Dengar Bunyi Siren Dalam Kepala

Carta poket mini berbentuk kereta polis ini dilukis khas oleh ibu seorang pelajar kami. Anaknya bercita-cita nak menjadi seorang polis.

Sesi-sesi awal kami bersama anak ini kerap kali suruh saya diam.

“Syhhh syhhh ada bunyi. Nenoo nenoo. Cikgu dengar tak?”

Katanya dia boleh dengar bunyi siren dalam kepalanya.

Disebabkan itu, anak ini sukar fokus untuk belajar. Selain dari bunyi siren, ada juga sesekali dia mendengar orang bercakap-cakap.

Seram? Seram lagi kami yang mengajar. Huhu. Tambahan pula anak ini buat personal tutoring di lewat petang.

Di awal-awal dulu juga sangat sukar nak mengajak anak ini masuk kelas. Ada sahaja alasannya. Nak minum lah, nak biskutlah.

Sangat mudah terganggu. Angin bertiup pun boleh menoleh. Cakap kuat sedikit sakit telinganya.

Hari ini kami lihat sudah banyak perubahannya. Sudah baca buku 6. Agak lancar.

Dan lebih mengagumkan saya kerana dia boleh faham apa yang dibacanya. Dia akan mengulang ayat beberapa kali, mengerutkan dahi dan akhirnya senyum sambil menerangkan ayat tersebut melalui aksi.

Saya tanya padanya, “Masih ada bunyi nenoo nenoo, bunyi kereta polis tak?”

“Tak ada.” Jawabnya ringkas sambil senyum.

Perjalanannya masih jauh untuk mencapai satu standard yang membolehkannya belajar seperti kanak-kanak lain. Tapi sama-samalah kita doakan agar anak ini, yang tidak ada masalah ketidakupayaan IQ juga dapat berjaya dengan caranya yang tersendiri.

Amin.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Tak Boleh Terima Kekalahan

Sedang kami bermain boardgame lumba kereta sambil membaca, tiba-tiba dia menangis dan masuk ke bawah meja. Bukan pura-pura menangis. Air mata, air hingus, air liur segalanya keluar.

Ini bukan kali pertama dia begitu. Kali pertama dahulu saya terkejut juga. Tapi kali ini saya sudah bersedia.

Terus saya tarik tangannya dan peluk. Saya gosok kepalanya sambil memberitahu bahawa “Ianya ok untuk menang lambat.”

Dia menggeleng-geleng kepala sambil berkata, “Saya nak menang, nak menang.”

Saya tunjukkan board kepadanya, “Siapapun yang sampai ke tamat ini menang. Cuma cepat atau lambat. Ada orang menang cepat, ada orang menang lambat.”

Dia diam. Air mata berhenti mengalir. Begitu juga air hingus dan air liur. Hehe.

“Ok cikgu, saya nak menang.” Saya hulurkan buku untuk dia baca.

Begitulah, sukarnya dia menerima kekalahan, atau ketidak-menangan?!

Sesekali kami terima anak-anak yang punya keperluan istimewa begini. Mahu peluk, mahu sayang, mahu dipuji pandai.

Bukan kerana ibu ayahnya kurang memberi kasih sayang, kurang pelukan atau kurang pujian. Tapi kerana memang dia perlukan lebih dari orang lain.

Untuk anak ini, saya pesankan kepada ibunya supaya dapatkan juga bantuan kaunseling dari sekolah atau hospital. Emosinya perlu dibimbing lebih dari kemampuan kami.

Semoga satu hari nanti anak ini juga dapat belajar dalam suasana kelas bersama kawan-kawan. Baru lebih seronok. Sama-sama kita doakan.

Sama macam kehidupan kita ini, ia satu perlumbaan. Tapi dengan siapa kita berlumba?

Bukan dengan rakan, adik beradik ataupun jiran sebelah. Berlumbalah dengan diri sendiri. Jadi lebih baik dari yang semalam.

Semua orang ada trek lumbanya sendiri. Semua orang ada garis penamatnya sendiri.

Tak payah sibuk nak tengok trek orang ataupun penamat orang lain. Siapapun yang sampai ke penamatnya sendiri adalah pemenang.

Cuma soal siapa menang cepat atau lambat. Tetap pemenang.

Nor Azleen Abd Rahim
#cikgumommy

Undang-undang Buruh Memang Untuk Pekerja

Hari ini saya dihubungi oleh seorang lagi pelanggan yang telah membuat bayaran tetapi masih belum menerima produk yang ditempah. Pembelian telah dibuat pada bulan Mac yang lalu dan bayaran dibuat secara tunai.
 
