• Homeschooling

    Kemahiran Menggunting

    “Cikgu, cikgu!”, teriak Ali (bukan nama sebenar).

    “Kenapa?”, saya toleh melihat Ali yang menunjukkan reaksi panik.

    Kami sedang bersiap-sedia nak bermain permainan Pijak Bunyi. Tapi anak-anak ini memang ada sahaja yang nak dicakapkannya.

    “Cikgu, tengok Angah!”, kata Ana (juga bukan nama sebenar).

    Saya melihat Angah yang asyik membuat sesuatu di sudut kelas.

    “Kenapa dengan Angah?” Keliru saya sebab saya lihat Angah buat perkara yang biasa sahaja dia buat.

    “Cikgu, Angah main gunting.”

    Itu bukan kali pertama anak-anak kelas membaca panik melihat Angah menggunakan gunting. Sudah banyak kali mereka akan menjerit memanggil saya memaklumkan yang Angah “bermain” gunting.

    Angah bukan bermain dengan gunting. Dia memang menggunakan gunting untuk melakukan entah apa kerja yang dia lakukan.

    Kemahiran menggunting sangat berkait rapat dengan kemahiran membaca dan menulis.

    Ek eh cikgu, macam tidak ada kena mengena. Kann!

    Gunting boleh diperkenalkan kepada anak seawal usia 2 tahun. Pilih gunting yang hujung bulat dan diperbuat dari plastik, bukan besi tajam.

    Sebelum memberi anak gunting, terangkan rutin keselamatan menggunakan gunting.

    Jelaskan pada anak yang gunting ini bukan barang mainan. Ia digunakan untuk tujuan tertentu, spesifik dan perlu dikendalikan dengan berhati-hati.

    Tunjukkan anak cara yang selamat memegang gunting. Hujung gunting mestilah dihalakan jauh dari badan, badan sendiri mahupun badan orang lain.

    Berikan anak bahan yang selamat untuk digunting. Mulakan dengan menggunting playdoh. Uli panjang-panjang dan gunting. Tunjukkan di mana kertas yang boleh mereka ambil untuk menggunting.

    Akhir sekali tunjukkan di mana tempat sepatutnya gunting disimpan. Pastikan ianya tertutup tetapi boleh dikendalikan oleh anak, sesuai dengan usianya.

    Gunting juga macam api, digunakan dengan betul menjadi kawan. Salahguna menjadi lawan.

    Selamat menggunting!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Pendidikan Awal Kanak-kanak

    Bukan Salah Labu

    Pagi ini Isyraq tidak mahu makan. Dia tengok sahaja makanan depan mata. Dikuis-kuis dengan jari kemudian pandang mommy.

    Mommy angkat Isyraq dan susukan. Isyraq tertidur. Setengah jam kemudian Isyraq bangun dan muntah.

    Sampai petang Isyraq tak mahu makan. Susu muntah, susu muntah.

    Perut tidak keras, Isyraq tidak menangis. Ketawa bila diagah tetapi tidur sahaja bila dipeluk.

    Mommy bawa ke Klinik Doktor Abdullah. Mommy pun cerita pada doktor, “Semalam beri Isyraq makan labu manis. Hari ini tidak buang air besar dan asyik muntah sahaja.”

    Doktor Abdullah ketuk-ketuk perut Isyraq kemudian dengar dengan stetoskop. Doktor senyum pandang mommy sambil berkata, “Kenapa labu?”

    Mommy diam. Doktor sambung bercakap, “Anak dah mengutip kan? Bukan salah labu. Kasihan labu menjadi mangsa dipersalahkan.”

    Lepas doktor beri ubat muntah dan angin, Isyraq muntah sekali lagi. Kemudian terus mengamuk minta makanan. Sekarang Isyraq tidur di pangkuan mommy sambil menyusu.

    Bukan salah labu.

    Nah, resepi Pengat Labu Manis yang makan tidak cukup-cukup oleh Kakak dan Angah. Isyraq makan yang rebus kosong sahaja.

    Bahan-bahannya:

    • Labu manis

    • Biji sagu

    • Santan

    • Daun pandan

    • Gula melaka

    Cara memasak ada di gambar ya.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    Potong labu dalam bentuk dadu begini.

    Rebus labu dahulu.

    Ini gula melaka namanya. Suami saya ajar pilih yang lembut. Kalau keras maknanya ada banyak gula.

