• Tips Parenting

    Benefits of Baby-led Weaning

    Isyraq memerhatikan potongan buah naga di hadapannya dengan penuh asyik. Dia menolak potongan buah tersebut dengan jarinya.

    Sejuk. Barangkali itu dalam fikirannya berdasarkan reaksi pada wajahnya. Mommy baru keluarkan buah naga itu dari peti ais.

    Isyraq cuba memegang buah naga dengan tangan kanannya. Licin. Terlepas.

    Isyraq mengangkat buah naga dengan mengepitnya menggunakan kedua-dua tangan kanan dan kiri. Mommy menepuk tangan gembira, memberi semangat kepada Isyraq.

    Isyraq jeling mommy. Apa nak buat dengan benda merah ini? Barangkali itu dalam fikirannya.

    Cium dulu. Isyraq letak berdekatan dengan hidung. Wangi. Agaknya itulah dalam fikirannya.

    Isyraq lihat mommy senyum. OK, saya buat betul. Apa lagi nak buat?

    Dan seperti kebanyakan bayi lain, deria seterusnya adalah merasa dengan lidah.

    Isyraq masukkan dalam mulut. Terkenyit-kenyit matanya. Buah naga sedikit masam. Terus diletakkan semula atas dulang makanan. Mommy masih senyum sambil tepuk tangan.

    Isyraq memicit-micit buah naga menjadi ketulan-ketulan kecil. Lembut. Mushy. Isyraq mengangkat tinggi tangannya yang memegang buah naga lalu meletakkannya di tepi kerusi.

    Yeah! Buah naga jatuh atas lantai. Mommy cepat-cepat tunduk mengutip buah naga yang jatuh di atas lantai. Lantas Isyraq cepat-cepat juga cuba memegang kepala mommy.

    Opppss! No no Isyraq. Jangan pegang kepala mommy dengan tangan yang kotor.

    Begitulah keadaan “main kotor” yang berlaku dalam baby-led weaning.

    Hari itu saya risau juga, eh, saya jarang sekali membenarkan anak-anak saya bermain kotor (messy play). Tapi bila fikir-fikir semula, dalam baby-led weaning (BLW) ini anak dapat peluang bermain kotor.

    Dalam BLW, anak mendapat peluang untuk mencuba makanan sendiri. Sesi makan menjadi lebih menyeronokkan kerana setiap orang memainkan peranan aktif.

    Anak mengawal sendiri apa yang hendak dimakan, banyak mana, berapa laju dan belajar tentang jenis-jenis makanan serta melakukannya sendiri.

    Secara naturalnya, bayi telah diprogramkan untuk meneroka dan membuat eksperimen untuk belajar tentang kehidupan. Mereka menggunakan tangan dan mulut sebagai makmal untuk mengetahui tentang pelbagai jenis objek termasuklah makanan.

    Melalui BLW, bayi mengetahui tentang rupa, bau, rasa dan tekstur pelbagai jenis makanan. Bayi juga berpeluang mengendalikan makanan dan mencuba rasa makanan yang telah dicampurkan.

    Ohhh, saya memang masih ingat bagaimana Afiah dan Azmina (secara berbeza masa) akan mencampurkan segala makanan dan minuman dalam satu bekas dan memakannya. Haru, mommy dan abah geleng kepala sahaja. Tetapi mereka makan sehingga habis.

    Walaupun nampak seperti bermain, hakikatnya dalam dunia bayi mereka tidak pernah bermain. Segala apa yang mereka lakukan adalah sentiasa belajar.

    Dan kebanyakan perkara yang boleh mereka pelajari melalui permainan pendidikan terbaik (dan termahal) boleh dipelajari dengan mengendalikan makanan.

    Contohnya, bayi dapat belajar bagaimana memegang sesuatu yang lembut tanpa memecahkannya atau memegang sesuatu yang licin tanpa menjatuhkannya.

    Dan konsep-konsep seperti lebih sedikit, lebih banyak, saiz, bentuk, berat dan tekstur juga dapat dipelajari semasa makan.

