• Tips Parenting

    Bagaimana Nak Bagi Anak Cepat Ingat Belajar?

    “Cikgu Leen, macamana nak bagi anak cepat ingat belajar?”
    .
    Alamak, ini memang soalan sangat popular, betul tak?
    .
    Ramai mak-mak yang rasa anak dia susah betul nak ingat apa yang diajar. Lambat naaa nak dapat – kata orang Johor.
    .
    Kadang-kadang tu kena ulang sampai 10-12 kali.
    .
    Haaa, tu yang akan bersambung dengan bebelan, “Mak dah ulang banyak kali pun tak paham-paham ke?”
    .
    Sabar ya mak-mak. Ni Cikgu Leen nak bagitau satu perkara.
    .
    Ikut kata pakar, sesuatu perkara itu akan lebih mudah diingati apabila ada 2 ciri-ciri berikut:
    .
    Yang pertamanya, ianya mestilah bermakna.
    .
    Haa mak-mak. Dok ulang ulang ulang abc sampai ke sudah. Bermakna ke tidak kalau huruf abc tu diajar secara individu?
    .
    Takde maknanya mak-mak. Kalau a (disebut ei), a dan a. Ulanglah 100 kali pun, a secara individu tidak mendatangkan apa-apa makna.
    .
    Ek eh, mak yang ajar fonik tu mulalah nak senyum kan. “Nasib baik aku ajar /a/”.
    .
    Mak, kalau ajar /a/ sekalipun, ulang 100 kali /a/, /a/ dan /a/, ianya tetap tidak mendatangkan makna. Macam burung gagak je.
    .
    Inilah datangnya fungsi Teknik Asosiasi dalam Kaedah Fonik Gabung Bunyi Bacalah Anakku.
    .
    Kita kaitkan bunyi /a/ macam bunyi kena panas.
    .
    Mak-mak, kalau kena panas buat apa? Mestilah menjeritkan? Jerit apa? aaaaaaaaaaaa.
    .
    Nah, kan datang dah makna untuk bunyi /a/.
    .
    Bunyi /a/ macam bunyi kena panas. Jadi, kita dah penuhilah ciri-ciri pertama untuk memastikan anak cepat ingat belajar.
    .
    Ada satu lagi ciri nak anak cepat ingat belajar, iaitu ianya mestilah beremosi.
    .
    Kalau nak sebut /a/ macam kena panas tu, buatlah bersungguh-sungguh. Berlebih-lebihan (over exaggerated).
    .
    Dengan mimik muka, dengan intonasi, dengan aksi – macam orang kena panas.
    .
    Haaaa barulah kita penuhi kedua-dua ciri untuk anak cepat ingat belajar iaitu:

    1. Bermakna
    2. Beremosi
      .
      Cubalah.
      .
      Nor Azleen Abd Rahim

    literacyscientist

    powerupmychild

    Nak lebih tips lagi, join channel telegram saya di https://t.me/LiteracyScientist

  • Seni Ajar Membaca

    5 Aktiviti Ajar Anak Membaca Usia 0-2 Tahun

    Membaca adalah sebahagian daripada perkembangan bahasa. Jika nak anak mudah belajar membaca, pastikan perkembangan bahasa anak dipupuk dengan baik.

    Hari ini saya nak kongsikan 5 aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak berusia 0 hingga 2 tahun untuk membantu memupuk perkembangan bahasa mereka.

    Aktiviti 1
    Bercakap dengan anak.

    Nak cakap apa? Cakap apa sahaja. Terutamanya apa yang sedang berlaku disekelilingnya.

    Bila nak mula bercakap dengan anak? Seawal dari dalam kandungan. Semasa mengandung sekitar minggu 23 ke 27, bayi sudah boleh mula mendengar.

    Bagaimana nak bercakap dengan anak? Cakap sahaja macam biasa. Seperti berbual. Bayi berusia 0-2 bulan sudah mula mengeluarkan bunyi-bunyi seperti aaaa dan uuuu.

    Dan siapa yang nak kena cakap dengan anak? Siapa sahaja yang berada di persekitarannya. Ibu, ayah, abang dan kakak, datuk dan nenek, pengasuh. Pendek kata siapa sahaja yang berpeluang berinteraksi dengan anak hendaklah sama-sama membantu proses perkembangan bahasa ini.

    Aktiviti 2
    Akui, acknowledge, ulang semula bunyi-bunyi yang dikeluarkan oleh bayi.

    Bayi berusia 0-2 bulan sudah mula mengeluarkan bunyi-bunyi seperti aaa dan uuu. Ulang semula bunyi ini kepada bayi setiapkali dia mengeluarkannya.

    Begitu juga apabila bayi semakin besar pada usia 7-12 bulan. Bayi akan mula menggabung bunyi seperti maaa, baaa, ulang semula bunyi-bunyi ini setiapkali bayi menyebutnya.

    Aktiviti 3
    Tiru ekspressi wajah bayi dan berlebih-lebihan

    Pernah main baa baa cak dengan bayi? Nah, ini aktiviti yang sangat bayi untuk membuat ekspressi wajah yang berlebih-lebihan.

    Buat muka terperanjat sehingga bayi ketawa terkekeh-kekeh.

    Eh, tapi janganlah pula meniru ekspressi wajah bayi yang menangis sehingga berlebih-lebihan. Kasihan.