    Potong gula melaka halus-halus begini.

    Ini sagu biji. Ada warna pink juga di kedai jika mahu. Saya punya sudah habis buat sago melaka.

    Rebus dahulu labu ini sehingga lembut.

    Saya asingkan semasa merebus labu dan sagu kerana mahu asingkan sedikit labu untuk Isyraq.

    Masukkan sagu ke dalam air rebusan labu. Rebus sehingga warnanya jernih.

    Sementara menunggu sagu masak, Isyraq boleh makan dahulu.

    Inilah rupa sagu yang telah jernih warnanya.

    Masukkan semula labu.

    Letakkan gula melaka dan daun pandan.

    Saya suka gunakan santan Kara ini. Rasanya lebih sedap lemak berkrim.

    Masukkan santan secukup rasa. Jika takut lemak boleh gantikan santan dengan susu segar atau susu cair.

    Beginilah rupa pengat labu yang sudah dimasak dalam periuk.

    Tuang dalam mangkuk. Ramai yang menghimpit nanti.

    Angah suka pengat labu mommy.

  • Suka Makan

    Ikan Masak Singgang

    Anak-anak ini kadang-kadang nak suruh makan susah. Ada ketikanya makan dengan banyak, ada ketikanya tidak mahu makan langsung.

    Ada beberapa menu yang memang saya tahu kegemaran mereka, tapi tidak bolehlah asyik nak masak menu yang sama setiap hari.

    Saya tetap masak berlainan lauk setiap hari, walaupun kadang-kadang tahu itu lauk yang mereka tidak berapa gemar.

    Kena bagi mereka peluang untuk merasa. Mungkin hari ini tidak suka. Tetapi selepas beberapa kali dicuba akhirnya mungkin suka.

    Tapi hari ini memang saya masak kegemaran mereka. Ikan masak singgang sahaja pun. Hahaha.

    Bahan-bahan yang digunakan adalah:

    • Ikan yang tak ingat nama apa, saya beli dari Remy Sktpp . Senang, siap siang siap cuci. Siap delivery ke rumah. Hahaha.

    • Bawang merah

    • Bawang putih

    • Cili merah dan cili api

    • Air asam jawa

    • Belacan atau garam

    • Bendi

    Ada orang guna asam keping dan juga kunyit. Terpulang. Saya guna apa yang ada di rumah.

    Cara memasak boleh tengok kat gambar.

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

    Pasang plastik pada mangkuk. Senang nak kopek bawang. Terus buang kulitnya dalam plastik.

    Asah pisau dahulu. Pisau yang tajam memudahkan membuat kerja-kerja memasak.

    Masukkan ikan dalam periuk. Ada kepala dan ekor sahaja hari ini.

    Mayang bawang putih, bawang merah dan cili begini.

    Saya masukkan bendi juga. Ini kes mommy yang malas masak 2-3 lauk. 1 lauk terus siap dengan sayur.

    Campurkan asam jawa dan belacan. Tuang air. Ramas-ramas kasik sebati.

    Sambil masak biarkan Isyraq bermain di kaki mommy. Sambil itu boleh tolong lapkan lantai.

    Masukkan semua bahan tadi dalam periuk bersama ikan.

    Tuangkan air asam jawa ke dalam periuk begini.

    Bolehlah direnih selama 10 minit.

    Beginilah rupa kejadian selepas siap dimasak. Jika suka bolehlah diperasakan dengan garam dan gula. Saya sudah memadai dengan asam jawa dan belacan. Bertambah-tambah makannya. Menghirup-hirup kuahnya. Boleh lawan dengan ikan masin, ikan pekasam atau sambal belacan.

  • Pendidikan Awal Kanak-kanak

    Titik Hijau Karipap

    Minggu ini asyik makan karipap sahaja. Sebabnya ada banyak stok karipap. Hahaha.

    Ada yang saya beli dan ada yang kawan-kawan beri. Terima kasih pada yang beri, sedap-sedap belaka.

    Kadang-kadang pada karipap ada tanda titik pelbagai warna. Karipap kali ini warnanya hijau. Karipap kentang daging. Sedap walaupun rupanya tak begitu cantik.

    Afiah tanya, “Mommy, kenapa ada titik hijau dekat karipap ini?”

    Saya jawab, “Haah ya. Kenapa ya ada titik hijau? Saja kot mak cik yang buat karipap itu nak tanda-tanda karipap dia. Supaya nampak cantik.”

