Certified Trainer Bacalah Anakku dan ReadEasy

Syukur kepada Tuhan, berjaya mencapai satu lagi milestone dalam bidang fonik ini.Saya berjaya menamatkan Kursus Certified Trainer dengan ReadNetwork. Dan telah diberikan perlantikan sebagai Certified Trainer.

Perlantikan ini membolehkan saya menjalankan kursus-kursus berikut:
– Kursus Intensif Kaedah Mengajar Membaca Bacalah Anakku (6 jam)
– Kursus Asas Kaedah Mengajar Membaca Bacalah Anakku (4 jam)
– Kursus Asas Kaedah Mengajar Membaca ReadEasy (4 jam)

Dan, semua kursus-kursus tersebut layak mendapat sijil penyertaan yang disahkan oleh ReadNetwork.

Perlantikan sebagai Certified Trainer ini adalah untuk tempoh tiga tahun. Dari 2018 hingga 2021. Dan boleh diperbaharui dengan persetujuan kedua belah pihak.

Saya percaya antara faktor yang mempengaruhi pembaharuan status ini kelak adalah aktif menjalankan kursus. Jadi, otak sedang ligat bagaimana untuk bermula.

Berikut adalah senarai Certified Trainer Read Network (tidak disusun mengikut seniority):

  1. Puan Masturah A. Latib (Johor Bahru, Johor)
  2. Puan Nur Atikah Ishak (Jerantut, Pahang)
  3. Puan Wardiatul Fathi (Kepala Batas, Pulau Pinang)
  4. En Saini Bolly (Kuching, Sarawak)
  5. Puan Zuraida (Kota Bharu, Kelantan)
  6. Puan Nadia (Kulim, Kedah)
  7. Puan Nuridah (Batu Caves, Selangor)
  8. En Azman (Kepala Batas, Pulau Pinang)
  9. Puan Nor Azleen Abd Rahim (Pasir Gudang, Johor)
  10. Puan Shima Aziz (Bangsar, Kuala Lumpur)
  11. Puan Yusfiza Mazni Ishak (Putrajaya, Kuala Lumpur)
  12. Puan Aishah (Johor Bahru, Johor)
  13. Cik Norani Manaf (Kuala Terengganu, Terengganu)
  14. Puan Rohani Anie Wahab (Kajang, Selangor)
  15. Puan Liza (Subang Jaya, Selangor)
  16. Puan Norita (Subang Jaya, Selangor)
  17. Puan Azlina Nawi (Skudai, Johor)
  18. En Fazli Ghazi (Skudai, Johor)

Kalian bolehlah menghubungi Certified Trainer yang terdekat untuk membantu kalian mengajar membaca menggunakan kaedah fonik dengan lebih berkesan.

Semoga bermanfaat.

Nor Azleen Abd Rahim
#certifiedtrainer
#buildingareadingnation

P.s: Maaf, ada yang tak dapat tagged namanya.

Samyang Mee Segera Korea

Saya ini memang selalu juga ketinggalan zaman. Dah habis dah orang viral dan gilakan mee samyang dari Korea ini, barulah saya terasa nak mencubanya.

Itupun sebab hari itu masa berjalan-jalan ke Giant Plentong, ternampak mereka jual mee samyang ini. Ohh, ini rupanya. Ada banyak perisa. Wah ada yang cheese.

Saya ini pula memang sangat lah suka cheese. Hahaha. Keropok lekor cheesy saya belum cuba lagi. Tapi dipendekkan cerita, saya belilah Samyang Cheese ini. Harganya RM25 untuk 5 pek.

Nah kau, boleh tahan kan harganya sampai RM25. Jatuh RM5 satu pek. Kalah harga megi kot. Tak apalah, nak cuba punya pasal.

Hari ini terasa nak mencubalah Samyang Cheese ini. Cara buatnya lebih kurang sama macam megi juga. Mudah dan cepat.

Rasanya?

Ok, seperti yang diwar-warkan, orang kata pedas. Ini pedas gila. Hahaha. Melekat pedasnya di tekak, lelangit, gigi, pipi.

Pendek kata lah, saya tak dapat nak habiskan sebungkus Samyang itu. Disebabkan kepedasannya yang melampau itu.

Tak berani lah pula. Karang sakit perut asyik nak ke tandas pula.

Senang cerita, siapa yang suka pedas gila bolehlah makan Samyang ini. Sedaplah juga kecuali part kepedasan melampau itu.

Ini ada lagi empat bungkus tak tahulah siapa yang mahu makan.

Cara buat Samyang ada dalam gambar ya. Kotlah nak tau kan.

Afiah Simpan Wang

Hari ini hari pemberian wang saku untuk Afiah. Menjadi rutin untuk Afiah menuliskannya di dalam buku pengurusan kewangan peribadinya. Huhu.

Mula-mula kami kirakan wang yang ada dalam beg dompetnya. Kemudian kami tuliskan. Hari ini Afiah tulis sendiri berpandukan cara mommy tulis sebelum ini.

Minggu ini, Afiah ada terima wang sebanyak RM50 pemberian Tok Wan. Jadi dia ada banyak duit minggu ini.

Selepas kira, tibalah masa untuk menyimpan wang.

“Afiah nak simpan berapa?”

“Satu.”

“Satu?”

“Okay, dua.”

“Dua sahaja. Afiah ada banyak duit ini. Apa kata simpan RM50 ini dalam tabung?”

“Mmmm.”