    Aktiviti 4
    Bacakan buku cerita setiap hari.

    Kalian boleh gunakan buku yang sama berulangkali. Ini kerana pada kali pertama kalian membacanya, bayi belum boleh menangkap setiap perkataan yang kalian sebutkan.

    Setiap kali kalian mengulang baca, bayi akan dapat mendengar perkataan yang sama berulang kali dan mengingatinya.

    Kajian menunjukkan kanak-kanak lebih sukakan sesuatu yang boleh dijangka, bukan kejutan. Jadi apabila membaca buku yang sama, anak sudah boleh berinteraksi sama kerana mengetahui plot seterusnya.

    Aktiviti 5
    Berikan bayi cermin untuk melihat mulutnya semasa dia membuat bunyi

    Apabila mengajarkan bunyi, penting untuk memastikan kedudukan bibir dan lidah betul. Barulah bunyi yang dikeluarkan juga betul.

    Nah, itu dia 5 aktiviti yang boleh dilakukan bersama bayi berusia 0 hingga 2 tahun. Semoga aktiviti-aktiviti ini dapat membantu perkembangan bahasa bayi kalian.

    Dan apabila perkembangan bahasanya berlaku dengan baik, lebih mudah untuk mengajarkannya membaca kelak.

    Semoga bermanfaat.

    Sumber: Wiring The Brain For Reading

  • Seni Ajar Membaca

    Kelebihan Kaedah Fonik Bacalah Anakku

    Dalam Program Intensif Membaca Cuti Sekolah Whiztots, kami menggunakan Kaedah Fonik Gabung Bunyi Bacalah Anakku.

    Hari ini saya nak kongsikan kelebihan-kelebihan yang anak anda akan perolehi apabila membaca dengan kaedah ini:

    1 Senang

    Dalam kaedah ini anak hanya perlu ingat 28 bunyi sahaja dan menguasai teknik gabung bunyi. Dengan 2 perkara ini, anak akan boleh membaca hampir semua perkataan yang wujud dalam bahasa Malaysia.

    2 Mudah

    Kaedah ini mudah dikuasai anak kerana ianya logik. mmm dengan aaa digabungkan akan jadi “ma”. Cuma ’em’ dengan ‘ei’, jadi apa? Tidak akan jadi “ma”.

    3 Lancar

    Anak membaca lancar dengan menggabung bunyi. Anak tidak mengeja-ngeja dan tidak juga menghafal suku kata. Walaupun perkataan yang baru, perkataan yang tidak pernah diajar, ataupun perkataan yang panjang.

    4 Mengasah Kognitif

    Anak menggunakan pengetahuan akademik iaitu bunyi-bunyi huruf yang diajar dalam mengasah kemahiran kognitifnya, iaitu menggabungkan bunyi-bunyi tersebut semasa membaca.

    5 Pelbagai Bahasa

    Bukan setakat Bahasa Malaysia sahaja, dengan menggunakan pengetahuan gabung bunyi ini, anak akan boleh membaca dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Inggeris, Jawi, Bahasa Arab, bahkan mungkin Tamil dan Mandarin sekalipun asalkan anak diajar bunyi-bunyi dan simbolnya dalam bahasa tersebut.

    Cukuplah setakat 5 ini sahaja kelebihan yang saya kongsikan kali ini. Semoga bermanfaat.

    Klik share ya, terima kasih!

  • Seni Ajar Membaca

    Peraturan Bermain Untuk Belajar Membaca

    “Bila cikgu sebut /c/, cikgu nak awak lari ke depan dan rebut kad /c/“, ujar Cikgu Z.

    Saya jenguk ke kelas untuk melihat bagaimana ia dimainkan. Hanya ada satu set kad bunyi pada carta poket besar.

    “Cikgu Z, ada 2 kumpulan pelajar kan?”, saya bertanya. Terpaksa mengganggu kelas bagi memastikan permainan betul tekniknya.

    “Ya,” Cikgu Z angguk.

    Apabila memainkan apapun jenis permainan, satu syarat utama adalah memastikan setiap pelajar berpeluang untuk menang.

    Jika hanya ada satu set kad, sedangkan ada 2 kumpulan, maka statistiknya hanya satu kumpulan yang berpeluang untuk menang.

    Ini adalah permainan yang tujuannya mengajarkan membaca. Bukan mencari kumpulan mana yang lebih hebat dan tangkas.

    Maka, pastikan setiap kumpulan dapat kad dan berpeluang membacanya.

    Cepat atau lambat adalah perkara kedua. Kerana kena ingat tujuannya mengajarkan membaca.

    Cikgu Z bingkas masuk ke dalam bilik. 2 minit kemudian beliau keluar membaca satu set lagi kad bunyi.

    Nah, barulah lengkap bahan bermain. Permainan dimulakan.

    Semua dapat baca, walaupun terlambat 1 saat. Semua pelajar gembira.

    Tiada drama esak tangis dan kecewa kerana tidak mendapat kad.

    Ingat ya mommy, apabila mengajarkan anak membaca secara permainan yang berlawan, kena pastikan setiap anak berpeluang untuk menang.

    Pastikan set kad permainan mencukupi untuk semua orang. Walaupun nama permainannya rebut rebut. Rebut tetapi dapat.

    Semoga bermanfaat.

    Nor Azleen binti Abd Rahim