    “Hmmm, karipap ini inti apa?”, tanya Afiah lagi.

    “Kentang daging.”

    Beberapa minit berlalu tanpa suara. Tiba-tiba,

    “Kakak tahu kenapa ada titik hijau. Orang yang buat karipap ini nak tanda yang titik hijau ini inti kentang daging. Kan mommy?”

    Dan saya pun berikan pujian kepada Afiah kerana berjaya memikirkan kenapa ada titik hijau pada karipap.

    Memang tugas ibu bapa adalah mendidik anak-anak. Memberi tunjuk ajar. Memberi panduan.

    Tetapi adakalanya juga ibu bapa perlu memberi masa dan ruang untuk anak-anak mendidik diri mereka sendiri. Berfikir dan belajar sendiri.

    Macam-macam perkara menarik boleh berlaku apabila ibu bapa berhenti sejenak dan menarik nafas.

    Sambil dada berdebar. Hahaha.

    KE ARAH GENERASI KBAT!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Pendidikan Awal Kanak-kanak

    Spend More Time

    Afiah memang dari kecil pandai meluahkan perasaannya. Pada usianya 2 ke 3 tahun, beliau pernah mengatakan yang mommy dan abah lebih sayangkan handphone darinya. Sebab kami lebih asyik melihat handphone berbandingnya.

    Beberapa hari yang lalu, Afiah tanya bila kelas mommy nak habis. Saya jelaskan padanya yang grup yang ada sekarang ini sudah hampir tamat.

    Afiah tanya lagi samada selepas itu mommy dah tiada lagi kelas. Saya jelaskan semula padanya yang sudah ada dua grup baru akan bermula pada Oktober nanti.

    Afiah sedih. Selepas diselidik beliau kata, “I thought we could spend some time together.”

    Saya terkejut. Afiah berada bersama saya 24 jam sehari. Tapi dia masih lagi meminta “spend time together”.

    Bila ditanya apa yang beliau maksudkan, Afiah menjelaskan yang beliau mahu kami sekeluarga pergi bercuti tanpa mommy dan abah perlu buat kerja.

    Ya, hari tu kami pergi Kuantan, tapi kerana saya ada kursus. Selepas itu kami tinggal 3 malam berturut-turut di Berjaya Waterfront Hotel, tapi kerana abah ada kursus.

    Abah pula jenis yang bawa laptop bag ke mana sahaja. Kerjanya tidak terhad kepada 8 ke 6 petang. Pukul 2 pagi, 4 pagi, Jumaat atau Sabtu, cuti umum ke cuti raya, beliau akan terima panggilan dari tempat kerja. Memang nature kerjanya begitu.

    Mommy pula kalau tiada kelas, boleh bekerja secara online. Asalkan ada akses internet, ada telefon atau ipad, boleh sahaja buat kerja.

    Kawan-kawan, kita ingatkan anak tidak perasan semua ini. Mereka nampak, mereka sedar yang mommy abah sibuk bekerja. Mereka rasa terpinggir. Rasa kurang diperlukan berbanding kerja.

    Untung Afiah boleh meluahkan perasaanya. Ada berapa sahajalah anak kecil bawah 6 tahun yang mampu meluahkan perasaannya melalui perkataan seperti Afiah?

    Kebanyakan anak hanya akan menunjukkan dengan perlakuan. Mengamuk. Terlebih manja. Nak berkepit sahaja. Menangis. Tidak mahu itu. Tidak mahu ini. Ada juga yang akan kerap jatuh demam.

    Cuba kita fikirkan, jika kita tidak jawab panggilan telefon dari pejabat itu sehari adakah nyawa yang akan terkorban?

    Jika adapun nyawa yang akan terkorban, tidak adakah staf lain yang sedang waktu kerjanya menyelamatkannya?

    Apa kata selepas ini, kita berikan lebih perhatian kepada anak. Terutamanya pada hari kita cuti.

    Simpan laptop, simpan handphone, simpan ipad.

    Pada waktu kita bekerja, kita elakkan dari menghubungi rakan yang sedang bercuti. Cuba selesaikan apa jua masalah yang timbul tanpa perlu mengorbankan anak-anak rakan.

    Jika kita belum ada anak, suatu hari nanti kita akan punya anak. Waktu itu nanti kita pasti mahu lebih masa untuk anak.

