaat.

“Erm, 2 kalau 4 kali jadi 8.” Afiah membebel sendirian tetapi saya boleh dengar.

“Ya kakak, 4 kali 2 sama dengan 8.”

“4 kali 2 sama dengan 8?”

“Ya, 4 kali 2 sama dengan 8.”

Afiah diam. Saya pun diam.

Menunggu informasi tersebut meresap ke dalam akalnya. Barangkali jika saya ada fMRI tentu seronok melihat bagaimana sel-sel otaknya sedang berhubung dan membina hubungan-hubungan baru.

“4 kali 2 sama dengan 8. 5 kali 2 sama dengan 10?”

“Ya, 5 kali 2 sama dengan 10. Kalau 6 kali 2?”

“6 kali 2 sama dengan 12. 7 kali 2 sama dengan 14.”

Dan yang seterusnya kalian sudah boleh agak.

Ya, mengajar anak sendiri akan jadi susah jika kalian membayangkan diri kalian menjadi guru dalam kelas.

Mahu suruh anak duduk di kerusi selama satu jam untuk melihat mommy membuat demo di hadapan.

Mengajar anak di rumah tidak perlu buat demikian. Mengajar anak hanya perlukan sedikit kesabaran untuk menunggu sel-sel otaknya berhubung.

Sebelum sel-sel otak itu boleh berhubung, pastikan informasi-informasi telah diberikan secukupnya.

Umur 0 hingga 6 tahun adalah waktu di mana otaknya menyerap sahaja segala apa yang berlaku di sekelilingnya.

Otaknya macam span. Serap dan serap. Lebih hebat dari span Scotch and Brite kerana otaknya menyerap tanpa batasan.

Kerana itu, dalam usia 0 hingga 6 tahun:

  1. Dedahkan anak dengan sebanyak mungkin perkara. Bawa anak berjalan dan mengembara.

Tidak perlu ke tempat yang mahal-mahal macam Legoland atau KidZania. Tempat seperti Zoo Johor yang bayarannya cuma RM5 itu sahaja pun akan memberi banyak input buat otak anak.

Tapi haruslah kalian pergi dengan bercerita dan memberi fokus padanya.

  1. Berhati-hati dengan apa yang kalian ucapkan pada anak. Ucap yang baik-baik sahaja. Dengan nada yang lembut-lembut sahaja. Muka yang manis-manis ibarat kuih seri muka baru dikukus.

Tapi kita ibu, ada masanya tidak dapat menahan perasaan. Jika ada kalanya terlepas kata sesuatu yang tidak baik, minta maaf dan peluklah dia.

Katakan, “Maafkan mommy, tadi mommy gagal menahan perasaan. Maafkan mommy kerana tengking kakak.”

Kerana apa yang kita lakukan dan ucapkan akan tertanam juga dalam mindanya sehingga dewasa. Jika dibiar lama akan terpendam. Sukar dipadam.

Mudahkan mendidik anak di rumah. InsyaAllah.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Sedikit kupasan ilmu dari #froebelss2017