    Dengan menggunakan keseluruhan deria mereka (melihat, menyentuh, mendengar, bau dan merasa), bayi dapat mengaitkan semua perkara ini antara satu sama lain dan lebih memahami tentang dunia besar sekeliling mereka.

    Menyuap makanan sendiri memberi peluang kepada bayi berlatih aspek penting dalam perkembangan diri.

    Sewaktu menggunakan jari untuk memasukkan makanan ke mulut bermakna mereka berlatih koordinasi mata dan tangan, menggenggam makanan pelbagai saiz dan tekstur beberapa kali sehari pula meningkatkan kecekapan mereka.

    Mengunyah sendiri makanan pejal akan menguatkan otot-otot muka yang membantu mereka belajar bercakap kelak.

    Cuma satu yang ibu ayah perlu bertahan, kotor dan bersepah. Hihi.

    Tapi jangan bimbang kerana bagi kebanyakan bayi, masalah kotor dan bersepah ini hanya mengambil sedikit masa. Dua ke tiga bulan sahaja. Dan lagi, sebenarnya juga ada tips dan trik untuk menguruskan masalah kotor dan bersepah ini.

    Yang lebih penting adalah bayi mendapat pelbagai manfaat melalui BLW.

    Selamat menjamu selera.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy suka praktis baby-led weaning

    Penafian:

    Saya bukan pakar kanak-kanak mahupun pakar keibubapaan.

  • Kisah Kejayaan

    Adik Thaqif Dan Adik Bella Tamatkan Bacalah Anakku Dalam 49 Sesi Bersemuka. Tahniah!

    Hari ini saya hendak memberi penghargaan kepada anak-anak yang telah tamat membaca Bacalah Anakku. Alhamdulillah, ini adalah anak-anak dari grup kedua.

    Yang pertamanya, Adik Thaqif, berusia 5 tahun 10 bulan. Masa memulakan kelas, Adik Thaqif dah boleh membaca sedikit-sedikit seperti buku, baca, mana. Tapi mengeja-ngeja dan tidak dapat membaca perkataan dengan suku kata tertutup seperti ikan, makan, pahat.

    Alhamdulillah, sekarang ini dah boleh baca laju macam keretapi ETS. Buku cerita pun boleh baca. Mak pun rasa gembira.

    Adik Thaqif memulakan kelas pada 3 April 2017. Kemudian bercuti sepanjang bulan Ramadhan. Kelas terakhir beliau adalah pada 29 September 2017.

    Adik Thaqif berjaya menamatkan Bacalah Anakku dalam 49 sesi bersemuka.

    Yang keduanya, ada Adik Bella yang berusia 7 tahun. Masa mula masuk kelas, susah benar nak dengar suaranya. Sampai kena usik dengan kawan-kawan lelaki. Mujurlah Adik Bella tabah orangnya.

    Tapi bila dah boleh membaca, semakin lancar membaca semakin kuat suaranya. Sehingga berani menegur kawan-kawan lelaki yang mengusiknya.

    Membaca membantu membina keyakinan diri anak-anak.

    Adik Bella juga memulakan kelas pada 3 April 2017. Bercuti sepanjang bulan Ramadhan. Dan kelas terakhirnya pada 15 September 2017.

    Adik Bella berjaya menamatkan Bacalah Anakku dalam 49 sesi bersemuka.

    Tahniah diucapkan kepada Adik Thaqif dan Adik Bella. Semoga terus berlatih membaca dan menjadi pembaca berdikari (Independent Reader).

    InsyaAllah, nanti cukup korum kita mulakan kelas Read Easy pula ya.


    Pendaftaran Kelas Membaca dibuka sekarang.