    Usia anak membesar hanya sekali. Tidak akan boleh diputar kembali. Jika terlepas waktu ini, boleh gigit jari.

    Sama-sama, kita bangunkan generasi yang lebih kasih sayang.

    EQ BEFORE IQ!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Tips Parenting

    Cara Didikan Dahulu

    Beberapa hari ni tular video pendek anak yang kena baling dengan besen bila dia curi-curi tengok telefon masa belajar. Sangkanya mak dia tak perasan. Elok pula maknya boleh baling besen tu masuk tepat kat kepala. Hahaha. Memang kelakar.

    Mengingatkan saya pada gaya arwah abah saya mengajar kami mengaji. Masa itu umur saya sekitar 8 ke 9 tahun baru nak belajar Muqaddam.

    Arwah abah memang garang. Garang gila senang cerita. Kalau hitam katanya, memang hitamlah. Tidak akan menjadi kelabu apatah lagi putih.

    Belajar dengan abah memang menakutkan. Hihi. Dia tunjuk pakai rotan sahaja.

    Tapi ada satu peristiwa yang tidak boleh saya lupakan.

    Saya tidak ingat surah apa yang sedang saya belajar masa itu, tetapi ianya agak sukar. Jadi memang belajar sambil air mata meleleh.

    Sedang-sedang belajar mengaji, boleh pula mak ajak abah pergi Tiram (pekan).

    Jadi, abah pun beritahu yang dia nak pergi Tiram dengan mak, tetapi saya dan adik perlu sambung belajar mengaji. Dia tahu dia pulang dari Tiram, kami mesti dah dapat surah tersebut.

    Agak lama juga dia pergi Tiram tu. Perjalanan dari rumah kami ke Tiram mengambil masa lebih kurang 30 minit sehala. Jadi boleh bayangkanlah agaknya lebih kurang 2 jam dia pergi.

    Dan selama 2 jam itu jugalah, saya duduk tidak bergerak dari kerusi meja belajar mengaji itu. Hanya bermain mata dan mengangkat kening dengan adik. Hahaha. Punyalah takut.

    Selepas abah pulang dari Tiram, dia tidak semak pun bacaan. Dia suruh kemas dan tidur.

    Begitulah arwah abah mendidik. Garangnya fuh kemain. Pernah dia lihat saya terbaring tidak ke sekolah agama, terus dirotannya. Rotan bukan sedikit-sedikit. Selepas kita sakit meraung dirotan, baru ditanya mengapa tidak ke sekolah?

    Saya demam waktu itu. Bila dia pegang, panas. OK, dia diam dan pergi. Tunggu sehingga emak balik kerja, baru dia bagitahu emak yang saya demam dan suruh emak yang tengokkan.

    Tetapi dalam pada itu dia juga memberi saya peluang bermain dengan kawan-kawan. Bermain sepuas-puasnya. Asalkan pukul 6 sudah pulang ke rumah. Lepas Maghrib, mesti mengaji.

    Tidak pernah ada hari yang kami tidak berpeluang bermain bebas. Jika tak dapat keluar dari kawasan rumah pun, bebas bermain di depan rumah. Atau dalam rumah.

    Main kotor pun boleh. Orang sekarang kata messy play.

    Teringat Dr Putri Afzan kata sehari anak perlu bermain bebas sekurang-kurangnya 3 jam. Bermain bebas bukan dengan peraturan orang dewasa.

    PLAY DOES WORK!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Tips Parenting

    Peraturan Vs Rutin Anak 4 Tahun

    Hari itu ada seorang kawan cerita dengan saya.

    Anak 4 tahunnya menangis setiap kali ke tadika. Apabila ditanya anaknya kata cikgu selalu marah-marah padanya.

    Apabila ditanya pada cikgu, cikgunya kata anaknya suka mengusik kawan-kawan dan tak dengar cakap.

    Kawan ini akui anaknya ini memang sikit huhu.

    Hmmm, anak 4 tahun masih lagi dalam fasa “dunia ini aku yang punya”. Segala-galanya adalah mengenai dia dan dia sahaja.

    Walaupun ada sebahagian anak yang matang cepat sedikit dan sedia menerima bahawa ada individu lain yang hidup bersama dalam dunia ini dan kita perlulah saling berkongsi. Tidak semua anak yang matang dengan mudah begini.