Staf yang menguruskan jualan tersebut telahpun berhenti kerja pada bulan yang lepas. Lantas saya memeriksa rekod jualan untuk mengesahkan jualan dan juga transaksi bayaran telah berlaku.
 
Tiada rekod. Tiada rekod jualan dan tiada rekod bayaran dalam sistem.
 
Bagaimanapun pelanggan ada resit yang bertulis tangan. Tanpa cap perniagaan.
 
Ini adalah pelanggan ke-empat yang membuat aduan bayaran dibuat tetapi produk tidak diterima. Dan kesemua mereka membuat bayaran secara tunai. Tidak direkodkan dalam sistem.
 
Patutlah staf tadi marah sangat apabila saya memberikan beliau cuti 20 hari lebih awal dari tarikh tamat notis berhenti kerja. Cuti bergaji penuh. Katanya ada kerja yang belum selesai.
 
Lantas saya berikan beliau 2 jam untuk membuat senarai kerja yang belum selesai sebelum saya suruh beliau pulang. Dan kesemua perkara di atas itu tidak dicatatkan dalam senarai kerja belum selesai beliau.
 
Saya telahpun memanggil beliau datang ke Whiztots menjelaskan 2 daripada transaksi tersebut, yang ditemui sebelum tempoh notis tamat kerja beliau habis. Bagaimanapun beliau enggan dan menyuruh saya membuatnya sendiri.
 
Tidak tahu dimana nak bermula, saya semak semua akaun pelanggan. Setakat 70 akaun pelanggan tetap yang telah disemak, 18 darinya ada transaksi yang mencurigakan. Ada 30 lebih lagi akaun yang belum disemak. Entah apa lagi yang bakal ditemui.
 
Saya menahan gaji terakhir beliau dan meminta beliau hadir memberi penjelasan. Beliau pergi membuat aduan ke Pejabat Buruh.
 
Mujurlah pegawai tersebut menghubungi saya dahulu dan bertanya. Bagaimanapun, saya dinasihatkan untuk membayar gaji beliau kerana itu hak beliau. Manakala tentang transaksi mencurigakan yang ditemui adalah atas budi bicara beliau untuk menyelesaikannya.
 
Oh begitu rupanya. Berat rupanya menjadi majikan. Tapi berat di dunia ini sahaja. Pekerja datang kerja, kita wajib bayar. Tapi samada kerja itu dijalankan dengan amanah atau tidak, itu terletak di bahu pekerja.
 
Sukar juga nak memastikan amanah ini dilaksanakan atau tidak. Kerana itu kawan saya kata perlu SOP. Tapi fikir saya juga jika sudah ada SOP pun, masih lagi terletak di bahu pekerja samada mahu laksanakan amanah itu mengikut SOP atau tidak.
 
Semasa saya menjadi pekerja dahulu, saya kurang gemar jika kerja saya disemak dari A hingga Z oleh boss. Saya akan terasa seolah-olah tiada kepercayaan diberikan untuk saya melaksanakan tugas. Bila tiada kepercayaan, sukarlah untuk membuat keputusan dalam menjalankan sesuatu projek.
 
Kepercayaan itu saya balas dengan membuat laporan yang telus bagi setiap projek yang dijalankan. Tiada hanky panky atau sembunyi bawah skirting meja. Saya gembira, boss saya gembira juga.
 
Cuma rupanya tidak semua orang suka diberi kepercayaan. Ada yang suka jika kerjanya disemak setiap satu. Seperti budak tadika yang selesai tulis setiap perkataan mahu ditunjuk kepada cikgu.
 
Kalau mahu disemak setiap kerja, untuk apa saya ambil staf? hahaha.
 
Tak apalah, saya telah minta berbincang, tetapi beliau tidak mahu. Beliau lebih gemar bertindak mengikut undang-undang bertulis. Yang ternyata menyebelahi beliau. Apa yang saya sampaikan secara lisan, katanya tidak diterima. Macam bercakap dalam mimpi pula.
 
Hari ini saya tunaikan hak beliau. Saya bayar gaji beliau mengikut apa yang tercatat dalam buku kedatangan yang diisi setiap kali datang dan pergi kerja.
 
Saya cuba selesaikan tanggungjawab saya. Sekurang-kurangnya saya tidak berhutang dengan sesiapa.
 
Ini yang saya belajar dari keseluruhan insiden ini:
 
1. Sediakan SOP untuk membuat kerja satu persatu. Maklumkan kepada staf secara lisan, bertulis dan secara praktikal.
 
2. Sediakan SOP untuk membuat laporan juga. Maklumkan kepada staf secara lisan, bertulis dan dalam lukisan juga, eh secara praktikal.
 