“Kata nak simpan duit beli skuter. Kalau tak masuk dalam tabung, macamana nak simpan banyak beli skuter. Kalau tabung cepat penuh, nanti kita buka cukup duit, boleh beli skuter.”

“Oh ya ke mommy? OK, simpan lima puluh.”

Begitulah, setiap minggu saya cuba pastikan dia menyimpan. Kalau banyak wangnya, banyaklah saya minta di simpan.

Nanti besar sedikit boleh ajar dia simpan wang menggunakan peratusan. Buat masa ini, kita bagitahu sahaja berapa banyak yang dia kena simpan.

Saya harap Afiah akan menjadi individu yang berhemah dalam menguruskan kewangannya

Makanan Meransang Perkembangan Otak

Semasa saya masih bertugas sebagai guru, saya ada seorang pelajar bernama Zul (bukan nama sebenar). Ada satu hari itu, beliau nampak begitu ceria. Segala apa yang diajar pada hari tersebut dapat difahaminya dengan mudah.

Zul adalah pelajar yang sudah sekian lama saya ajarkan membaca. Dua tahun mengajarnya, menulis nama sendiri pun masih lagi terkial-kial meniru daripada tanda namanya sendiri. Ada masanya dia menulis nama dalam tulisan terbalik. Ada masanya nama panjang yang persis nama seorang raja itu pun dilupakannya.

Pendek kata mengajarnya memang membuatkan tumpah air mata sentiasa. Tumpah kerana mengasihaninya dan juga tumpah kerana stress mengulang perkara yang sama bertahun-tahun.

Jadi bila hari itu Zul dapat memahami pengajaran dengan mudah dan cepat, saya terus selidik.

  • Ada siapa di rumah?
  • Buat apa sebelum datang sekolah?
  • Makan apa hari ini?

Mulanya jawapannya sama sahaja seperti hari-hari biasanya. Tapi akhirnya pecah satu cerita. Sebelum ke sekolah hari itu, ibu berikan dia multivitamin. Jenis apa, jenama apa, berapa biji tidaklah diketahui.

Sejak itu saya perhatikan dia dengan lebih teliti. Setiap hari saya akan bertanyakan soalan tentang apa yang berlaku dan dimakan di rumah.

Selepas beberapa bulan, saya membuat kesimpulan bahawa pada hari-hari yang ibunya memberikannya multivitamin, Zul dapat memahami pembelajaran dengan lebih baik dan cekap. Sebaliknya pada hari-hari yang tidak mengambilnya, Zul sangatlah lemau dan gagal memahami apa yang diajar.

Hari ini, barulah saya lebih memahami kaitan antara multivitamin dengan kecekapan otak Zul memproses maklumat.

Menurut Marilee Sprenger dalam bukunya Wiring The Brain For Reading, nutrisi semasa mengandung merupakan bahagian penting dalam pembangunan otak.

Sebab itulah, kebanyakan doktor akan memastikan ibu mengandung mengambil asid folik. Kekurangan asid folik boleh menyebabkan kecacatan tiub neural pada bayi.

Setiap neuron dalam otak akan menerima nutrient dan menggunakannya untuk mencipta neurotransmitter, bahan kimia dalam otak yang membantu kita membuat segala apa yang kita buat. Sesetengah neurotransmitter ini memerlukan makanan tertentu untuk dihasilkan.

Contohnya adalah;

  • Protin seperti daging, telur, keju, ikan dan kekacang digunakan untuk menghasilkan tirosin, bagi menghasilkan dopamin. Dopamin membantu memberi perhatian, fokus, motivasi dan sikap positif.

  • Susu dan sebahagian daripada karbohidrat kompleks, seperti bijirin penuh, sayuran digunakan untuk menghasilkan triptofan, bagi menghasilkan serotonin. Serotonin mempengaruhi mood, kebahagiaan dan rileksasi.

  • Kuning telur, kekacang dan kacang soya pula mengandungi nutrien diperlukan untuk menghasilkan kolin, bagi menghasilkan asetilkolin. Asetilkolin mempengaruhi penciptaan dan mengesan semula daya ingatan, pergerakan dan konsentrasi.

Bonusnya pula adalah coklat gelap kaya dengan aktioksidan dan bagus untuk otak dan juga badan. Ia mengeluarkan bahan radikal bebas dalam otak.

Bayangkan apa yang berlaku dalam otak anak kita kesan daripada pemakanan yang kita beri!

Selepas ini, kita perlu memberikan lebih perhatian terhadap apa yang masuk ke dalam perut anak kita. Pastikan anak mengambil sekurang-kurangnya 10 peratus protin dalam pemakanan harian mereka bagi memastikan otak dapat berfungsi dengan sempurna dari semua segi.

Dan jika anak dikenalpasti mempunyai masalah khusus tertentu, boleh baca semula jenis-jenis makanan yang mempengaruhi masalah khusus tersebut. Barangkali anak kita jenis yang memilih makanan dan hanya makan makanan tertentu sahaja.

Contohnya apabila anak kita ada masalah dengan fokus dan memberi perhatian, lebihkan makanan dari sumber protin. Dan apabila anak kita sukar dikawal dan kerap tantrum berikan makanan seperti susu dan karbohidrat kompleks. Dan sentiasa berikan sedikit coklat gelap setiap hari.

Nampak mudah tetapi penuh cabaran untuk melaksanakannya. Saya ucapkan selamat maju jaya.