    Anak kecil belum tahu bezakan perkara baik dan buruk. Yang dia tahu seronok dengan tidak sahaja.

    Lompat-lompat dalam lopak, menyeronokkan bagi dia tapi pada kita kotor dan geli.

    Tarik rambut kawan dan kawan pula menjerit-jerit, dia anggap itu gurauan dan kawannya suka sebab itu menjerit tapi bagi kita ia menyakitkan orang lain.

    Bermain dengan paip air sungguh indah baginya melihat air terpercik ke sana sini tapi bagi kita membazir.

    Lantas kita labelkan anak ini nakal, degil dan jahat.

    Kita marah-marah dan membebel.

    Sejauh mana anak itu faham apa yang kita bebel dan marahkan?

    Kawan-kawan, samada anda ibu atau guru, tarik nafas dahulu dan bertenang.

    Tiada siapa sukakan peraturan tetapi peraturan itu penting untuk hidup dalam aman harmoni.

    Memberitahu peraturan kepada anak kecil adalah sia-sia. Kerana mereka tidak faham.

    Tetapi anak kecil sukakan rutin.

    Ingat bagaimana apabila dari kecil kita ajar anak supaya pakai seluar dahulu baru baju, tiba-tiba satu hari kita pakaikan baju dahulu, dan dia akan bertanya, “mana seluar mommy?”

    Peraturan adalah apabila kita beritahu mereka “Tidak boleh memukul atau menyakitkan kawan sebelah.”

    Rutin adalah apabila kita tunjukkan mereka “Jumpa kawan salam dan peluk, tanya apa khabar.”

    Peraturan adalah apabila kita beritahu mereka “Buku dan permainan hendaklah sentiasa kemas dan tidak bersepah”.

    Rutin adalah apabila kita tunjukkan mereka bahawa untuk mengemas buku, ambil buku dan masukkan ke dalam beg atau letak di rak buku dengan cara begini. Manakala mainan pula hendaklah dimasukkan ke dalam kotak merah dengan cara begini.

    Bersabarlah dalam mendidik anak. Mereka sedang cuba mempelajari dunia ini dan kita harus menyokong mereka.

    Dengan penuh kasih sayang.

    PLAY DOES WORK!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Lain-lain

    Tahfiz Terbakar, 23 Nyata Maut Dikuburkan, 7 Nyawa Lagi Mahu Diselamatkan Atau Dibiarkan Mati

    Hari ini viral kertas siasatan Polis yang tercatat biodata penuh anak yang dituduh bertanggungjawab atas kebakaran tahfiz.

    Aduhai, luluh hati mommy bila lihat usia anak-anak tersebut. Baru belasan tahun.

    Ternyata akalnya belum matang. Emosinya tidak stabil.

    Mungkin asyik disuruh pendam pendam dan pendam. Biasalah, anak lelaki tidak boleh menangis, nanti lembik katanya. Pendam.

    Akhirnya hanya kerana perkara kecil sahaja ia meletup membakar diri.

    Kawan-kawan,

    Anak yang dikatakan jahat kerana membunuh itu tidak jadi jahat dengan sendirinya. Tidak ada anak yang lahir dengan gen dna pembunuh.

    Islam kata anak itu ibarat sehelai kain putih yang bersih lagi suci.

    Yang mencorakkannya bukan sahaja ibu bapanya, tapi juga orang dewasa di sekelilingnya.

    Hari ini kita mudah sekali melabel anak itu nakal, anak ini degil, anak itu keras kepala, anak ini bodoh.

    Tanpa kita selami jiwa dan emosinya.

    Anak kecil tidak seperti orang dewasa, yang mampu luahkan perasaannya, ketidakpuasan hatinya.

    Anak kecil hanya tahu menangis, merengek, menghentak kaki dan akhir menjerit-jerit apabila orang sekeliling tidak memahaminya.

    Tatanglah emosi anak. Berikanlah kasih sayang. Buatkanlah dia mengerti bahawa dia penting di hati kita. Yakinkan dia bahawa dia adalah “seseorang” untuk kita.

    Tidak kira samada kita ibu bapa, guru ataupun sekadar jiran tetangga. Kita punya peranan mengelakkan peristiwa ini berulang juga.

    EQ BEFORE IQ!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Tips Parenting

    EQ vs IQ

    Akhirnya selesai UPSR. Ececeh. Apa kena mengena UPSR dengan saya? Haha.