3. Pastikan staf lakukan ikut SOP. Jadi kena sediakan pula SOP jika pecah amanah.
 
4. Banyaknya SOP. Inilah akibatnya apabila kata-kata manusia tidak lagi boleh dipegang.
 
5. Apabila staf yang tugas kerjanya melibatkan akaun atau wang menghantar notis berhenti, usah berikan beliau bercuti lebih awal. Sebaliknya benarkan beliau hadir kerja tapi tarik semua tugas melibatkan wang dan akaun. Gunakan waktu notis itu untuk memeriksa wang dan akaun secara terperinci.
 
Pelajaran yang mahal. Tidak mudah berniaga sebenarnya.
 
Tapi saya nak move on. Ada staf lain yang bergantung harap kepada perniagaan ini. Ada anak-anak lain yang berharap kepada perkhidmatan Whiztots.
 
Dan jika ada pelanggan yang telah membuat bayaran tetapi masih belum menerima produk yang ditempah, sila hubungi saya terus. 0173329298.
 
Doakan Whiztots berjaya. Terima kasih.
 
Nor Azleen Abd Rahim
#whiztots

Labour Law

Hari ini saya terima panggilan dari pejabat buruh. Gara-gara saya menahan gaji bekas pekerja.

Gajinya saya tahan kerana terdapat ketidakjelasan dalam rekod jualan dan juga kemungkinan pemalsuan rekod jualan.

Saya telahpun meminta beliau bercuti lebih awal dari tamat notis berhenti yang diberikannya.

Dan semasa tempoh bercuti tersebut saya menerima komplen dari pelanggan yang membawa kepada penemuan perkara tersebut.

Saya telahpun memanggil beliau hadir untuk menyelesaikan isu ini, tetapi beliau enggan dan dengan angkuhnya menyuruh saya selesaikan sendiri.

Malang sekali kesilapan saya adalah saya tidak menjangkakan berlakunya kesilapan dalam rekod jualan dan akaun pelanggan. Dan saya telah mengeluarkan surat setuju terima notis berhenti kerja tanpa menyebut kemungkinan-kemungkinan yang barangkali berlaku.

Apapun, saya nak move on dan belajar dari kesilapan ini.

  1. Wujudkan SOP untuk menyemak dan memastikan pekerja melaksanakan tugasnya seperti yang sepatutnya

  2. Jangan ambil pekerja yang angkuh. Haha.

Move forward. Next.

Mencari Pengasuh

“Esok, semua orang kena bangun pagi. Mommy nak bawa nenek pergi hospital.”

“Dan?”, tanya Afiah.

“Dan apa?”

“Dan kami semua kena pergi mana?”

“Semua kena ikut mommy.”

“Hari tu mommy kata kami semua pergi rumah Aunty Y.”

Aunty Y adalah pengasuh yang baru saya ambil bekerja pada bulan lepas.

Baik orangnya. Pengasih dan penyayang. Menjaga anak-anak saya seperti anaknya sendiri. Walaupun dia belum punya anak sendiri.

Bagaimanapun, beberapa hari yang lepas saya meminta Aunty Y berhenti kerja.

Puncanya adalah beliau kerap juga tidak hadir, hadir lambat, kadang-kadang minta keluar ke sana dan ke mari.

Baru kerja 6 minggu sudah lebih 3 hari berlaku keadaan sebegitu.

Jadi walaupun beliau bagus, saya terpaksa melepaskan beliau pergi.

Menyimpan pekerja yang ada masalah kehadiran akan memberi beban yang tidak munasabah terhadap perkembangan perniagaan. Sukar untuk saya membuat rancangan jika saya tidak boleh mempercayai samada beliau akan hadir kerja atau tidak.

Tambahan lagi selepas raya ini saya jangkakan akan ada banyak kerja luar seperti bengkel dan kursus. Jadi jika tiba-tiba pada hari yang saya perlu ke luar dan pengasuh tidak datang, bagaimana keadaannya.

Maka saya membuat pilihan berat, iaitu meminta Y berhenti jika beliau tidak boleh memberi komitmen.

Pengasuh ibarat tangan kanan saya. Jika tangan kanan tidak ada, sangat sukar untuk anggota lain melaksanakan tugasnya. Habis jem satu badan.

Sekarang, saya perlu mencari pengasuh lain. Sukar tetapi pastinya lebih mudah dari menghadapi kemungkinan pengasuh tiba-tiba tidak hadir. Tanpa sebab yang munasabah.