    Boleh daftar secara online di:

    bit.ly/daftarwhiztots

    bit.ly/daftarwhiztots

    bit.ly/daftarwhiztots

    Atau

    WhatsApps ke 0173329298

    WhatsApps ke 0173329298

    WhatsApps ke 0173329298


    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Seni Ajar Membaca

    Aksi Asosiasi Untuk Buku 1 dan 2 Bacalah Anakku

    Asosiasi aksi adalah sangat penting dalam membantu anak mengingat bunyi dengan lebih mudah. Ianya mestilah bermakna dan dibuat dengan penuh emosi.

    Dalam video ini, saya kongsikan aksi asosiasi untuk bunyi-bunyi dalam buku 1 dan 2 Bacalah Anakku. Buatlah dengan berlebih-lebihan (over-exaggerated).

    Semoga bermanfaat. Boleh share, tidak perlu tanya.

    Video dimodelkan oleh Afiah dan Azmina.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Seni Ajar Membaca

    Baca Buku Cerita

    Jika ada satu perkara yang boleh saya syorkan kepada ibu bapa untuk buat setiap hari dengan anak, adalah membaca buku cerita kepada mereka.

    Satu cerita sehari sekurang-kurangnya. Tiga ke lima minit sudah memadai.

    Jika menggunakan buku, pilih buku yang ada gambar. Gunakan jari untuk menunjuk kepada perkataan yang dibaca.

    Bersoal-jawablah tentang gambar-gambar dalam buku cerita tersebut.

    Tema apa pun boleh.

    Boleh diulang cerita yang sama selagi anak suka dan tidak jemu.

    Lebih baik lagi, beri anak peluang untuk memilih cerita kegemarannya.

    Bacalah, walau ibu ayah sudah penat mengulang cerita yang sama saban hari.

    Selamat malam!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy suka bedtime stories

    P.s.: Saya pernah mengulang cerita Cinderelaa selama lebih tiga bulan, setiap malam dengan Afiah.

  • Suka Makan

    Kari Kepala Ikan Deen Port Dickson

    Hari itu masa ke Port Dickson, seorang kenalan suami ajak makan kari kepala ikan.

    Saya ini memang hantu kepala ikan. Tidak kisahlah masak apa, kari ke asam pedas ke singgang ke.

    Sekali tengok kepala ikannya sahaja lebih besar dari kepala Isyraq. Hahaha. Ikan jenahak kau.

    Sedapnya tidak boleh nak ucapkan. Mengingatkannya sahaja semasa menulis post ini macam meleleh air liur. Hihihi.

    Nama kedai ini Restoran Deen Berjaya. Nama taukenya Deen. Ada dia di kedai itu.

    Datang waktu makan tengah hari memang ramai orang. Khabarnya orang KL pun ramai yang turun makan kari kepala ikan di kedai Deen ini.

    Berapa harganya tidak lah saya tahu sebab orang belanja kan. Karang kalau tanya berapa harga dia tanya pula, “Kau nak bayar ke?”. Hahaha.

    Makan pula beramai-ramai. Ada pula yang menawarkan diri memegang Isyraq. Maka dapatlah saya meratah kepala ikan itu. Yum yum.

    Memang tempat wajib singgah ini tahun hadapan bila ke PD lagi.

    Lokasi, korang tengok kat gambar ya.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    Kepala ikannya lebih besar dari muka Isyraq

    Restoran ditutup pada Jumaat pertama dan ketiga setiap bulan

    Rupa kedai dari hadapan

    Waze sahaja untuk cari kedai ini.

  • Lain-lain

    Sindrom Anak Tengah

    Anak tengah dikatakan selalu rasa kurang disayangi. Maklumlah, ibu sibuk dengan adik. Ayah pula biasanya lebih mudah melayan karenah kakak atau abang yang lebih besar.

    Setiap hari ada sahaja yang akan Angah tangiskan dan amukkan. Hendak mandi pun menangis, hendak makan pun mengamuk bahkan kadang-kadang hendak tidur pun ada sahaja perkara yang mengguris hatinya.

    Tambahan pula pelatnya menyebabkan kami sukar memahami mesej yang cuba disampaikan. Lalu bertambah kuatlah tangisan dan amukannya.