    Dapatlah baca keluhan kawan-kawan yang ada kena mengena dengan UPSR. Antara khabarnya adalah soalan Sains sangat senang. Soalan Matematik pula katanya sangat susah.

    Lepas selesai peperiksaan Matematik hari itu, adalah dapat mesej yang kononnya ada pelajar yang lari keluar dewan dan membuat cubaan untuk terjun banguan a.k.a bunuh diri. Alasannya kerana gagal menjawab semua soalan.

    Ada juga yang cerita top scorer sekolah pun menangis berjuraian air mata keluar dari dewan peperiksaan. Ada lagi yang beritahu budak mengamuk patahkan semua pensel dan koyakkan bendera-bendera di sekolah.

    Viral juga minggu ini berita tentang gadis yang mencium pipi Sultan Johor semasa Kembara Mahkota Johor. Mengikut laporan polis yang diviralkan, gadis tersebut dikhabarkan kurang siuman selepas gagal mendapat 19A dalam peperiksaan SPM beliau beberapa tahun yang lepas. Beliau dapat 18A 1B sahaja.

    Phiewww.

    Dan bukan juga rahsia bahawa beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat kes-kes bunuh diri kerana gagal mendapat A penuh dalam peperiksaan. Baik peperiksaan SPM mahupun UPSR. Yang PMR jarang pulak dengar. Tapi yang dapat E penuh, mereka relax sahaja.

    Semua ini mengingatkan saya kepada perkongsian Dr Putri Afzan Maria dalam Froebels Kuantan yang lepas. Beliau telah menjalankan satu kajiselidik tentang faktor pemilihan prasekolah/ tadika ke atas 30 orang ibu bapa.

    Majoriti daripada ibu bapa menyebut mereka memilih sesebuah prasekolah/ tadika itu berdasarkan reputasi akademiknya – cikgu berpendidikan, kurikulum yang berkesan, prasarana yang tip top, terkenal kerana banyak pelajarnya yang boleh membaca, menulis dan mengira.

    Hanya 2 daripada ibu bapa tersebut menyebut mereka memilih prasekolah/ tadika yang anak mereka SUKA untuk pergi, yang anak mereka SUKA dengan cikgu yang mengajar.

    Isu kes anak mengamuk, menangis dan bunuh diri kerana gagal peperiksaan bukanlah semata-mata kerana soalan terlalu sukar, banyak sangat soalan KBAT. Ini adalah simptom sahaja.

    Kita boleh buang soalan KBAT dari peperiksaan, kita juga boleh tukar beri semua soalan mudah dalam peperiksaan. Tapi apakah semua ini akan menyelesaikan masalah sebenar yang berlaku?

    Dalam kehidupan sebenar, ada ketikanya kita akan berhadapan dengan situasi yang tidak menyebelahi kita, yang sangat sukar, yang akan membuatkan kita merasai kegagalan.

    Adakah setiap kali melalui situasi sebegini kita akan bertindak menyalahkan orang lain, menangis-nangis, mengamuk merosakkan harta benda awam atau lebih teruk lagi membunuh diri (atau membunuh orang lain)?

    Tidak kan?

    Kita kurang memberi perhatian kepada emosi anak. Terutamanya apabila anak telah masuk usia persekolahan.

    Kalau dulu, usia persekolahan 7 tahun. Sekarang ni usia persekolahan sudah jadi 4 tahun. Malahan ada yang berhajat nak hantar anak berusia 3 dan 2 tahun ke kelas membaca saya. Aduhai!

    Anak menangis, kita suruh diam. Kita anggap dia mengada-ngada, manja terlebih. Kita minta dia pendam emosinya. Kita kata itu biasa.

    Berapa kali kita selami betul-betul perasaannya? Walaupun dia menangis kerana bukunya diconteng oleh adik.

    Yang saya nampak, anak membunuh diri atau menjadi kurang siuman apabila gagal dalam peperiksaan (tak adalah gagal manapun kan kalau dapat 18A 1B daripada 19 subjek yang diambil) adalah kerana kurang keupayaan untuk mengawal emosi.

    Dan serius, jumlah kanak-kanak dan remaja yang gagal mengawal emosi ini semakin bertambah dan membimbangkan. Anda boleh google sahaja nombornya.

    Bantulah anak mematangkan emosinya (EQ) terlebih dahulu sebelum membangunkan akademiknya (IQ).