Azleen
#cikgumommy

Didik Anak Hormati Hak Orang Lain

“Mommy, hari tu Haq guna outliner pencil kakak. Dia terbuka sikit. Susah kakak nak pakai dah.” Kata Afiah sewaktu mengemas begnya ke Muzart.

Saya sedang memanaskan lauk untuk Azmina dan Isyraq. “Dia guna macamana?”

“Kakak tak perasan dia ambil. Bila kakak tengok dah jadi gitu. Dia terbuka sikitlah. Boleh guna lagi tapi susah sikit.”

“Bawa sini.”

Pensel itu terpatah dua di tengahnya. Afiah kata Haq yang patahkan. Haq yang ambil tanpa disedarinya.

“Kakak bagitahu teacher tak? Lain kali terus bagitahu teacher. Mommy nak cakap pun susah sebab dah seminggu ini.”

“Teacher nampak. Teacher dah marah Haq.”

Fuh. Susah juga kan. Saya sebolehnya tidak mahu masuk campur urusan dalam kelas dan juga urusan main anak-anak.

Mematahkan atau merosakkan barang orang lain. Apabila di kelas saya, ia dianggap satu kesalahan serius.

Kecil. Tetapi serius. Kerana yang kecil ini boleh menjadi besar jika tidak dididik dari awal.

Tambahan lagi apabila ia dilakukan dengan sengaja. Fuh fuh.

  1. Anak-anak perlu belajar menghormati hak dan harta orang lain.

  2. Apabila mahu menggunakannya, perlulah minta kebenaran dahulu.

  3. Apabila menggunakannya, mestilah dengan cermat dan berhati-hati.

  4. Setelah gunakan haruslah bersyukur, berterima kasih dan memulangkannya kembali.

  5. Apabila ianya rosak semasa sedang digunakan hendaklah bersikap jujur. Meminta maaf dan menggantikannya dengan nilai yang sama.

Dan semua ini diajar dari awal usia.

Kesalahan yang dilakukan pada usia 7 tahun jika tidak dibendung boleh membawa kepada kesalahan lebih besar pada usia dewasa. Siapa tahu.

Oh tidak, saya tidak mesej guru kelasnya ataupun ibu bapa Haq. Saya cuma betulkan pensel Afiah dan tunjukkan kepadanya ia masih boleh dipakai.

Saya juga berpesan supaya menyimpan barangnya dengan teliti di dalam kelas bagi mengelakkan perkara yang sama berulang lagi.

Sebentar tadi waktu hantar Afiah ke kelas, saya nampak Haq sudah datang. Saya pesan kepada Afiah, “Cakap dengan Haq, mommy kita marah awak patahkan pensel kita. Kalau awak buat lagi, nanti mommy kita datang kelas marah awak.” Haha.

Afiah sengih -sengih malu sahaja. Rasanya dia cakap tak dengan Haq?

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy

Kertas Aktiviti Anak 4 Tahun: Pengayaan/ Pemulihan /a i u n/

Hari ini saya nak kongsikan kertas aktiviti untuk anak 4 tahun.

Aktiviti ini dijalankan selepas mengajar anak /a i u n/.

Cara menggunakan:

  1. Imbas dulu simbol /a i u n/ dan minta anak sebut.
  2. Beri kertas aktiviti dan minta anak pilih warna krayon.
  3. Sebut bunyi dan minta anak bulatkan satu sahaja simbol yang betul.
  4. Beri pujian dan galakan.

Boleh download di sini: pengayaan pemulihan a i u n

Periksa Ovulasi Cara Manual

Hari ini adalah ulangtahun perkahwinan kami yang ke 15. Orang kata sudah masuk fasa ke-empat. Alhamdulillah, masih lagi bercinta-cinta dan bergurau manja sehingga kadang-kadang Afiah kata, “Iiiiiii, mommy dengan abah ni kan.”

Dan pelukan-pelukan pula sentiasa diselit oleh anak-anak yang merasa cemburu. Cemburu kerana merasakan mommy dan abah patut memeluk mereka sahaja. Haha.

Ya, ulangtahun perkahwinan yang ke-15 tetapi Afiah baru nak masuk 7 tahun. Bukan semuanya indah dalam perkahwinan.

Ramai yang menyangka saya berkahwin lewat, kerana itu mendapat anak juga pada usia yang lewat. Hakikatnya kami melalui 8 tahun pertama tanpa anak, tanpa pernah mengandung dan gugur, tanpa juga bersalin dan meninggal. Saya pasti yang pertama itu lebih baik perasaannya dari yang dua situasi lain itu. Alhamdulillah.