    Saya juga anak tengah. Semasa kecil sering merasa diri kurang disayangi berbanding adik-beradik yang lain.

    Pernah satu tahap saya menyelinap masuk ke bilik emak untuk mencari di mana letaknya surat beranak saya. Masa itu baru tahu bahawa jika anak angkat ada catatan pada surat beranak.

    Awas, emak saya tidak tahu rasanya ini. Tapi kejap lagi dia bacalah agaknya posting ini. Hahaha. Maafkan anakmu, emak!

    Berbalik cerita mencari bukti bahawa saya anak angkat, malangnya saya gagal jumpa surat beranak saya. Entah di mana emak simpan masa itu. Bukan sekali saya mencuba, berkali-kali.

    Akhirnya saya pasrah bahawa memang kurang disayangi oleh emak dan abah. Hahaha. Sementelahanan lagi, seawal tingkatan 1 saya sudah dihantar tinggal di asrama.

    Bertambah-tambahlah perasaan kononnya kurang disayangi.

    Kebetulan pula, adik saya bezanya kurang 2 tahun. Jadi saya juga membuat andaian mungkin kerana itu saya merasa kurang kasih sayang.

    Tidak sempat bermanja sudah dapat adik. Ada adik bayi sudah tentu perhatian emak beralih kepada bayi.

    Begitu juga dengan jiran-jiran dan saudara-mara. Bila berjumpa sibuk bertanya kakak sudah sekolah, sekolah di mana, sudah pandai baca.

    Kemudian tegur pula adik bayi, Allah comelnya bayi, sudah berapa bulan, sudah pandai merangkak, sudah pandai membaca?. Ek eh, over soalan itu.

    Kurang sekali yang mahu tanya tentang anak tengah ini. Sehingga seringkali juga nama anak tengah pun mereka lupa. Aduh duh sakitnya hati ini.

    Itulah perasaan saya semasa kecil. Dan berbekas sehingga sekarang.

    Walaupun sekarang sudah tahu yang itu hanyalah perasaan sahaja. Bukan realiti.

    Tapi kesannya kepada perlakuan saya semasa kecil adalah besar.

    Sama seperti angah, saya mudah menangis dan mengamuk kerana perkara-perkara kecil yang tidak orang fahami.

    Hati menjadi sangat sensitif sehingga orang fikir saya cuma mengada-ngada dan berlebih-lebihan.

    Tapi masa kecil mana tahu mahu beritahu emak dan abah bahawa diri rasa kurang disayangi sehingga menyangka sendiri anak angkat.

    Lagi-lagi bila emak, abah dan kakak kerap bergurau mengatakan mereka jumpa saya di tepi jalan estes Mado’s kerana rupa paras saya yang tinggi, kurus dan hitam.

    Oleh kerana itu, saya sekarang sangat berhati-hati dengan Angah. Cuba sedaya upaya memastikan dia tidak terasa kurang disayangi, apatah lagi merasa yang dia bukan anak mommy.

    Sebagai ibu bapa, saya berhati-hati dengan apa yang saya ucapkan kepada Angah. Tiada gurauan mengatakan dia anak yang ditemui di tepi jalan, atau diberi orang.

    Setiap hari ucapkan “Mommy sayang angah. Angah anak mommy” dan pelukan 10 saat.

    Sekarang Angah juga sudah pandai membalas “Ngah yang mi” maksudnya Angah sayang mommy.

    Walaupun banyak baju Afiah yang turun kepadanya, Angah tetap mendapat baju-baju baru yang dibeli khusus untuk Angah. Jadi boleh bayangkan bahawa baju Angah jauh lebih banyak dari orang lain.

    Apabila bertemu dengan anak tengah yang lain terutamanya yang kedua, saya akan memastikan saya menegurnya juga, selain dari abang, kakak dan adiknya.

    Sindrom anak tengah ini memang sukar difahami, pelik, kadang-kadang boleh buat naik darah tetapi percayalah yang ianya benar.