    Lagipun, dalam dunia realiti, kita lebih banyak bermain dengan emosi berbanding dengan intelektual.

    Ramai yang kata untuk berjaya anda memerlukan 90% keazaman dan ketabahan, manakala 10% lagi adalah pengetahuan dan kemahiran.

    Dari mana datangnya keazaman dan ketabahan jika emosinya tidak stabil?

    PLAY DOES WORK!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Tips Parenting

    Ajar Dahulu, Baru Uji.

    Hari ini, dalam perjalanan ke Bacang Corner untuk membeli makan malam, Afiah bertanya, “Mommy, 99 tambah 1?”

    “100. Lagi?”

    Abah pun terus sampuk, “Kakak, kalau 5 tambah 95?”

    Afiah diam.

    Sebenarnya Afiah baru belajar operasi ni setakat nombor bawah 20. Bukan saya yang hadkan, tapi setakat ini memang itu sahaja yang saya nampak dia sampai.

    Saya tidak mengajar dia. Saya ni jenis menunggu bila dia nak “klik”. Bila dia “klik” barulah saya buat pengukuhan. Itu style saya homeschooling anak.

    Perlahan, dengan nada sedih dan kecewa, Afiah berkata, “Kakak tak tahu.”

    Itulah yang berlaku apabila anak diberikan soalan melebihi pengetahuannya.

    Sedangkan dia belum diajar bagaimana mahu mengira 95 + 5 di atas kertas, mahu pula diuji secara lisan, secara congak.

    Dalam keadaan begini, ada dua kemungkinan yang boleh berlaku.

    Pertama, jika dia dapat menjawabnya dengan betul, ia akan memberi impak positif kepada si anak. Dia akan lebih berkeyakinan dan bersemangat untuk belajar kemahiran yang lebih tinggi.

    Kedua, jika dia tidak dapat menjawabnya dengan betul, bahkan mungkin tidak dapat membayangkan pun bagaimana mahu mengiranya, dia akan kecewa dan sedih. Lebih teruk mungkin mula membenci kemahiran yang berikutnya.

    Kawan-kawan, jika mahu menguji anak, ujilah dengan kemahiran yang telah diajar. Ujilah dengan soalan yang kalian yakin dia akan dapat menjawabnya dengan betul.

    Usah saja-saja nak menguji anak. Apakah tujuannya?

    Bergurau?

    Mahu tahu anak pandai atau bodoh?

    Apa faedahnya jika kalian tahu anak pandai atau bodoh?

    Ini bukan setakat cerita pasal matematik sahaja.

    Jika anak kalian sedang belajar membaca juga, berilah anak baca buku yang bersesuaian.

    Jika anak baru level Buku 2, usahlah hulurkan Buku 4 suruh anak baca.

    Bayangkan, kalian diberikan Journal Medicine tahap Doktor-doktor pakar itu. Dalam bahasa Inggeris. Disuruh kalian baca, sedangkan bahasa Inggeris kalian belum tahap dewa-dewa. Baru tahap biasa-biasa.

    Hampir setiap perkataan kalian kena mengeja. Hampir setiap perkataan kalian kena buka kamus mahu cari maknanya.

    Apa perasaan kalian? Mahu terus baca atau mahu humban buku itu ke dalam tong sampah hijau paling jauh dari rumah?

    Tentu yang kedua bukan. Tak mahu baca. Tidak faham. Boleh sakit jiwa, tertekan.

    Begitu juga dengan anak.

    Hentikan menguji anak dengan sesuatu yang belum kalian ajar. Hentikan menguji anak dengan soalan yang kalian tak pasti dia dapat jawab.

    Ajar dulu, baru uji.

    Kalau tak uji pun apa salahnya? Bukan ada bangunan yang akan runtuh. Anak baru 6-7 tahun.

    Lagi baik main sahaja.

    PLAY DOES WORK!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Seni Ajar Membaca

    Tips Ajar Anak Membaca Sendiri Di Rumah

    Hari itu masa saya sedang berbengkel PdPc Kaedah Fonik Untuk Literasi BM di sebuah sekolah ni, ada cikgu yang angkat tangan nak tanya soalan.

    “Kalau anak usia 4, 5 dan 6 tahun, berapa banyak yang boleh diajar dalam sehari?”