Kami juga pernah melalui saat-saat bertemu sanak saudara dan diasak dengan pertanyaan, bila nak dapat anak, kau merancang eh, pergilah berurut dengan si polan dan si polan, makanlah itu dan ini, berdoalah lebih lagi.

Saat-saat yang menikam jiwa dan buat air mata jatuh berderaian. Bukan tidak mahu anak, bukan merancang, bukan juga tidak berusaha pemeriksaan kesihatan, berurut, makan dan berdoa.

Cuma seringkalinya Allah SWT lebih tahu apa yang kita perlukan, bukan apa yang kita mahukan.

Saya ini memang suka membaca. Banyaklah buku-buku berkaitan bagaimana mahu mengandung yang saya beli dan baca. Dari perubatan sains moden sehinggalah perubatan India dan Cina. Bahkan juga saya baca “Guide for The Idiots”.

Dari pengetahuan-pengetahuan yang saya perolehi melalui bacaan saya itu, digabungkan sehingga berjayalah mendapat 3 cahaya mata sekarang. Alhamdulillah.

Jadi hari ini, saya nak kongsikan sedikit teknik yang saya gunakan untuk mendapatkan dua anak yang pertama, Afiah dan Azmina.

  1. Rekodkan setiap tarikh-tarikh penting untuk mengandung. Tarikh datang haid. Tarikh bersama suami. Saya gunakan apps Period Calendar. Ada untuk Android dan juga iOs.

  2. Dari tarikh-tarikh datang haid yang direkodkan, cuba kenalpasti waktu ovulasi yang berpotensi.

Disinilah timbulnya masalah saya kerana haid yang tidak teratur. Waktu itu, kitaran haid saya tidak menentu. Paling cepat 36 hari dan ada yang sehingga 60 hari.

Kitaran haid dikira dari hari pertama datang haid sehinggalah sehari sebelum haid yang berikutnya.

Orang normal haidnya 28-32 hari. Pentingnya kitaran ini adalah untuk meneka waktu ovulasi (waktu subur dan berpotensi besar untuk mengandung). Ovulasi berlaku 14 hari sebelum haid yang berikutnya.

Ya, 14 hari sebelum. Bukan 14 hari dari hari haid pertama.

Apabila kitaran haid tidak menentu adalah sukar untuk menentukan bilakah 14 hari sebelum haid yang berikutnya. Jadi ia selalu berubah-ubah dan tidak tepat.

Saya gunakan langkah ketiga berikut untuk menentukan waktu ovulasi.

  1. Semasa ovulasi berlaku, pangkal rahim rendah ke bawah dan mudah dicapai. Faham? Hihi.

Pertama sekali, semasa ovulasi biasanya terdapat discaj lendir. Lendirnya lebih pekat dan seperti putih telur (telur mentah). Apabila dipegang dengan dua jari dan ditarik, ia tidak akan putus.

Untuk mengesahkan ovulasi, perlu memeriksa secara manual. Paling mudah dilakukan secara mencangkung. Gunakan jari hantu untuk memeriksa kedudukan pangkal rahim. Masukkan jari ke situ.

Lebih senang untuk membezakan kedudukan pangkal rahim apabila kita cuba dahulu dalam keadaan tidak subur. Ketika ini, pangkal rahim jauh dan jari tidak akan dapat mencapai apa-apa. Macam kosong gitu.

  1. Apabila telah dapat sahkan ovulasi ini, bolehlah buat panggilan telefon kepada suami dan minta pulang kerja awal. Huhu. Tak payahlah kita jelaskan apa yang berlaku seterusnya.

Ya, ada juga dijual kit pemeriksaan ovulasi ini di farmasi. Tetapi pada harga RM10 sebatang ketika itu dan hanya boleh digunakan sekali sahaja, bagi yang kitaran haidnya tidak menentu seperti saya, ia agak berkos juga.

Semasa mendapatkan Afiah, saya mencuba selama 6 kitaran haid. Dan semasa Azmina pula, hanya 2 kitaran haid. Ketika Isyraq, kitaran haid saya sempurna 28 hari. Jadi tak perlu pemeriksaan manual. Boleh teka sahaja.

Dan ya juga, semasa cuba mengandung saya turunkan antara 5 ke 10 peratus berat badan.

Begitulah, susah nak cerita sebenarnya. Tapi ada yang bertanya, maka saya harap ini bermanfaat.

Doakan perkahwinan kami terus kekal bahagia hingga ke jannah. Amin.

Nor Azleen Abd Rahim

#cikgumommy