    Soalan beliau buat saya diam sebentar. Kemudian saya senyum.

    Ini kan sekolah rendah. Paling muda usia anak di sekolah rendah adalah 7 tahun.

    Mana datang yang 4, 5 dan 6 tahun? Hehe.

    Rupanya cikgu ni berhajat nak mengajar anaknya sendiri di rumah.

    Nah, rakan-rakan cikgu.

    Pengisian (content) mengajar kaedah fonik gabung bunyi untuk anak 4, 5, 6, 7, 8 malah berapa pun usia anak adalah sama.

    Pengisiannya sama, apa yang nak diajarnya sama. Pendekatan berbeza.

    Mengajar anak murid dalam kelas tidaklah boleh sama seperti mengajar anak sendiri di rumah.

    Itu yang nanti ada yang tanya, “Cikgu Leen, susahlah anak saya ini tak nak belajar di rumah.”

    Pendekatan tidak sesuai.

    Mengajar anak di rumah:

    1. Sesi mestilah pendek-pendek. Memadai 2-3 minit sahaja per sesi.

    2. Boleh buat sesi beberapa kali dalam sehari. Jarakkan sekurang-kurangnya 20 minit antara sesi.

    3. Buat secara santai dan bersahaja. Tidak perlu minta anak mengulang-ulang apa yang kita ajar.

    4. Berhenti apabila cukup masa 2-3 minit tadi walaupun anak sedang seronok gila membuatnya. Berhenti sebelum anak bosan.

    5. Berikan pujian dan semangat untuk anak. Berikan pujian secara terperinci tentang apa yang dia lakukan.

    Cukuplah 5 tips mengajar anak di rumah ini.

    Selamat mengajar anak sendiri.

    PLAY DOES WORK!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy

  • Homeschooling

    Beri Peluang Laksanakan Penyelesaian – Ke Arah KBAT

    Susu pun tumpah ke atas lantai.

    Azmina senyum gembira. Eksperimen berjaya. Berjaya keluarkan susu dari botolnya.

    Mommy tenung Azmina dengan mata bulat dan mulut sengih bak kerang busuk. Dalam hati siapa yang tahu.

    “Alamak, susu dah tumpah. Nak buat macamana ni angah?”

    “Ngah uuuu. Ngah ngok je.” Terjemahan –> Angah tak tahu, Angah tengok sahaja.

    “Alaa, macamana ni. Tengok ni lantai dah basah dengan susu. Jom kita fikir nak buat apa.”

    “Boleh lap mommy.” Kata Afiah.

    Mommy pandang Azmina. Pandangan penuh makna.

    Azmina senyum dan lapkan guna tangannya.

    “Mi, ngok ngah uat.” Terjemahan –> Mommy, tengok angah buat.

    Mommy senyum seikhlas mungkin.

    Itu baru satu cara mengelapnya. Gunakan tangan sendiri.

    Ada 1001 cara untuk mengelap susu yang tumpah. Guna baju, guna tisu, guna kain lap, guna mop, guna penyapu. Mahu basahkan dahulu atau terus lap.

    Ada juga anak yang beri kata, “Biar sahaja mommy. Nanti kena kipas lama-lama akan kering.”

    1. Bila anak dah bagi cadangan penyelesaian, apa kata mommy biarkan mereka laksanakan penyelesaian tersebut.

    2. Ini dah jadi eksperimen kedua. Walaupun kadang-kadang penyelesaian itu tidak logik dan boleh mendatangkan kemarahan tahap dewa, seperti mengelap dengan tangan sendiri, tetapi bersabarlah. Sel otak sedang berhubung.

    “Boleh ke guna tangan ni Angah? Kering ke? Boleh bersih ke?”

    Azmina geleng kepala. Tangan sudah kotor. Tapi susu masih berbekas di atas lantai.

    “Apa lagi ya yang boleh kita guna untuk lap?”

    Senyum. Mesti senyum. Senyum itu satu galakan sosial yang positif. Barulah otak anak ligat mencari penyelesaian tanpa tekanan negatif.

    Kadang-kadang ada anak yang lagi bijak, “Mommy lah lap”. Atau suruh abang dan kakaknya yang buat.

    Pandai-pandailah mommy tangani situasi ini ya.

    Nak anak bijak, mommy kena jadi lebih bijak.

    PLAY DOES WORK!

    Nor Azleen Abd Rahim

    #cikgumommy